Menonton telefilem ‘Di Pintu Syurga’ di slot Cerekarama minggu ini telah berjaya merangkul hati saya sehingga menitiskan air mata dari awal, pertengahan hingga di hujung tirai cerita.

Ya, ia cuma cerita. Akan tetapi, nilai murni yang berjaya diterap dalam cerita ini telah berjaya ditonjolkan. Dan saya dapati ada 3 nilai utama yang paling mengungguli dari nilai-nilai yang lain. Yakni;

1. Cinta

Apa adanya Jannah, siapa pun dirinya pada masa lalu sedikit pun tidak mengubah keutuhan cinta keluarga Jannah dan Ustaz Faris terhadapnya. Hal ini dapat dilihat apabila Ustaz Faris mampu menjadi Imam terbaik buat isterinya, Jannah.

Nota-nota kecil cinta yang ditulis Faris amat memberi kesan dorongan terhadap Jannah untuk kuat menghadapi ujian tumor di kepala dan semangat untuk menjadi perempuan bertuah paling baik di sisi lelaki budiman seperti Faris.

Hal ini bukan sahaja memiliki nilai humor dan romantisme yang tersendiri, akan tetapi inilah ekspresi Cinta yang Ikhlas dari dalam jiwa Faris buat perempuan yang dikasihi olehnya. Nah, inilah kesan ikhlas, kerana salah satu tanda Cinta adalah Ikhlas dan ingin menghargai.

2. Kebaikan Hati

Kebaikan hati seseorang lantas akan terpandir pada perilakunya. Sebelum Suraya berubah, Suraya yang dahulu sememangnya berhijab. Namun dia selalu berprasangka buruk (su’u zhon) terhadap Ustaz Faris kerana memilih Jannah hanya kerana nafsu.

Kemudian dia juga menyangka bahawa Jannah berubah hanya sekadar sahaja. Sedangkan Suraya tidak tahu bahawa Jannah telah berusaha berhijrah dan bertaubat dengan sesungguhnya.

Nah, lihat. Orang yang sudah tersedia baik dari awal, tidak boleh terus menyangka bahawa dirinya adalah lebih baik dari insan lain. Apatah lagi tidak boleh menyangka buruk tatkala melihat seseorang itu telah berubah.

Sebaliknya, kita perlu bersyukur dan menambah nasihat serta berkongsi kebaikan antara satu sama lain. Kerana kita bukan sesiapa yang berhak menentukan orang itu/orang ini lebih buruk berbanding diri kita. Sesungguhnya, ALlah sahajalah yang layak menilai segala amal zahir dan batin kita.

3. Setia

Ini yang paling saya suka. Yakni kesetiaan Ustaz Faris menerima Jannah sebelum dan selepas mereka bernikah dan ketika Jannah menghidap tumor. Betapa dia setia dan cuba menunaikan janji untuk menjaga Jannah sebagai Isteri (amanah) Allah dengan sebaik-baiknya.

Contoh layanan dan kesetiaan Ustaz Faris dalam lakonan cerita ini amat membuatkan saya rasa terharu. (Bila ini cerita tamat, lantas saya bermonolog dalam hati: “Fine. Lelaki persis Faris di dunia ini berkemungkinan wujud. Tetapi nisbah 1:1000. Mungkin.”). Inilah kesan cinta yang luhur dari Faris buat Jannah. Hingga ia terbukti melalui akhlaknya yang setia.

https://www.youtube.com/watch?v=Iambao5Qa_k

Susah nak melihat saya tidak menangis apabila menonton cerita. Kalau tidak menangis itu ia mungkin sebab saya tidak berminat dengan cerita tersebut. Hatta cerita kartun filem Despicable Me pun saya menangis. Alahai.

Boleh jadi ia berlaku kerana saya amat empati dan terlalu simpati. Tak mengapalah, kita lebih kenal siapa diri kita. Ambil saja apa yang baik. Yang tidak baik, letak di tepi atau dibuang terus.

Pandangan kita mungkin berbeza, namun ketahuilah, setiap cerita yang kita tonton dan memandangnya dari sisi yang baik, akan membuat kita terdetik untuk meraih kesan dan nilai murni baiknya yang tersendiri.