Sebuah bot yang dinaiki oleh warga Rohingya telah dipintas oleh pihak berkuasa Indonesia yang terkandas di perairan negara itu. Sekurang-kurangnya terdapat 100 orang di dalam bot tersebut dan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa untuk menyelamatkan bot tersebut, namun pihak berkuasa Indonesia tetap tidak membenarkan bot itu mendarat. Bagaimanapun, pihak berkuasa menghantar barangan keperluan, makanan dan bahan api, termasuk juruteknik untuk membaiki bot yang rosak itu sebelum mengusir mereka ke perairan Malaysia.

“Orang Rohingya bukan warga Indonesia, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membawa mereka masuk walaupun sebagai pelarian. Ini selaras dengan dasar kerajaan,” kata Dian Suryansyah, seorang pegawai tentera laut tempatan.

Bot kayu itu mula dilihat dua hari lalu, terkandas kira-kira 70 batu nautika (130km) di luar pantai Indonesia, menurut seorang komander tentera laut tempatan.

Memetik laporan CCN, Indonesia tidak menandatangani Konvensyen PBB 1951 yang berkaitan pelarian dan kebanyakannya dilihat sebagai negara transit bagi mereka yang mencari suaka di negara ketiga.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata dalam satu kenyataan pada hari Selasa bahawa bot itu mengalami kerosakan enjin dan harus dibenarkan mendarat.

“UNHCR bimbang tentang keselamatan dan nyawa pelarian di atas kapal itu,” kata kenyataan itu.

Manakala Badruddin Yunus, ketua komuniti nelayan tempatan pula berkata, pelarian itu telah berada di laut selama 28 hari dan sebahagian daripada mereka telah jatuh sakit dan seorang meninggal dunia.

Tambah beliau lagi, enjin bot yang dinaiki oleh pelarian tersebut telah rosak dan pelarian itu tidak boleh berkomunikasi dengan nelayan tempatan oleh sebab kekangan bahasa di antara kedua-dua belah pihak.

Pelarian Muslim Rohingya dari Myanmar telah bertahun-tahun belayar ke negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia antara November dan April ketika laut tenang. Namun banyak negara menolak kehadiran mereka walaupun terdapat gesaan daripada kumpulan hak asasi antarabangsa untuk memberikan bantuan kepada pelarian tersebut.

Pada pertengahan tahun ini, ribuan pelarian Rohingya telah merusuh kerana enggan tinggal di dalam kem yang sesak diumpamakan seperti kawasan tempat tinggal setinggan.

Ribuan Pelarian Rohingya Merusuh, Tak Mahu Tinggal Di Kem Yang Sesak Seperti Setinggan

Majoriti Rakyat Malaysia Tidak Setuju Jika Kaum Muslim Rohingya Ditempatkan Di Negara Ini

Sumber