Sejak nombor plat siri ‘FF’ dibuka untuk dibida pada minggu lalu, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan nombor plat idaman masing-masing.

Pada pagi tadi, Menteri Pengangkutan mendedahkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri ‘FF’ catat hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.29 juta.

Baca Juga:

“Seramai 34,032 orang telah menyertai pembidaan melalui platform JPJeBid dan sebanyak 8,348 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing. Tahniah diucapkan.

“Ini menunjukkan satu sistem atas talian yang telus boleh menjana hasil yang lebih tinggi untuk Kerajaan,” petik kenyataan Facebook Anthony Loke.

Beliau berkata nombor plat yang mendapat bidaan tertinggi adalah FF8 dengan harga RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999), FF3 (RM639,000) dan FF2 (RM638,000).

Lima nombor yang mendapat minat paling tinggi adalah FF199 dengan seramai 34 pembida, FF51 dengan 32 pembida dan seterusnya FF155, FF555 dan FF1688 dengan masing-masing 29 pembida.

Tambah beliau lagi, rebutan pembida begitu memberangsangkan sehingga menyebabkan sistem itu gagal Khamis lepas akibat trafik yang tinggi, memaksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bidaan selama 24 jam.

Beliau memohon maaf atas kesulitan dan mengakui bahawa terdapat perkara yang perlu ditambah baik bagi memastikan kelancaran sistem itu.

Menjawab dakwaan bahawa tiga nombor dengan nilai bidaan tertinggi dimenangi oleh seorang individu yang sama seperti yang tular di media sosial, Loke berkata ia tidak menjadi masalah sekiranya benar kerana setiap pembida boleh membida sehingga tiga nombor dalam sesuatu siri.

“Selagi dia ikut peraturan dan membuat bidaan tertinggi, maka dia dapat (nombor plat). Kita tidak lihat kepada latar belakang pembeli,” katanya.