Nampaknya, apa yang ditakutkan oleh masyarakat dunia tidak akan menjadi kenyataan. Ini selepas Rusia dikatakan telah mula memanggil balik tentera mereka yang berada di sempadan Ukraine. Diplomat kepada negara yang dipimpin oleh Presiden Vladimir Putin itu mendakwa bahawa mereka berjaya mendapat kemenangan dalam pergolakan yang mengancam perang pertama di Eropah setelah beberapa dekad yang lalu, lapor Wall Street Journal.

Melalui ciapan yang dikeluarkan oleh Christopher Miller, satu video yang menunjukkan kereta kebal milik Rusia mula bergerak keluar pada pagi Selasa. Rakaman tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Rusia, manakala jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova, berkata, “15 Februari 2022, akan masuk ke dalam sejarah sebagai hari propaganda perang Barat yang gagal. Mereka telah dihina dan dimusnahkan tanpa satu tembakan pun dilepaskan.”

Bagaimanapun, sebahagian pemerhati merasakan ia adalah pendirian yang tidak jelas. Ini selepas satelit komersil dan Pentagon mengeluarkan gambar yang memperlihatkan unit udara dan helikopter Rusia berada dalam posisi serangan beberapa jam sebelum pengumuman itu dibuat.

Bagi pihak Ukraine, mereka yakin bahawa konflik dengan jiran Rusia berjaya dielakkan, “Melalui sokongan negara sekutu, konflik dengan Rusia berjaya dielak,” kata menteri luar negeri Dmytro Kuleba kepada pemberita. “Ia sudah pertengahan Februari, dan anda melihat bahawa diplomasi terus berfungsi.”

Selama berbulan-bulan, NATO dan Ukraine telah mengeluarkan amaran bahawa Rusia akan melancarkan serangan. Ini berlaku selepas Presiden Vladimir Putin mengeluarkan beberapa tuntutan, termasuk janji Ukraine tidak akan sekali-kali menyertai pakatan Barat.

Semalam The Vocket melaporkan bahawa Rusia dikatakan bakal menyerang Ukraine  bermula hari ini. Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky telah meminta semua orang untuk mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan secara serentak bermula hari ini. Ia adalah sebagai reaksi kepada Rusia bahawa Ukraine tidak mahukan sebarang peperangan.

Selain itu, Kementerian Luar Negeri Malaysia merayu kepada rakyat Malaysia di Ukraine supaya segera melaporkan kepada kedutaan. “Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri Malaysia) menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Ukraine dan belum berdaftar dengan Kedutaan Malaysia untuk segera menghubungi dan mendaftar dengan kedutaan,” kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah di Putrajaya, semalam.

Rusia didakwa bakal serang Ukraine esok, kerajaan minta warga Malaysia lapor ke keduataan. Rujuk pautan di bawah untuk mengetahui lebih lanjut.

Rusia Didakwa Bakal Serang Ukraine Esok, Kerajaan Minta Warga Malaysia Lapor Ke Kedutaan