Seorang jurujual berputih mata apabila hasratnya mahu membeli kereta baharu  musnah begitu sahaja apabila ditipu oleh sindiket Macau Scam, lapor Harian Metro.

Ng Yaw Jin, 58, berkata, dia mengeluarkan wang KWSP berjumlah RM60,000 untuk membeli Perodua Myvi secara tunai, namun wang itu tersimpan di akaun banknya disebabkan proses tempahan mengambil masa lama.

Baca Juga:

“Namun saya tidak menyangka akan menjadi mangsa sindiket penipuan sehingga duit simpanan saya termasuk duit untuk membeli kereta itu lesap sekelip mata,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuan.

Menceritakan kejadian itu, Ng berkata, kejadian bermula 21 Disember lalu selepas dia menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang.

“Dia (suspek) memaklumkan nama saya telah dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah serta semua wang simpanan akan dibekukan, malah memberitahu boleh membantu menyelesaikan masalah itu.

“Saya kemudian diminta berhubung dengan dua individu lain yang mengaku pegawai tinggi polis dan pegawai di Bank Negara,” katanya.

Disebabkan panik, katanya, dia hanya mengikut semua arahan suspek termasuk menyerahkan maklumat akaun serta nombor pengesahan transaksi (TAC), serta memindahkan wang ke akaun yang bukan miliknya.

Katanya, dia hanya sedar diperdaya selepas wang dalam akaunnya hilang pada 29 Disember lalu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Sumber