Tindakan tiga sekeluarga termasuk dua beradik warga tempatan cuba memecah masuk ke gudang alat permainan buat kali kedua bulan lalu mengundang padah apabila kegiatan mereka berjaya dikesan pemilik gudang tersebut.

Kejadian berlaku apabila pemilik gudang berkenaan yang juga pengadu dikatakan gagal mengakses rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di situ menerusi telefon pintar sebelum terus ke gudang berkenaan untuk memeriksa apa yang berlaku.

Baca Juga:

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, selepas mengesyaki pejabat di gudang tersebut dipecah masuk buat kali kedua, satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 12.22 pagi pada 24 Oktober lalu.

Menurutnya, susulan laporan itu polis berjaya menahan dua daripada suspek berkenaan iaitu dua beradik yang masing-masing berusia 30 dan 25 tahun di sebuah rumah beberapa hari kemudian dan merampas barangan termasuk pakaian, pedang samurai, beg silang, telefon bimbit, pemutar skru dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

Seorang lagi suspek iaitu isteri kepada suspek utama yang kini sedang mengandung lapan bulan turut ditahan tidak lama selepas itu bagi membantu siasatan.

Memetik laporan Kosmo, ketiga-tiga suspek sempat membelanjakan lebih separuh daripada wang berjumlah RM180,000 selepas memecah masuk gudang itu buat kali pertama kira-kira tiga bulan lalu.

Antara barangan yang dibeli hasil ‘joli’ mereka adalah sebuah kereta jenis Honda Civic, dua buah motosikal masing-masing jenis Yamaha Y15ZR dan Honda Vario, empat buah telefon bimbit, satu set bilik tidur dan dua buah mesin basuh.

Turut dirampas adalah tiga bentuk cincin, dua utas rantai tangan, seutas jam tangan pintar serta 12 helai resit pembelian serta resit gadaian emas

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, suspek utama iaitu si abang mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan pecah rumah dan pecah masuk beberapa bangunan lain manakala adiknya pula memiliki lima rekod yang sama termasuk berkaitan dadah.

“Polis percaya, penangkapan dua beradik ini termasuk isteri suspek utama berjaya menyelesaikan dua kes aduan membabitkan kejadian pecah gudang dan kedai di sekitar Seberang Perai Tengah pada Julai dan Oktober lalu.

“Kesemua suspek kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” kata Asisten Komisioner Tan Cheng San dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Sumber