Bulan lalu, pasangan YouTuber dari Jepun, Chang RM dan Jimmy meluahkan rasa sedih mereka apabila terpaksa meninggalkan negara ini setelah visa pelancong mereka tamat tempoh.

Chang RM dan Jimmy menerusi akaun YouTube mereka, iChang RM banyak berkongsikan video konten makan mereka di Malaysia yang secara tidak langsung membangkitkan minat untuk pengikutnya melancong ke Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Mereka juga pernah tular kerana berkongsi rezeki dengan bersedekah nasi lemak percuma semasa berada di Hong Kong pada bulan Ramadan.

Dalam video menyayat hati yang dikongsi di YouTube, mereka menjelaskan bahawa mereka telah mencapai had visa pelancong selama 180 hari.

“Visa pelancong untuk pemegang pasport Jepun, kami dibenarkan tinggal 90 hari setiap lawatan dan 180 hari setiap tahun. Itu peraturan untuk pelawat Jepun, di Malaysia sebagai pelancong,” terangnya.

Terharu dan sangat berbesar hati disambut baik oleh pihak MDEC setibanya di Malaysia

Susulan daripada video itu, peminat di Malaysia berkata ia satu kehilangan besar sekiranya iChang tidak diberi peluang untuk terus berada di Malaysia kerana impak besarnya di media sosial.

Semalam, iChang dan Jimmy berkongsi video terkini mereka di mana mereka telah kembali dan melawat pejabat Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mengambil DE Rantau Nomad Pass.

Terang Jimmy, mereka sangat gembira kerana MDEC telah memudahkan urusan mereka untuk mendapat DE Rantau Nomad Pass tersebut. Kini, mereka tidak perlu pulang setiap 90 hari sebaliknya dapat menetap di Malaysia secara sah selama setahun.

iChang juga tidak dapat menahan air mata kegembiraan semasa berada di pejabat MDEC dan berkata sangat terharu dengan layanan MDEC serta akan gunakan pas nomad itu sebaiknya.

Untuk membalas jasa baik kerajaan Malaysia, Jimmy berkata akan hasilkan lebih banyak konten video tentang Malaysia dan cuba bukan sahaja makanan baharu, tetapi mempelajari budaya di Malaysia.

“Kami berjanji akan hasilkan lebih banyak video tentang Malaysia. Kami lebih tenang sekarang kerana jika sebelum ini kami perlu fikir tentang 90 hari sebelum kena pulang ke Jepun, fikiran kami sudah berubah dan cara kami berfikir untuk hasilkan konten juga kini berbeza.

“Bukan sahaja video makan, tetapi kami akan buat konten lain dan explore Malaysia dengan lebih menyeluruh,” kata Jimmy.

Nama sebenar mereka berdua itu, Ai Nishida (iChang) dan Yusuke Nishida (Jimmy) adalah peminat makanan tempatan di Malaysia dan kini mempunyai lebih 356,000 pengikut di YouTube. Selamat kembali buat iChang dan Jimmy!