Sebelum ini kami pernah menerbitkan artikel membandingkan aplikasi WhatsApp dan Telegram. Berdasarkan respon yang diterima, masing-masing bersetuju Telegram lebih responsif dan bagus berbanding WhatsApp. Walaubagaimanapun, dari segi bilangan pengguna WhatsApp masih lagi menguasai bilangan pengguna Malaysia.

Mengetahui Telegram pada hari ini telah melepaskan fungsi Telegram Calls buat pengguna di Malaysia, kami secara tidak langsung berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut prestasi Telegram Calls. Berikut merupakan pendapat kami yang baru sahaja menggunakan Telegram Calls.

Terdapat 2 perkara yang kami suka mengenai Telegram Calls berbanding dua pencabar terdekat Telegram iaitu WhatsApp dan Messenger.

1. Response rate yang efisien

Jika anda pernah menggunakan WhatsApp Calls pastinya anda tahu tempoh tunggu menantikan respon dua hala daripada rakan anda agak lama. Anda perlu menunggu seketika sebelum rakan anda menyahut panggilan anda.

Di Telegram saya dapati tempoh menunggu ini masih ada namun tidaklah terlalu lama dan hampir mendekati response rate panggilan biasa yang dibuat. Cukup baik untuk digunakan sebagai medium panggilan utama yang menggunakan internet.

2. Tiada lagi suara ‘robot’

Perbezaan yang paling ketara diantara Telegram Calls dan Messenger Calls adalah tiada lagi suara ‘robot’. Ya, anda pasti pernah mendengar suara responden atau rakan anda yang sedikit berbeza dengan menggunakan aplikasi Messenger.

Di Telegram Calls kami dapati masalah ini tidak lagi hadir sekaligus membuatkan pengalaman membuat panggilan lebih selesa dan baik.

Rumusan

Telegram sebelum ini pernah mengatakan pihak mereka tidak akan mengeluarkan fungsi panggilan selagi mana belum cukup sempurna atau dalam erti kata lain sekadar ada.

Ternyata Telegram betul-betul serius berdasarkan apa yang dijanjikan dan boleh dikatakan percubaan yang baik buat sesebuah aplikasi yang masih baru dalam mengeluarkan fungsi ini. Vocket beri 4/5 bintang!

Kami harap selepas ini Telegram dapat menyertakan fungsi panggilan video pula dengan kualiti yang baik bagi menarik lebih ramai pengguna menjadi pengguna setia aplikasi mereka.

Sedikit info buat anda ingin mencuba Telegram Calls, anda boleh membuat panggilan dengan menekan ke laman chat rakan anda seterusnya memilih option untuk membuat panggilan seperti yang tersedia pada butang sebelah atas kanan smartphone anda. Oh ya, jangan lupa kongsikan pendapat anda di ruangan Facebook Vocket.