Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dikatakan dipandu dalam keadaan mabuk melanggar beberapa buah motosikal di Jalan Kebun di Klang.

Kemalangan tersebut turut menyebabkan kematian pada salah seorang mangsa dan ada yang terpaksa menerima rawatan di hospital.

Video yang menunjukkan lelaki yang dikatakan pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut dibelasah orang ramai kemudiannya tular di beberapa laman media sosial sejak semalam.

Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pihak berkuasa kemudiannya mendapati pemandu tersebut sebenarnya memandu di bawah kandungan alkohol yang dibenarkan.

Perkara itu turut disahkan sendiri Kementerian Pengangkutan melalui Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar seperti dilaporkan Harian Metro.

Netizen yang tidak berpuas hati dengan kejadian pemandu mabuk yang sering berleluasa turut menggesa pihak berkuasa melakukan sesuatu bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.

mabuk 2 mabuk1

Tidak sampai 24 jam kejadian tersebut berlaku, pihak Polis Diraja Malaysia kemudiannya dilaporkan bersetuju dengan cadangan untuk meminda akta undang-undang yang sedia ada.

Harian Metro melaporkan pihak PDRM melalui Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol diberi hukuman yang lebih berat dan setimpal.

Ini kerana, undang-undang sekarang hanya memperuntukkan pemandu mabuk didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

“Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan,” jelas Datuk Azisman Alias.

Meminum minuman beralkohol adalah pilihan individu setiap orang, tetapi tidak memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol adalah tanggungjawab setiap daripada kita rakyat Malaysia.

Ini adalah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku seperti kemalangan dan kematian. Ingat, berhati-hati di jalan raya dan sentiasa ingat orang yang tersayang.

Baca kisah lelaki ini yang hampir maut selepas dilanggar dari belakang oleh kenderaan pacuan empat roda. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Penunggang Motosikal Ini Hampir Maut Dilanggar Ford Ranger Dari Belakang Yang Dipandu Secara Berbahaya

Selepas Beraksi Bagai ‘Fast and Furious’, Mercedes-Benz Kuning Dari Kelantan Akhirnya Ditahan

Kemalangan Misteri Membabitkan Penunggang Motosikal Dan ‘Hantu’ Cetus Tanda Tanya Netizen