Cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil kini digalas empat wakil negara yang melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Kehampaan bagaimanapun sedikit dirasai ribuan peminat setia badminton yang hadir memberikan sokongan selepas pemain kesayangan ramai, Lee Zii Jia tumpas di tangan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ketika tiada wakil daripada acara perseorangan lelaki yang akan beraksi pada Jumaat, sektor beregu menyelamatkan maruah negara dengan empat pasangan berjaya menumpaskan lawan masing-masing dimana salah satunya merupakan daripada acara beregu wanita.

Ong Yew Sin/Teo Ee Yi menjadi wakil pertama melangkah ke peringkat seterusnya selepas berjaya mengejutkan juara Sukan Olimpik 2020 dari Chinese Taipei, Wang Chi-Lin/Lee Yang dengan ‘straight set’ 21-17,21-18.

Dengan kemenangan tersebut, pasangan profesional negara itu menempah pertemuan dengan Fajar Alfian/Muhammad Rian Ardianto pada aksi suku akhir.

Kejutan terus dilakarkan apabila Anna Cheong Ching Yik/Teoh Mei Xing pula menunjukkan jalan keluar buat pilihan kedua kejohanan, Lee So Hee/Shin Seung Chan dengan kemenangan ‘rubber set’ 18-21, 21-12, 21-15. Menanti pasangan yang kini berada di ranking ke-44 dunia itu ialah Mayu Matsumoto/Wakana Nagahara dari Jepun.

Sementara itu, Goh Sze Fei/Nur Izzudin tidak perlu bermandi peluh untuk ke pusingan seterusnya selepas lawan mereka, Satwiksairaj Rankireddy/Chirag Shetty menarik diri sebelum aksi dimulakan ekoran kecederaan.

Sumber Gambar: Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM

Pemenang Terbuka Jerman 2022 itu akan berhadapan dengan wakil China, Liu Yu Chen/Ou Xuan Yi yang menewaskan satu lagi gandingan profesional negara, Tan Wee Kiong/Tan Kiang Meng dalam permainan ‘rubber set’.

Aaron Chia/Soh Wooi Yik yang masih ternanti-nanti kejuaraan sulung BWF World Tour dalam karier mereka tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan pasangan dari Singapura, Terry Hee Yong Kai/Loh Kean Hean 21-16, 21-13.

Pilihan kelima kejohanan itu bakal menghadapi tugas sukar apabila dijadualkan bertemu pasangan berpengalaman dari Indonesia, Muhammad Ahsan/Hendra Setiawan.

Selain Lee Zii Jia serta Tan Wee Kiong/Tan Kiang Meng yang tersingkir, empat lagi pemain negara menerima nasib sama iaitu Pearly Tan/M. Thinaah, Chen Tang Jie/Valeree Siow, Goh Soon Huat/Shevon Lai Jemie dan Low Yeen Yuan/Valeree Siow.

Sebelum ini, Loh Kean Yew tunduk kepada pemain dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dalam tempoh masa 39 minit. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Terbuka Malaysia 2022: Juara Dunia, Loh Kean Yew Tersingkir Awal

Netizen Puji Semangat Juang Regu Campuran Untuk Teruskan Perlawanan Walaupun Alami Keracunan Makanan

Lee Zii Jia Terima Restu BAM Untuk Jadi Pemain Profesional