Baru-baru ini tular di media sosial atas perkongsian mengenai seorang warga pendidik yang bertungkus lumus mengadakan kelas online bagi persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun tiada seorang pelajar pun yang hadir dan memberi kerjasama.

Menerusi ciapan daripada individu yang dikenali sebagai Nur Nuhan Narisya Binti Mustakim, bagi menggalakkan mereka untuk hadir ke kelas, bapa beliau telah menghubungi seorang demi seorang anak muridnya namun sebilangan daripada mereka telah mematikan telefon.

Selain itu, lebih menyedihkan apabila terdapat pelajar yang memberi alasan bahawa mereka sedang bekerja sedangkan mereka akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan Februari tahun hadapan.

Disebabkan merasa kasihan melihat bapanya yang keseorangan di dalam kelas online tersebut, Nuha telah bertindak mendaftar masuk ke kelas bapa beliau bagi menghiburkan hati bapanya yang lara.

Menurut Nuha, pada awalnya bapa beliau tidak tahu cara menggunakan aplikasi Zoom serta Google Meet dan meminta beliau mengajarnya serba sedikit mengenai aplikasi tersebut.

Apabila sudah jadi sebegini, sudah tentu bapanya merasa sedih kerana menganggap usaha beliau seperti tidak dihargai.

Perkongsian itu bukan sahaja telah mendapat maklum balas yang positif daripada rata-rata netizen, malah mereka turut hadir kelas online yang diadakan menerusi aplikasi Google Meet bagi memberi sokongan serta semangat kepada guru tersebut.

Masih Doakan Pelajar Beliau Berjaya Dalam SPM

Sewaktu dihubungi pihak The Vocket, Nuha bagaimanapun menjelaskan bahawa pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan hanya dua atau tiga orang sahaja yang akan hadir kelas online, paling ramai pun lima orang.

Selepas perkongsian beliau mendapat perhatian rakyat Malaysia, bapanya yang lebih mesra dipanggil Cikgu Mustakim merasa sebak kerana ramai yang telah mendoakan kebaikan kepada beliau malah beliau juga turut mendoakan supaya pelajar beliau mendapat keputusan cemerlang untuk SPM.

“Selepas viral, ayah menangis masa drive sebab satu Malaysia mendoakan kebaikan dekat dia. Dia pun tak ambil hati sebenarnya tetapi terus berdoa supaya semua pelajar beliau cemerlang SPM,” katanya lagi.

Menerusi akaun twitter bapanya, beliau telah mengucapkan terima kasih pada mereka yang menyokong malah beliau turut mendoakan anak-anak murid beliau berjaya dalam peperiksaan SPM.

“Assalamualaikum, terima kasih atas sokongan, semangat dan doa dari warga tweet. Doakan anak-anak SPM ini dipermudahkan untuk hadir kelas dan berjaya dalam SPM,” pesan beliau.

Walaupun begitu, selepas perkongsian tersebut, terdapat beberapa pelajar beliau tampil dan memohon maaf atas perbuatan mereka malah mereka turut berjanji untuk hadir ke kelas selepas ini.

“Selepas viral, pelajar yang tidak pernah tunjuk muka dan hubungi dia pun mesej memohon maaf dan telah berjanji untuk hadir ke kelas selepas ini,” kata Nuha.

Bagi menaikkan semangat Encik Mustakim, terdapat beberapa pelajar yang menghubungi beliau bagi menanyakan jika beliau tertarik untuk membuat kelas tambahan.

Namun, Encik Mustakim masih belum buat keputusan sama ada beliau akan buat kelas tambahan untuk pelajar luar. Semoga kisah ini menjadi pengajaran untuk kita semua. Sama-sama kita hargai jasa dan pengorbanan guru yang sentiasa mahu melihat anak muridnya berjaya dalam hdi

Ini pula kisah mengenai seorang guru di Sarawak yang sanggup korbankan masa pergi ke rumah murid setiap minggu supaya pelajaran anak muridnya tidak tercicir. Baca pada pautan di bawah.

Cikgu Di Sarawak Tular, Sanggup Korban Masa Memandu Ke Rumah Pelajar Setiap Minggu

‘Ali Awak Buat Apa Ali?’- Telatah Wartawan TV3 Ditegur Cikgu Ini Buat Netizen Tergelak

Bukan Untuk Tular, Guru Dedah Video ‘Bapa Saya Masak Ketum’ Hanya Dihantar Kepada Ibu

Sumber