The Pocket Rocketman, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu hantaran Facebook.

Beliau tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung masalah yang dihadapinya sejak kembali ke tanah air pada penghujung Januari lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurutnya, beliau menyatakan kekecewaannya dan rasa terkilan kerana masih tidak mendapat sistem sokongan latihan yang lebih baik berbanding ketika beliau berada di Melbourne, Australia.

“Saya kembali pulang ke tanah air dari pangkalan latihan di Melbourne pada penghujung Januari tahun ini. Setahun lebih sebelum saya pulang, saya telah dipanggil pihak Majlis Sukan Negara (MSN) yang berbincang dan memujuk akan perihal ini.

“Ketika itu, hanya tinggal saya dan Shah Firdaus (Sahrom) yang berlatih di sana (Melbourne) dengan (ketua jurulatih) John Beasley dan kami dalam persiapan untuk temasya Olimpik Tokyo.

“Dengan jelas saya faham niat tersirat mereka adalah untuk menutup pusat latihan di sana (Melbourne) secara berperingkat.

“Sirih tidak kisah untuk pulang ke gagang, asalkan sistem sokongan di Malaysia setara atau pun lebih bagus daripada di Melbourne,” luah beliau.

Azizulhasni menegaskan beliau lebih selesa untuk tinggal dan berlatih di Melbourne dengan tenang dan tanpa gangguan pelbagai perkara seperti ‘politik sukan’ yang berlaku di Malaysia.

Tambah beliau lagi, selepas beberapa siri perbincangan diadakan dan sehingga dia kembali ke tanah air, masih tidak ada sebarang jalan penyelesaian.

Perbincangan dan perjumpaan dengan wakil Azizulhasni telah berlangsung lebih 10 kali dan jawapan yang diterima amat mengecewakan. Tersangat tidak profesional dan hanya membiarkan perkara tergantung dalam jangka masa yang amat lama.

Dalam pada itu, beliau menegaskan masih ada individu yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik di dalam MSN. Bagaimanapun hanya kerana ‘setitik nila’, telah memberi kesan besar terhadap hidup dan kariernya.

Pada akhir hantaran Facebook itu, beliau sedang menunggu hasil keputusan selepas perkara itu telah dibawa kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan dan juga jawatankuasa Program Road to Gold.