Ibu negeri Pahang ialah bandar terbesar di Pantai Timur dan ke-17 terbesar di Malaysia. Bandar Kuantan menghadap Laut China Selatan ini mempunyai pelbagai tarikan pelancongan popular di kalangan pengunjung dalam mahupun luar negara.

Antara lokasi yang patut anda kunjungi jika sampai ke Kuantan ialah Telok Cempedak, Cherating, Taman Tema Bukit Gambang dan Air Terjun Sungai Pandan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mungkin anda mengikuti rombongan Cik Kiah atau atas urusan kerja ke sini dan tercari-cari lokasi tempat makan yang enak dan berbaloi dengan wang ringgit. Biar kami mudahkan kerja anda dengan menyenaraikan 8 tempat makan yang harus anda kunjungi di Kuantan, Pahang.

1. Lila Wadi Restaurant

Gambar: lilawadi.com.my

Orang Kuantan jika tak tahu pasal Lila Wadi memang pelik. Restoran popular ini menawarkan pelbagai jenis menu memikat selera bagi memenuhi citarasa individu yang berlainan seperti steamboat, masakan Barat, Melayu, Thai, BBQ dan pencuci mulut.

Gambar: tripadvisor.com

Kami sarankan anda cuba Kek Keju Mangga. Jangan lupa juga pekena kek keju durian! Menu lain yang tidak kurang enaknya di Lila Wadi ialah Nasi Goreng Kambing, shiitake mushroom burger dan Spagheti Carbonara.

Lokasi menjamu selera ini terletak di Lorong Selamat 21 off Jalan Teluk Sisek. Walaupun ia berada di dalam kawasan perumahan (rumah banglo), terdapat tempat untuk meletak kenderaan.

2. MABIQ Restaurant

Gambar: says.com

MABIQ Restaurant terletak di Tanjung Lumpor. Anda perlu menggunakan Waze atau Google Maps kerana tempat ini agar tersorok. Jika nak lebih senang, datang ke sini dengan menaiki UBER atau Grab.

Gambar: blogspot.com

Apa yang special-nya dengan MABIQ ni? Di sini anda boleh menikmati masakan Melayu Pahang terbaik pada harga yang anda mampu bayar seperti ikan patin masak tempoyak dan daging salai masak lemak, yang bak kata satu review di Facebook: best in the world.

Anda mungkin tertanya-tanya maksud nama restoran yang agak pelik ini, bukan? Mabiq bermaksud Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran dan ia diasaskan oleh Ustaz Jamaludin sebagai pusat tahfiz bagi anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.

Restoran Mabiq ini asalnya ialah dewan makan para pelajar sekolah tahfiz. Pemilik sekolah tidak hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk menampung perbelanjaan sekolah ini.

Sebaliknya mereka menubuhkan restoran ini pada tahun 2010 yang mana keuntungan kedai makan ini 100% adalah untuk membiayai keperluan sekolah maahad. Jadi selain anda menjamu selera masakan asli Pahang yang memuaskan hati, anda juga beramal.

3. Brotherhood Western & Grill

Gambar: tripadvisor.com

Brotherhood menawarkan menu masakan Western yang lain daripada kebiasaan restoran barat lain. Anda mungkin rambang mata nak pilih pelbagai jenis pasta, masakan panggang, piza, burger dan stik. Tambahan pula harganya yang mesra pengguna.

Tahap kebersihan restoran ini juga memuaskan, mempunyai dekorasi yang simple, servis yang sangat bagus dan para pekerja yang ramah.

4. Satay Zul

Gambar: flickr.com

Satay Zul merupakan antara lokasi popular untuk satay di Kuantan di mana satay yang disediakan sedap dan lembut. Ditambah pula dengan kuah kacang dan sambal bagi menambahkan selera. Rasanya tidak begitu pedas dan tidak begitu manis, kena dengan citarasa semua orang. Selain satay, nasi lemak dan masakan panas seperti nasi goreng turut ditawarkan di sini.

5. Dallah Restaurant

Gambar: tripadvisor.com

Restoran bertemakan masakan Arab dan Timur Tengah ini terletak di antara Berjaya Mega Mall dan East Coast Mall. Penggemar masakan Arab boleh cuba menu kambing – sedap, lembut dan juicy. Selain itu, ada nasi mandi, roti yang rangup juga.

Gambar: tripadvisor.com

Porsi yang diberi juga banyak, jadi anda boleh berkongsi dengan orang lain.

6. Jaman Tory Resipi

Gambar: eatlah.com

Menu yang menjadi trademark Jaman Tory Resipi ialah Char Koay Teow kerang bersama udang, Gulai Ikan Patin Masak Tempoyak, Daging Salai Masak Lemak dan satu lagi menu istimewa Ciss Terbakor (Nasi Goreng Cheese). Seperti Mabiq Restaurant, Jaman Tori Resipi juga menawarkan masakan Melayu Pahang yang harus anda cuba.

7. Warung Aja

Gambar: blogspot.com

Asyik makan di restoran sahaja, mungkin anda tercari-cari warung atau gerai di Kuantan. Antara yang boleh dicuba ialah Warung Aja di Jalan Bukit Setongkol. Ia menawarkan banyak pilihan lauk-pauk dan juadah tradisional Melayu, disamping masakan Asia dan Barat.

Berbeza dengan restoran lain, warung ini mengetengahkan suasana kampung walaupun terletak di tepi jalan kerana meja makan diletakkan di bawah pokok-pokok rendang. Tambah best, pencuci mulut percuma setiap Rabu dan Jumaat.

Antara menu yang menjadi tarikan di sini ialah ikan pari masak 3 rasa dengan ketulan mangga, butter prawn dan tofu seafood cheese.

8. Fryerzone Western Food

Gambar: twimg.com

Terletak di Perkampungan Indera Sempurna, Fryerzone ialah antara kedai makan yang menawarkan harga masakan barat yang murah di Kuantan.

Contoh, RM9.80 anda boleh dapat segelas air buah oren atau epal segar dan ayam panggang didatangkan bersama sos lada hitam, roti bun, coleslaw dan kentang goreng.

Penutup

Anda tidak akan menyesal berkunjung ke salah satu daripada 8 tempat makan yang dinyatakan di dalam artikel ini. Samada masakan tempatan tradisional Melayu atau Barat, menu yang ditawarkan sedap dan servis para pekerja juga baik.

Berkenaan wheelchair access, kesemuanya boleh diakses oleh pengguna wheelchair. Cuma macam Dallah Restaurant itu kena angkat sikit sahaja sebab ada step kecil. Yang lain semua flat ground.