Sebut saja nama The Rock atau Dwayne Johnson pasti semua orang akan mengenali pelakon bertubuh sasa daripada Amerika Syarikat ini. Jika anda bukan penggemar lakonannya sekalipun, pasti anda pernah mendengar namanya ketika zamannya berkelahi bersama superstar-superstar hebat ketika di arena gusti.

Pernah memenangi pelbagai kejuaraan sewaktu bergelar penggusti profesional suatu ketika dahulu, The Rock kini dilihat lebih tertumpu kepada bidang lakonan dan boleh dikatakan hampir setiap tahun beliau akan membuat kemunculan dalam filem-filem Hollywood.

rock
The Rock ketika di zaman awal kemunculannya. FOTO: BLEACHER REPORT

Kejayaan dan kesenangan yang dimiliki The Rock ini bagaimanapun bukannya datang dengan mudah. Malah dia sebelum ini selalu bercerita tentang kesusahan yang dialaminya sebelum bergelar penggusti profesional.

Selepas banyak kisah yang dikongsikan beliau sebelum ini, The Rock baru-baru ini sewaktu sambutan Hari Krismas sekali lagi berkongsi kisah kesusahan hidupnya sewaktu sebelum bergelar penggusti.

Tetapi berbeza dengan kisah yang mungkin boleh membuatkan anda berasa terharu dan menangis, kisah yang dikongsikan The Rock kali ini mungkin membuatkan anda ketawa di penghujungnya.

photo_2021-01-05_11-12-54
The Rock dalam perkongsian di Instagram baru-baru ini.

Spoiler alert! Kisah yang dikongsikan The Rock di IGTV miliknya baru-baru ini berakhir dengan pemberian sebuah kereta Ford F-150 kepada rakannya sebagai menggantikan kereta pertama yang pernah dibeli menggunakan duit rakannya itu suatu ketika dahulu.

Dalam video berkenaan, The Rock yang datang berjumpa dengan sahabat lamanya itu (untuk memberikan hadiah kereta berkenaan) mengimbau kembali kenangan mereka berdua ketika membeli kereta pertama untuk Rock sewaktu dia remaja.

Mula mengenali antara satu sama lain sejak beliau berusia 15 tahun, sahabatnya yang dikenali sebagai Bruno itu menurut Rock pernah menumpangkannya untuk tinggal bersama beliau sewaktu beliau tiba di Nashville (selepas dihalau dari Hawaii bersama ibunya).

“Jadi kami dihalau dari Hawaii kerana tidak mampu membayar sewa dan saya kemudiannya dihantar ke Nashville.

“Mulanya saya ingatkan akan tinggal bersama ayah saya tetapi bila saya sampai saya diambil oleh lelaki yang tidak dikenali dan ketika itulah saya sedar saya akan tinggal bersama Bruno,” jelas Rock.

Selepas Rock menginjak dewasa beliau kemudiannya difahamkan telah berpindah keluar sebelum takdir sekali lagi menemukan mereka di mana Rock sekali lagi menumpang di treler beliau sewaktu memulakan karier gustinya di bandar Walls, Mississipi.

Beli kereta daripada ‘Mat Gian’

Sewaktu tinggal bersama Bruno ini lah berlakunya kisah melucukan antara The Rock, rakannya itu dan penagih dadah (mat gian) ketika beliau membeli kereta pertamanya.

“Saya beli kereta pertama saya daripada penagih dadah (mat gian). Dia bertanya kepada saya siapa ingin membeli kereta Thunderbird ini? Ada kereta ingin dijual laung penagih berkenaan,” jelas Rock.

Mengimbau kembali mengenai kereta pertamanya itu, Bruno kemudiannya menceritakan pengalaman melucukan mereka mengenai pembelian kereta pertama Rock itu dimana beliau membantu untuk membayarkannya menggunakan duitnya sendiri ketika itu.

“Dia (Rock) menggesa saya untuk mendapatkannya dan penagih itu kemudiannya terdengar dan meminta 80 dolar daripada kami untuk kereta berkenaan. Selepas itu saya berkata baiklah kami akan membayar 40 dolar dahulu.

“Esok kami akan kembali dan membayar lagi 40 dolar. Tetapi kami ketika itu sudah berkira-kira untuk tidak datang kembali dan membayar bakinya. Kami mengambil kereta itu dan saya mengikuti Rock dari belakang (dengan kereta lain). Kereta yang baru dibeli itu tiada sebarang dokumen bersamanya,” cerita Bruno sambil ketawa.

Menyangkakan mereka sudah terlepas daripada mat gian berkenaan, Rock kemudiannya memandu pulang kereta tersebut sebelum terpaksa berhenti secara tiba-tiba di bahu jalan.

Bruno ketika itu berfikiran kereta berkenaan sudah tidak lagi boleh digunakan walaupun baru sahaja dibeli. Namun begitu, itu bukanlah apa yang berlaku menurut mereka.

3

“Tiba-tiba keluar seorang lagi mat gian daripada kerusi tempat duduk belakang, muncul dari bawah selimut.

“Dia kemudiannya bertanya kepada kami ‘kita hendak ke mana ni?”

“Dwayne selepas itu kemudiannya memaksa dia keluar dari kereta itu. ‘Awak perlu keluar, kami baru sahaja membeli kereta ini daripada kawan awak’.

“Mat gian itu kemudiannay dengan tenang meminta maaf seperti tiada apa yang berlaku dan mula mengemas barang-barang beliau daripada kereta yang dibeli Rock,” kongsi mereka berdua sambil tidak dapat menahan ketawa.

Kini selepas mungkin dua puluh tahun, mereka juga sempat berjenaka masih lagi berhutang dengan mat gian tersebut sebanyak 40 dolar untuk baki pembayaran kereta berkenaan.

Terharu dengan kebaikan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bersama Bruno itu, Rock kemudiannya membuat kejuatan buat sahabat lamanya itu dalam video berkenaan.

Mereka yang ketika itu bertemu di set penggambaran Young Rock, filem yang mengisahkan kehidupannya sewaktu muda, Rock kemudiannya menghadiahkan sebuah pacuan empat roda kepada rakannya itu.

“Awak membantu saya mendapatkan kereta pertama saya daripada mat gian itu dengan 40 dolar yang mana kita masih berhutang dengannya.

“Jadi saya rasa kini tiba masanya untuk saya membalas jasa baik yang anda telah lakukan kepada saya,” jelas Rock sebelum mengakhiri video berkenaan.

Baca juga perkongsian kami mengenai The Rock sebelum ini yang menghancurkan pagar rumahnya semata-mata tidak mahu terlambat ke set penggambaran melalui pautan di bawah. 

The Rock Cabut ‘Auto Gate’ Guna Tangan, Tidak Mahu Terlambat Ke Tempat Kerja

Dwayne Johnson The Rock Berkongsi Kisah Silam Kesusahan Ibunya

Bangun Pagi Tidak Lagi Sama Dengan Motivasi Daripada The Rock

Sumber