Hujung minggu lalu, salah satu kapal prototype milik The Ocean Cleanup, Interceptor 002 telah menarik perhatian ramai apabila dilihat sedang membersihkan perairan negara bagi membantu membersihkan sampah sarap yang sudah lama berada di dalam sungai.

Namun, sebenarnya kapal Interceptor ini sudah mula membersihkan Sungai Klang sejak Ogos yang lalu lagi atas inisiatif kerajaan Selangor. Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari Interceptor telah menjalankan tugasan yang baik dalam membuang sampah yang sudah lama tidak terusik di Sungai Klang.

Kerajaan Selangor juga dilihat mahu melanjutkan kerjasama dengan syarikat dari Belanda tersebut dan merancang untuk menambah satu lagi unit Interceptor bagi membersihkan sungai lain di Selangor.

Interceptor ini dipinjam daripada The Ocean Cleanup tanpa sebarang kos dikenakan kepada kerajaan Selangor untuk tempoh masa setahun. Kapal bernilai RM3.2 juta yang berada di Sungai Klang ini merupakan hanya dua unit Interceptor yang beroperasi di luar Belanda; satu unit lagi sedang beroperasi di Jakarta.

“Saya gembira dengan kehadiran Interceptor ini. Ianya selari dengan inisiatif kerajaan Selangor untuk meningkatkan kualiti air sungai di Selangor yang kami sudah giat jalankan sejak 2016. Kami akan melihat data The Ocean Cleanup untuk mengetahui kawasan mana yang teruk tercemar terlebih dahulu. Kemungkinan besar kami akan letak sebuah lagi Interceptor di Kuala Langat,” kata Amirudin kepada New Straits Times.

“Dengan kehadiran Interceptor ini, lebih banyak sampah dapat ‘dihapuskan’ daripada Sungai Klang. Ini adalah usaha kami untuk membersihkan semula Sungai Klang. Harapnya Sungai Klang akan kembali bersih sehingga kita dapat berenang dalamnya,” tambah Amirudin.

Ocean Cleanup
Penerangan Sungai Klang oleh The Ocean Cleanup di laman rasmi mereka

Menurut The Ocean Cleanup, Sungai Klang merupakan antara 50 batang sungai yang paling mencemarkan lautan di seluruh dunia. Kehadiran Intercetor di Sungai Klang menunjukkan kerajaan Selangor sangat serius dalam membersihkan kembali Sungai Klang.

Sungai Klang tidak akan kembali bersih tanpa sokongan penduduk tempatan. Diharap kita tidak lagi membuang sampah ke sungai dan sama-sama menjaga sungai kita. Bukan hanya di Selangor, tetapi di seluruh negara.

Sebelum ini, pengasas The Ocean Cleanup nyata terkejut dengan jenis sampah yang dikaut oleh Interceptor di perairan negara. Selain sungai, ini beberapa inisiatif kerajaan Selangor yang lain bagi memperkasakan negeri Selangor.

Apa Yang Boleh Dijangka Daripada Intipati Belanjawan Selangor 2020?

Pengasas ‘The Ocean Cleanup’ Terkejut Dengan Sampah Yang Ditemui Di Perairan Malaysia

Sumber