Pasaraya Tesco Bukit Mertajam mengambil tindakan yang berlandaskan kemanusiaan dalam mengendalikan satu kes kecurian di pasaraya itu, baru-baru ini.

Mohd Pirdaus Azizan, 31, seorang penganggur ditahan oleh kakitangan keselamatan di situ selepas didapati mencuri buah-buahan dan minuman tin.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pirdaus ditahan ketika beliau sedang bergegas untuk keluar dari pasaraya itu.

Ketika disoal siasat, Pirdaus berkata dia terpaksa mencuri kerana dia tidak mempunyai wang untuk membeli makanan buat tiga orang anaknya yang kelaparan.

Anak-anaknya berusia antara dua hingga tujuh tahun.

“Isteri saya, Norfarahiza Salahuddin, 31, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Bukit Mertajam kerana komplikasi akibat keguguran,” kata Pirdaus.

Pengurus Tesco Mall Bukit Mertajam, Harlina Arijauddin dan Pengurus Sumber Manusia, Nurdiana Ajis mengambil keputusan untuk tidak mendakwa Pirdaus sejurus mendapat kesahihan cerita Pirdaus.

“Kami bukan mahu menggalakkan kecurian. Tetapi kes ini berbeza. Kami sudah menjalankan siasatan dan apa yang diceritakan Pirdaus memang benar. Kami bersimpati dengan kesusahannya, dan kami faham apa yang dilakukan adalah kerana terpaksa,” kata jurucakap Tesco.

Bukan itu sahaja, pengurusan Tesco Bukit Mertajam juga bermurah hati menawarkan pekerjaan buat Pirdaus di pasaraya itu.

Sementara itu, sumber polis memaklumkan, pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan kerana tiada sebarang laporan polis dibuat.

“Tindakan lelaki berkenaan mencuri memang satu kesalahan namun ia dibawah pengurusan pasaraya berkenaan.

“Pihak Tesco ada memaklumkan mengenai kejadian berkenaan namun menyatakan ia telah diselesaikan secara baik oleh pihak mereka,” katanya.

Sumber