Agak memeranjatkan apabila seorang artis Malaysia telah mengkritik secara rambang filem dari pengarah tersohor dunia, Christopher Nolan. Perbuatan Janna Nick memuat naik gambar di Instagram dengan caption yang boleh ‘mencari fasal’ dengan peminat-peminat Nolan di serata dunia lebih-lebih lagi di Malaysia.

Di sini aku tidak mahu membalas kritikan tersebut kerana ramai netizen telah berbuat demikian, dan Janna Nick sendiri telah memohon maaf dalam laman Twitter beliau. Terima kasih Janna Nick! Dari status kamu itulah rakyat Malaysia waima dari penggemar telenovela TV3 pun tertanya-tanya siapakah Christopher Nolan.

dunkirk-2
Gambar salah satu adegan dari filem Dunkirk.

Bagi seorang penggemar filem-filem berat, mungkin nama Nolan tidak asing lagi. Tetapi kita layak berterima kasih kepada Janna Nick kerana memperkenalkan kepada Malaysia filem hasil dari antara pengarah terhebat ini.

Bagi yang tidak gemar filem-filem berat dan ‘bosan’, mungkin entry ini dapat membantu anda apakah filem-filem Nolan yang lain.

1. Memento (2000)

filem-memento

Filem ini mengisahkan seorang yang mengalami anterograde amnesia di mana dia lupa ingatan jangka pendek. Leonard, selaku pelakon utama hanya mengigati sesuatu berdasarkan tatu di badannya dan gambar polaroid yang diambilnya.

Filem ini memerlukan fokus yang tinggi kerana terdapat flashback yang banyak dan sangat rumit. Filem ini juga antara filem Nolan yang paling sedikit pelakon tambahan.

Di akhir babak, Nolan mengarap filem ini dengan baik sehinggakan penonton akan tertanya-tanya “bagaimana dia tahu ‘apa yang dia’ buat itu betul?”

2. Batman Begins (2005)

filem-batman-begins

Filem francais Batman ini mengisahkan kisah asal watak dari ketakutan awal Bruce Wayne, kematian ibu bapanya, perjalanannya menjadi Batman, dan perjuangannya melawan rancangan Ra’s al Ghul untuk memusnahkan Gotham City.

3. The Prestige (2006)

filem-the-prestige

Mengisahkan dua orang ahli silap mata yang sangat obses dengan silap mata sehinggakan sanggup ‘menggadaikan’ tubuh badan. Dilakonkan oleh Christian Bale dan Huge Jackman. Kedua-duanya mencari magik yang paling ‘prestij’ dalam sejarah ahli silap mata.

Jadi mereka berlumba-lumba untuk berfikir bagaimana menghasilkan ‘orang kedua’ dalam silap mata mereka. Dalam filem ini juga menunjukkan watak pencipta elektrik, Nikola Tesla.

4. The Dark Knight (2008)

filem-the-dark-knight

Sebut sahaja The Dark Knight, dalam kepala peminat siri Batman sekalipun tidak akan membayangkan watak Batman, tetapi watak Joker lebih diangkat dalam filem ini. Joker dilakonkan dengan penuh wibawa oleh Heath Ledger.

Menurut IMdB (Internet Movie Database), sekurang-kurangnya terdapat 52 buah kemenangan dalam pelbagai kategori terutama pelakon pembantu terbaik yang dirangkul oleh Heath Ledger hasil lakonan watak Joker tersebut!

Dimaklumkan juga bahawa Legder sangat obses dengan watak Joker sehinggakan beliau mengurung dirinya 3 bulan di dalam bilik hotel untuk menghayati watak ini. Filem ini juga mendapat banyak kritikan oleh pengkritik dunia dan dibentangkan dari pelbagai sudut terutama hasil dari lakonan Joker yang ‘gila’ tersebut.

5. Inception (2010)

filem-the-inception

Bagaimanakah jika anda dapat mengawal mimpi? Inilah filemnya. Bermimpi dalam mimpi dalam mimpi. Plot filem ini sangat mudah; hanya ingin ‘sailang’ syarikat korporat pihak lawan. Tetapi karya Nolan tidak lari dari unsur-unsur realisme yang sangat tinggi.

Filem lakonan Leonardo DiCaprio ini penuh dengan suspen dan keunikan sendiri. Dikatakan bahawa filem ini adalah masterpiece Christopher Nolan sehingga kini.

6. The Dark Knight Rises (2012)

the-dark-knight-rises

Filem ketiga Nolan hasil dari siri Batman ini menonjolkan watak Bane. Watak ini sebenarnya diadaptasi dari French Revolution. Nolan cuba membawa tragedi Revolusi Perancis ini melalui watak Bane di mana watak ini menggambarkan Bane seorang yang dapat mempengaruhi warga Gotham dan membebaskan warga penjara.

Bagaimana seorang penjahat yang dikehendaki dapat mengubah fikiran masyarakat setempat untuk berbuat jahat secara beramai-ramai.

7. Interstellar (2014)

interstellar

Satu-satunya filem Nolan yang aku tonton dalam panggung wayang. Ketika itu dalam seminggu selepas filem ini ditayangkan. Rasanya boleh bilang dengan jari sahaja berapa orang ada dalam panggung tersebut.

Dan ada yang keluar dewan walaupun filem ini tak tamat tayangan lagi. Filem ini mengisahkan mengenai perjalanan melalui worm hole. Filem semi-fiksyen (semi ilmiah) ini bukanlah satu filem ‘letup-letup’ bahkan satu filem agung yang telah dibahas panjang oleh para ilmuan fizik seluruh dunia.

Jonathan Nolan, adik kepada Christopher Nolan belajar dan membuat kajian selama 4 tahun di Carlifornia Institute demi menyiapkan skrip Interstellar. Kip Thorne, ahli theoretical physics bekerjasama dengan adik-beradik Nolan demi sebuah filem yang sangat prestij ini sehinggakan Discovery Channel membuat satu video khas untuk membahaskan filem ini dengan tajuk The Science Of Interstellar.

interstellar-1

Bagaimana? Sudah mahu menonton filem-filem berat? Lapan buah filem ini diperkatakan dengan pendek di sini. Tetapi percayalah jika anda buat carian di Google – filem Nolan, tidak habis kritikan dan pandangan yang diberikan.

Terdapat banyak lagi filem Nolan yang lain, tetapi hanya 8 buah ini sahaja yang telah aku tonton pada saat ini. Aku tak tonton filem Nolan sambil tidur. Eh?

Jika anda kenal peminat Nolan, jangan pelik mereka boleh bergaduh dan berbahas panjang mengenai filem-filem Christopher Nolan ini. Nolan – pengarah mind-fuck film, twisted, anti-CGI, realisme, tidak lari dari perbahasan ilmiah mahupun kedai kopi. Jangan main-main dengan peminat Nolan!

Naim AlKalantani