Filem dan lakonan terutamanya yang dimainkan pelakon-pelakon terkenal seluruh dunia  sememangnya meninggalkan kesan dan nilai yang tersendiri buat para penonton.

Dari cerita yang memaparkan pertembungan watak baik dan jahat sehinggalah yang memaparkan nilai kekeluargaan dan kemasyarakat, setiap darinya pasti akan memberikan ‘sesuatu’ buat mereka yang meninggalkan panggung wayang selepas itu.

Dan buat pemandu teksi dari Negeri Sembilan ini, minatnya terhadap pelakon terkenal Rajinikanth dan pengalamannya menonton filem blockbuster Tamil, Baasha pada 1995 menjadi sebab kenapa beliau menawarkan perkhidmatan teksi percuma buat wanita mengandung.

baashaa
Babak dalam filem Baasha lakonan Rajinikanth

Lelaki tersebut,  P. Raveendran yang memandu teksi di sekitar Negeri Sembilan seperti dilaporkan The Star baru-baru ini dikatakan telah membuat perkhidmatan teksi secara percuma buat ibu mengandung di sekitar bandar utama negeri tersebut sejak hampir dua tahun yang lalu.

Tambah menarik, idea untuk menawarkan perkhidmatan tersebut menurutnya timbul selepas beliau menonton filem Baasha lakonan Superstar Rajinikanth itu suatu ketika dahulu.

“Sewaktu kecil saya masih ingat menonton Rajinikanth membawa watak sebagai pemandu teksi dalam filem Baasha.

“Saya menikmati filem penuh aksi itu tetapi apa yang paling mencuri perhatian adalah sticker yang tertampal di teksi roda tiga  yang menawarkan perkhidmatan percuma untuk perempuan yang ingin melahirkan anak.

“Bermula dari situ saya mula terfikir untuk melakukan perkara sama suatu hari nanti,” kongsinya.

Cita-citanya untuk melakukan perkara sama seperti yang dilakukan bintang filem itu menurutnya menjadi semakin kuat selepas bercuti di India bersama isteri dan kawan-kawannya pada 2018.

Menurut beliau, di India terdapat begitu ramai pengusaha teksi yang menawarkan perkhidmatan percuma buat wanita yang sarat mengandung.

Akhirnya, selepas pulang dari percutian tersebut beliau akhirnya merealisasikan cita-cita itu bermula Februari tahun lalu.

Tidak cukup dengan menawarkan perkhidmatan percuma buat ibu mengandung, beliau kemudiannya memperluaskan perkhidmatannya dengan turut memberikan tambang percuma buat ibu yang baru melahirkan anak dan bayi mereka.

Pertambahan itu menurutnya dilakukan selepas isterinya melahirkan anak pertama mereka dimana isterinya mengandung selepas sebulan selepas dia melakukan perkhidmatan percuma itu.

Dan kini selepas setahun setengah menawarkan perkhidmatan itu, beliau menceritakan ada ketikanya beliau berulang alik sehingga tiga kali seminggu ke Hospital Tunku Ja’afar untuk membantu wanita-wanita mengandung ini.

Walaupun mengakui perkhidmatan teksi sedikit terjejas dengan perintah kawalan pergerakan, namun beliau menegaskan tiada masalah untuk menawarkan perkhidmatan sampingan itu.

“Ini adalah sumbangan saya buat masyarakat,” jelasnya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, heroin Malaya, Aznah Hamid suatu ketika dahulu pernah membintangi filem bersama Superstar Rajinikanth ini. Baca mengenainya di pautan di bawah. 

Netizen Tergamam Bila Tahu Aznah Hamid Pernah Jadi Heroin Rajinikanth

Bagaimana Filem Rajinikanth Memasuki Jepun Dan Menghuru-Harakan Seluruh Dunia

 

Sumber