Sejak akhir-akhir ini, hangat dibincangkan di media sosial mengenai pembelaan kes seorang kanak-kanak bernama Bella. Kes yang mendapat perhatian ramai ini turut hadir dengan #JusticeForBella dalam memastikan Bella mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Menerusi laporan terbaru daripada Harian Metro, pemilik Rumah Bonda dilaporkan telah ditahan pihak polis semalam dalam usaha membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, wanita berusia 29 tahun tersebut ditahan bagi memberi keterangan berikutan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap beliau.

Dimaklumkan kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah. Pihak polis turut mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, pihak polis meminta masyarakat untuk terus memberi keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka.

Menerusi laporan sebelum ini, difahamkan Bella yang merupakan seorang remaja berusia 13 tahun berstatus orang kelainan upaya (OKU) dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, rumah kebajikan yang terletak di Jalan Kukuban di Taman Setapak turut disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan 5 Julai lalu. Pihak Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak lain dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan itu.

Lebih mengejutkan ramai, rumah kebajikan ini didapati sudah beroperasi sejak 2019 secara haram dan tidak berdaftar dengan JKM.

Insiden berlaku terhadap Bella ini membuatkan para netizen simpati dan berusaha untuk memastikan Bella mendapat keadilan yang sewajarnya.

Ketahui lebih lanjut mengenai kronologi kes Bella yang dipercayai didera oleh penjaganya dengan klik pautan di bawah.

Kronologi Kes Bella, Kanak-Kanak Yang Didera Tanpa Simpati Oleh Penjaganya

Malaysia Bakal Hentikan Penggunaan Vaksin Sinovac Selepas Bekalan Tamat

Sumber