Selasa lalu berlangsungnya tayangan perdana filem The Boss Baby bersama pembaca The Vocket dengan kerjasama 20th Century Fox. Terima kasih pada semua yang hadir! Pada yang tidak menyertai pertandingan #VocketPremiere untuk filem The Boss Baby ini, anda rugi besar sebab filem ini sungguh fun dan happy sahaja sepanjang masa!

Kalau sebut sahaja nama DreamWorks Animation, pasti ramai akan terus ingat dengan filem Shrek, Kung Fu Panda, Madagascar dan banyak lagi. Jadi DreamWorks menambah satu lagi portfolio hebat dalam senarai mereka menerusi filem The Boss Baby ini. Direktor filem ini pula adalah Tom McGrath, direktor yang sama di sebalik kejayaan filem-filem hebat DreamWorks sebelum ini seperti Madagascar dan Megamind. Kalau anda pernah tonton animasi-animasi ini, anda pasti boleh agak betapa fun-nya filem The Boss Baby ini nanti!

Jalan filem The Boss Baby ini berkisahkan Tim Templeton (Tobey Maguire) yang menceritakan dirinya ketika berusia tujuh tahun sebagai seorang yang kuat cemburu, kuat bercakap dan perlu menjaga adiknya, ‘Boss Baby’ (Alec Baldwin). Tim mahu mendapatkan kembali kasih sayang ibu bapanya (Jimmy Kimmel dan Lisa Kudrow) daripada adik barunya tetapi ketika mengintip adiknya pada satu malam, Tim mendapat tahu adiknya itu adalah lebih dari sekadar baby. The Boss Baby mempunyai satu misi penting iaitu untuk menggagalkan pelan jahat Puppy Co, yang ingin melancarkan satu produk unggul yang akan melenyapkan rasa cinta manusia terhadap bayi comel.

Jadi kita terus ke kupasan filem ini. Paling menarik tentang filem ini adalah tentang bagaimana DreamWorks berjaya mengadun lawak di dalam filem ini supaya ianya boleh diterima oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Ada lawak di dalam filem ini yang hanya akan difahami oleh orang dewasa. Contohnya dalam babak Boss Baby sedang bermesyuarat dengan baby yang lain. Ada dialognya berbunyi begini,”Cookies are for closers!”. Kalau anda yang kerja bahagian sales, mesti anda faham terma close sale kan? Haha.

Sindrom anak pertama turut diterapkan dalam filem ini. Sebelum kehadiran Boss Baby, Tim dicurahi dengan kasih sayang dan sangat gembira dengan perhatian yang diberikan oleh ibu bapanya. Tetapi selepas kehadiran adiknya, Tim merasakan beliau kurang disayangi dan kini dilayan dengan teruk oleh ibu bapanya. Rasanya ramai yang boleh relate dengan perasaan Tim ini terutamanya jika anda anak sulung dalam keluarga.

Cerita ini juga straight-forward dan mudah untuk difahami oleh setiap generasi. Cerita ini dari awal sehingga tamat, happy sahaja dan penuh gelak tawa. Tetapi ada juga bahagian sedih dalam filem ini yang terasa sampai ke hati. Nak tahu bahagian mana? Itu anda kena tengok sendiri.

Pada pendapat saya, DreamWorks Animation sekali lagi berjaya dalam membuat penonton gembira dengan enjoy every minutes filem ini. Tiada ruang untuk anda berasa bosan kerana adengan aksi dan lucu diadun dengan baik sepanjang filem ini.

Untuk filem The Boss Baby, saya beri rating 8/10. Rating ini diberikan berdasarkan gelak tawa mereka yang tonton filem ini ketika Vocket Premiere dan adik kecil disebelah saya yang tak berhenti gelak dari awal melihat gelagat Boss Baby yang comel. Kecomelan overload sungguh dalam filem Boss Baby ini. Kalau anda mahu belanja anak/adik kecil anda tengok wayang hujung minggu ini, anda boleh KIV filem Boss Baby ini. Dan terima kasih sekali lagi buat 20th Century Fox kerana sudi memilih The Vocket untuk tayangan perdana. Mohon ada lagi sesi tayangan perdana dengan 20th Century Fox selepas ini. Adios!