Selasa lalu kami berpeluang untuk menonton filem The Circle bersama pembaca The Vocket dan terima kasih TGV Pictures kerana memberi peluang untuk kami menonton filem ini ketika tayangan perdana. Jadi kita mula sedikit dengan sinopsis ringkas filem ini.

The Circle berkisahkan Mae (Emma Watson) yang diambil bekerja di The Circle, sebuah syarikat teknologi dan sosial media paling besar dan hebat di dunia. Mae nampak peluang bekerja di The Circle sebagai peluang yang tidak dapat dilepasan.

Selepas Mae beberapa bulan di The Circle, beliau dipilih oleh pengasas The Circle, Eamon Bailey (Tom Hanks) untuk mencuba satu teknologi baharu yang bakal mengubah hidup Mae. Eksperimen ini akan menguji privasi dan kebebasan peribadi Mae di mana setiap pergerakan yang dibuat Mae, akan ditonton oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Circle. Adakah ianya sesuatu yang bagus apabila anda menjadi hak milik masyarakat dan anda tidak lagi mempunyai privasi untuk diri sendiri?

Selepas melihat filem The Circle ini, saya merasakan dunia teknologi yang kita ada ketika ini cuma beberapa langkah sahaja lagi untuk kita mencapai teknologi The Circle seperti yang digambarkan penulis skrip filem ini, Dave Eggers. Filem ini adalah diasaskan dari buku yang ditulis Dave Eggers dengan tajuk filem yang sama.

Dalam filem ini, apabila Eamon Bailey (Tom Hanks) memperkenalkan sebuah camera yang kecil (sebesar biji guli), ianya memberi dimensi baharu bagaimana kita melihat dunia. Kamera-kamera ini dibiarkan bertaburan di serata dunia supaya orang di seluruh dunia dapat melihat dunia melalui kamera-kamera ini. Mae (Emma Watson) turut diberikan satu kamera kepadanya untuk dipakai sepanjang masa. Jadi sesiapa pun boleh lihat pergerakan Mae setiap hari jika mereka mempunyai akaun di Circle. Sama konsep seperti Facebook Live dan Bigo Live yang kita ada sekarang.

Secara halusnya, filem ini ingin memberi peringatan kepada kita bahawa jangan terlalu bergantung dan percaya sepenuhnya kepada media sosial dan enjin carian seperti Google. Pernah tak anda tekan ‘Yes’ sahaja pada terma dan syarat jika anda muat turun sesuatu file atau ketika membuka akaun laman sosial yang baharu?

Inilah yang cuba disampaikan dalam filem The Circle. Apabila sesuatu syarikat teknologi menjadi terlalu berkuasa, mereka ingin jadi sebahagian dari hidup anda dan mahu cipta perasaan anda tidak boleh hidup tanpanya. Lebih menakutkan apabila The Circle ini mempunyai akses kepada setiap maklumat peribadi anda; termasuk perkara seperti apa makanan kegemaran anda dan apa jenis darah anda tanpa anda membuka mulut tentang perkara-perkara ini.

The Circle memberi kritikan kepada pengguna sosial media dan internet yang terlalu obses dengan aktiviti di atas alam maya tanpa memikirkan risiko yang mereka mungkin alami; antaranya pencerobohan maklumat peribadi oleh syarikat gergasi. Dan apa nasib anda jika anda bukan seorang yang tech savvy dan tidak peduli pun tentang media sosial? Anda akan dikecam teruk dan dianggap kuno dan tak up-to-date. Sampai begitu sekali orang yang obses dengan dunia maya ini menghakimi orang lain.

Secara jujur filem ini mungkin bukan untuk semua kerana filem sci-fi drama ini memang agak heavy dan meleret. Filem ini tidak mempunyai adegan aksi yang mengujakan tetapi bagi sesiapa yang bekerja menggunakan media sosial, anda boleh relate kehidupan anda dengan filem ini.

Memang agak sukar sebenarnya untuk mengadaptasi filem dari buku kerana akan ada banyak details yang perlu dibuang. Kalau semua dari buku diterjemahkan ke dalam filem, sesuatu filem itu mungkin 4-5 jam panjangnya. Rating kami untuk filem ini 6/10. Kalau anda sudah khatam semua filem di pawagam, bolehlah tonton The Circle ini untuk muhasabah diri. Btw, awesome sungguh wayang TGV di One Utama. Kerusi luas dan selesa. Boleh datang tengok di sini lagi di masa hadapan.

0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤