Apabila bercuti dengan anak kecil, keselesaan menjadi antara faktor yang perlu dipertimbangkan kerana tidak mahu anak meragam dan juga berasa selamat.

Terbaharu, seorang pengguna Facebook Syafikah Efaa dalam group Hotel Review Malaysia telah berkongsi pengalaman buruknya ketika menginap di sebuah hotel di Cameron Highlands.

Baca Juga:

Bilik yang ditempahnya tidak mempunyai TV dan juga kipas, tetapi dia tidak kisah kerana memang sudah dinyatakan sebelum dia membuat tempahan.

Menerusi perkongsiannya, dia berasa hampa bukan disebabkan keadaan bilik tetapi kerana layanan biadab pekerja hotel tersebut. Mana tidaknya, apabila terdapat bunyi sedikit, pekerja hotel itu akan pandang tidak puas hati.

Bukan itu sahaja, ketika anaknya yang berusia setahun ketawa dalam bilik, pekerja hotel terbabit bertindak mengetuk biliknya bertanya sama ada anaknya tadi ada menangis kerana dengar anaknya menangis.

Susulan itu, dia turun menemui pekerja hotel bertanya sama ada menerima aduan daripada pelanggan dan pekerja tersebut mengatakan ada.

Malah, dia juga berkata kepada pekerja hotel bahawa tidak patut mereka mengetuk pintu seperti itu walaupun mempunyai hak. Selepas itu, pekerja tersebut melenting dan mengatakan dia tidak pandai menjaga anak kerana membiarkan anak membuat bising.

Tambah pekerja itu, terpulang kepada dia untuk mengikuti peraturan agar sentiasa ‘senyap’ atau jika tidak boleh, maka dia perlu pergi dari hotel terbabit serta tiada refund.

Oleh itu, pada jam 12 malam, dia sekeluarga keluar dari hotel terbabit. Perkongsian pengalaman wanita ini telah menjadi bualan ramai dan rata-rata netizen telah meninggalkan komen sehingga menjatuhkan rating hotel terbabit di Google review.

Hasil tinjauan kami mendapati rating hotel dari 5.0 bintang kini jatuh kepada 1.5 bintang. Malah, ada netizen mengatakan bahawa hotel tersebut dikenali sebagai hotel senyap. Hal ini juga membuatkan segelintir netizen takut untuk melancong bersama anak kecil.