Baru-baru ini ramai tertarik dengan satu video yang memaparkan seorang pelajar sekolah, remaja yang membebel sepanjang perjalanan dia ke kelas. Durasi 2 minit itu cukup menghiburkan orang ramai.

Apakah anda tahu babak itu petikan daripada sebuah telefilem yang pernah ditayangkan di televisyen?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baiklah. Minggu ini aku memilih untuk menulis perihal telefilem ini. Ya. Sebuah telefilem walaupun di pawagam sedang ligat menayangkan filem-filem tempatan dan antarabangsa.

Mengapa aku memilih menulis mengenai telefilem ini? Kerana telefilem ini ada kalanya kelihatan lebih filem dari filem-filem yang ada.

Sinopsis ringkas Melur vs Rajawali (MVR) arahan Al Jafree Md Yusof. Azlan (lakonan seronok Shafie Naswip) yang sebelum ini bersekolah di U.S.A bersekolah di Malaysia selepas kematian ayahnya. Di persekitaran sekolah yang baharu serta tinggal di asrama pula, Azlan berkenalan dengan Malik.

“Hidup ni singkat. Kita kena buat apa yang kita nak selagi mampu.” – Hana

Bersama Malik, Azlan telah diperkenalkan dengan rakan-rakan Malik yang terdiri dari budak-budak nakal dari asrama lelaki Rajawali. Dan Azlan juga mula berkenalan dengan gadis paling cantik dari asrama Melur bernama Hana.

Baik. MVR ialah sebuah naskah yang bercerita perihal nostalgia atau imbauan masa lalu. Bagi aku apabila sesebuah naskah itu memilih untuk menceritakan perihal masa lalu, ia sama risikonya seperti memilih untuk ber’drama’ atau ber’filem’ mengenai hantu.

Risikonya ialah adakah nostalgia itu berjaya dikenang atau tidak. Sama seperti risiko membikin naskah hantu yang sama ada ia sekadar menakutkan tetapi tidak menyeramkan.

Oleh kerana similariti antara keduanya ialah ia memerlukan penceritaan yang meyakinkan minda penontonnya hingga terasa imbauan itu, bukan sekadar dari bantu visual perihal set, skrip mahupun tona warna naskah itu.

Ini kerana, akan ada perbezaan cara fikir minda tatkala menonton naskah lama di zaman ini atau menonton naskah zaman ini yang menceritakan perihal masa lalu.

Bagi aku Melur vs Rajawali berdiri atas kekuatan watak dan masa. Ia tidak berdiri atas klasik kereta lama atau tutur bual zaman imbauannya. Ia berdiri atas kemahuan untuk menceritakan nostalgia.

Aku katakan begini kerana sekiranya seorang penonton mampu tersenyum sengih kerana spontan jenakanya, maka bagi aku itu cuma naskah biasa. Tetapi andai ia mampu membuat penontonnya tersenyum sengih kerana kuatnya rasa imbauan itu, maka itu adalah kuasa masa di dalam sesebuah naskah.

Sebagai contoh, lihat beberapa babak seperti babak Todak begitu asyik bermain mesin rumput sambil mengangankan beliau seorang Ghostbuster (ini merupakan penyampaian nostalgia yang menarik).

Kemudian disusuli dengan babak Usman bin Awang yang mampu memberi nostalgia betapa sastera cukup sinonim dengan pelajar walaupun tidak akrab dengan subjek itu.

Keduanya, aku gemar dengan penyampaian bingkai-bingkai ‘mengingatkan’ dan bukan memberitahu perihal masa. Dari awal lagi kita telah diberi seolah satu frame gambar pegun yang tertera ayat ‘Berdisiplin, Hidup, Beramal’ di laluan ke sekolah.

Disusuli dengan tulisan batu tugu terjemahan Surah Al-Asr yang bermula dengan perkataan ‘Demi Masa’. Dan ini semua sebelum kita terjun ke alam asrama Rajawali dan Melur.

Kita akan turut lihat akan lontaran dialog ‘ingat-mengingat’ juga mengenai masa. Seperti contoh,

“Hidup ni singkat. Kita tak payah nak rosakkan diri sebab orang lain.” – Hana

“Nak cari perempuan ni dua benda je nenek aku pesan. Satu dia suka binatang. Lagi satu dia buat baik dengan mak dia.” – Azlan.

Atau lihat bagaimana Malik memegunkan masa untuk memperkenalkan pelajar perempuan pada Azlan. Semua ini seolah mengajak penontonnya beriadah bersama masa lalu dan bukan menyuap penonton dengan masa lalu.

Ringkasnya, ini merupakan sebuah telefilem yang tidak perlu memaksa penontonnya untuk bermelodrama dengan masa, tetapi mengingatkan bahawa masa akan sentiasa menjadi ‘drama’ untuk kita renungkan kenangannya.

Kerana ketawa masa lalu mungkin lebih jujur dari ketawa kita hari ini.

Buat pengetahuan anda, telefilem ini akan disambung ke dalam format filem dengan tajuk Melur vs Rajawali: Perang Asrama dengan barisan pelakon yang sama. Stay tune!

Skor Telefilem: 8/10