Seronoknya Western Australia! Itulah satu frasa yang boleh diucapkan selepas tamat bercuti ke wilayah Australia Barat. Kalau anda biasa dengar bandar Perth, sebenarnya Australia Barat menawarkan lebih daripada itu.

Memang terdapat pelbagai aktiviti hebat yang anda boleh cuba dan sejujurnya, tidak cukup seminggu untuk menerokai keindahan Australia Barat ini. Jadi kami senaraikan beberapa lokasi serta aktiviti wajib yang anda perlu lawat sekiranya pergi bercuti di Perth. Boleh kata percutian anda tidak lengkap jika tidak jejak lokasi ini. Sedia? Jom kita mula.

1. Bersantai di Kings Park And Botanical Garden

Jika anda tidak ke sini, memang tidak lengkap percutian anda Ke Perth! Kings Park merupakan taman dengan keluasan 400.6 hektar untuk pengunjung sama-sama melihat dan merasai keindahan flora yang terdapat di Western Australia. Menurut rekod, lebih 2,000 tanaman dan 80 jenis burung boleh didapati di sini.

Kings Park merupakan lokasi paling popular di Western Australia dan dilawati lebih 5 juta pelancong setiap tahun. Di taman ini, anda boleh melihat ramai pengunjung yang berkelah dan bersantai kerana kawasannya yang bersih dan nyaman. Jadi, jika anda mahu bersantai atau tidur sebentar di sini pun, tiada siapa yang akan ganggu.

AA Pokok
Giant Boab ‘Gija Jumulu’ yang berusia lebih 750 tahun

Pokok paling popular yang merupakan ‘bintang’ di Kings Park ini semestinya Giant Boab ‘Gija Jumulu’ yang sudah berusia lebih 750 tahun. Menariknya, pokok ini dipindahkan lebih 3,200km dari daerah Kimberly dan pokok ini masih hidup dan mengeluarkan daun setiap tahun!

2. Bergambar Di Blue Boathouse

Lokasi Blue Boat House ini hanyalah berdekatan Kings Park di Perth. Sejujurnya ketika ditanya kepada orang tempatan di sini, mereka juga tidak tahu mengapa Blue Boathouse ini boleh jadi begitu terkenal.

‘Kegilaan’ itu sebenarnya bermula di Instagram apabila ramai yang tertarik dengan kecantikan lokasi Blue Boathouse ini. Lokasi ini lebih popular dalam kalangan pelancong Asia berbanding dari luar negara.

Tetapi ia memang salah satu lokasi paling ‘Instagrammable’ di Perth. Jika anda ke Perth dan tidak bergambar di sini, anda secara dasarnya tidak sampai ke Perth. Gurau sahaja. Anda boleh berjalan kaki sahaja dari Kings Park untuk bergambar di sini.

3. Busselton Jetty

Busselton Jetty ini terletak 225km dari bandar Perth. Apa yang menarik tentang Busselton Jetty ini? Ia adalah jeti kayu paling panjang di hemisfera selatan dengan jarak 1.8km. Memang panjang bukan? Jeti ini juga sudah mula dibina sejak tahun 1865 lagi.

Untuk menyusuri jeti ini, anda ada dua pilihan sama ada untuk berjalan kaki atau menaiki kereta api. Di sini anda dapat melihat terumbu karang serta air lautnya yang sangat jernih. Bila lihat air lautnya, terus terasa mahu mandi pantai. Memang sangat cantik pemandangan di sini.

4. Beli dan makan cheese di Margaret River

Sebaik sahaja anda selesai di Busselton Jetty, bandar kecil Margaret River ini adalah antara tempat yang anda perlu singgah. Di sinilah tempat untuk anda membeli keju segar!

Terdapat pelbagai jenis keju buatan tempatan yang boleh didapati di sini antaranya cheddar, blue cheese dan banyak lagi. Ini juga pertama kali dapat merasa keju segar dan penduduk di sini makan keju dengan biskut atau daun sahaja. Pengalaman yang baru bagi kami.

AA Keju
Makan begini pun sedap!

The Margaret River Dairy Company: Cheese & Yoghurt adalah antara syarikat yang menghasilkan keju terbaik di sini. Jika anda mahu tinggal di sini, serviced apartment Margarets In Town adalah antara tempat yang boleh dipilih. Besar dan sangat selesa.

AA Croissont
Croissant sedap yang anda boleh cuba di Margaret River

Kenapa anda perlu bermalam di sini? Kerana terdapat satu kafe yang dibuka setiap hari jam 7.00 pagi menyediakan roti croissant panas dan enak. Padankan pula dengan kopi panas. Memang padu! Anda perlu cuba. Anda hanya perlu tanya penduduk tempatan di mana Margaret River Bakery, mereka pasti akan tunjukkan kepada anda.

5. Mammoth Cave

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan gua ini, tetapi ia sangat menarik untuk dilawati sekiranya anda peminat alam sekitar. Mammoth Cave ini adalah salah satu tarikan yang anda boleh lawati sekiranya anda melawat Margaret River untuk membeli cheese.

Gua sepanjang 500 meter dan 30 meter dalam ini ditemui buat pertama kalinya pada tahun 1850 oleh warga Eropah yang menetap di Margaret River tetapi ia diterokai buat pertama kali pada tahun 1895. Paling menarik tentang gua ini adalah penemuan tulang haiwan yang berusia 35,000 tahun serta tulang haiwan yang sudah pupus seperti Tasmanian tiger.

Sebelum anda masuk, anda akan dibekalkan dengan audio tour untuk anda mengetahui dengan lebih mendalan sejarah Mammoth Cave ini. Sangat menarik.

6. Bermanja dengan kangaroo di Sunflowers Animal Farm

Sekiranya anda mahu melihat kangaroo dengan lebih dekat, kami sarankan untuk anda melawat Sunflowers Animal Farm. Ketika kami melawat ladang ini, kami bertuah kerana terdapat 3 ekor anak kangaroo yang masih kecil dibela di sini.

Ketika kangaroo ini masih kecil adalah peluang terbaik untuk bergambar dan bermanja dengannya kerana kangaroo yang sudah dewasa mungkin agak ‘kasar’.

Bukan hanya kangaroo sahaja tarikan di sini, malah terdapat juga haiwan lain seperti arnab, alpaka, seladang, ayam kampung dan banyak lagi sedia menyambut kedatangan anda. Anda juga akan dibekalkan dengan buah-buahan untuk anda beri makan kepada haiwan-hawan ini.

7. Makan fish & chip di Freemantle

https://www.instagram.com/p/Bv34myqFELh/

Walaupun menu paling popular di Australia sememangnya fish & chip, tetapi tiada yang dapat lawan keenakan fish & chip di Cicerello’s Fremantle.

Pelbagai menu yang boleh dipilih di sini tetapi kami sarankan untuk anda mencuba fish & chip ikonik mereka serta sup seafood chowder. Sup ini anda cicah pula dengan roti, memang tidak dapat digambarkan kesedapannya.

AA Chowder
Sup seafood chowder yang sangat sedap di Cicerello’s Fremantle

Freemantle merupakan sebuah bandar yang sangat unik dan mempunyai vibe yang berbeza berbanding Perth. Banyak aktiviti hebat yang boleh anda buat di sini. Paling rugi sebenarnya jika anda tidak melawat Freemantle. Lagipun, bandar ini hanya 23km dari bandar Perth. Nantikan artikel khas kami untuk bandar Freemantle ini tidak lama lagi.

8. Selfie dengan quokka di Rottnest Island

Terima kasih kepada Chris Hemsworth, Rottnest Island ini terus terkenal di serata dunia. Hanya di pulau ini anda boleh bertemu haiwan comel bernama quokka ini.

Untuk ke Rottness Island ini, anda perlu ke Freemantle terlebih dahulu dan naik ferry ke sana. Harga untuk tiket adalah pergi balik adalah $51 (RM143) untuk dewasa dan $25 (RM79) untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Harga tiketnya mungkin sedikit mahal tetapi ia sangat berbaloi apabila anda tiba di Rottnest Island. Quokka ini sebenarnya pemalu dan agak sukar untuk menangkap gambar selfie dengannya.

Tip untuk bergambar dengan quokka ini adalah anda perlu mendekatinya dengan perlahan dan menggunakan selfie stick. Untuk mencari quokka yang lebih friendly, anda boleh mencari quokka yang berkeliaran di lot kedai souvenir. Kumpulan ini lebih jinak dan ‘gila bergambar’.

In hanyalah sebahagian tempat menarik yang boleh dilawati di Perth. Banyak lagi sebenarnya aktiviti menarik yang boleh dibuat di sana. Untuk memudahkan anda, layari terus laman rasmi Tourism Western Australia di sini.

Bagaimana untuk ke sana? AirAsia X kan ada. Buat terus tempahan anda di sana. Untuk pengetahuan anda, tiket untuk ke Perth juga lebih murah berbanding anda ke kawasan lain di Australia. Ditambah lagi AirAsia sedang menawarkan promosi tiket sempena Tahun Baru Cina, anda boleh membuat tempahan sekarang di sini.

P/S: Terima kasih kepada pihak Tourism Western Australia dan AirAsia kerana menyediakan kemudahan awesome sepanjang kami di sana. Yang pasti, kami akan ke sana lagi nanti. Ayuh!

Untuk tip perjalanan ke Perth, Australia yang lain, anda boleh klik pada artikel di bawah. Semoga percutian anda di Perth akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan!

Ini Cara Saya Travel Solo Di Perth, Australia Selama 5 Hari Tanpa Perlu Sewa Kereta

Tip Travel 6 Hari Ke Perth Australia Bersama Keluarga Dengan Bajet Bawah RM2K Seorang

26 Tip Bercuti Bersama Keluarga Di Perth, Australia