Suruhanjaya Penerbangan Malaysia atau MAVCOM yang baru ditubuhkan pada tahun lepas tidak menggubal mahupun melaksanakan undang-undang berkaitan penerbangan awam.

Namun begitu, MAVCOM boleh ‘menasihati’ kementerian pengangkutan hal-hal berkaitan ekonomi dan komersial seperti penetapan kadar cukai dan pengenalan cukai baru misalnya.

Sudah tentunya hal ini perlu lebih diberikan perhatian kerana ia melibatkan wang ringgit dan poket orang ramai.

Baru-baru ini, MAVCOM mengumumkan akan menyelaraskan caj perkhidmatan penumpang (PSC) di semua lapangan terbang Malaysia khususnya di KLIA dan KLIA2.

Ini bermaksud, caj PSC yang dibayar oleh penumpang di KLIA2 adalah sama dengan penumpang di KLIA.

Jika dahulunya penumpang antarabangsa KLIA2 hanya perlu membayar RM 32 setiap perjalanan, kini cajnya adalah RM 73 iaitu peningkatan sebanyak 128%.

Caj penumpang domestik dan ASEAN pula naik sebanyak RM 5 dan RM 3.

Pada masa yang sama, MAVCOM turut memperkenalkan cukai perlepasan sebanyak RM 1 bagi setiap penumpang. Ini adalah cukai baru.

Semakan caj pendaratan dan caj parkir buat syarikat penerbangan juga akan dilakukan. Kemungkinan semakan ini membawa kepada kenaikan caj.

Apakah rasional kepada langkah-langkah MAVCOM ini terutama langkah menyelaraskan caj PSC? Dan…. bolehkah rasional tersebut diterima?

Rasional pertama – kos operasi dan penyelenggaraan KLIA2 selama ini sebenarnya ‘disubsidi’ oleh penumpang di lapangan terbang yang lain. Mengapa?

Ini kerana rekaan, kemudahan dan fasiliti KLIA2 dengan sistem bagasi moden, laluan imigresen yang pantas dan pusat beli belah di dalamnya menjadikan kos penyelenggaraan dan operasinya menjadi tinggi. Bahkan, semakin tinggi.

Bagi MAHB (operator KLIA2), kos operasi tahunan mereka meningkat sebanyak 80.9% daripada RM277.9 juta pada 2013 kepada RM502.8 juta pada 2015 apabila KLIA2 siap pada Mei 2014.

Akan tetapi caj PSC masih kekal sama, malahan lebih rendah cajnya dibandingkan dengan lapangan terbang KLIA, Kuching, Melaka, Ipoh dan Alor Setar.

Oleh itu secara tidak langsung, penumpang dari lapangan terbang lain telah ‘mengsubsidi’ penumpang di KLIA2.

22450116_741579629383273_2115692963209741740_n

Adakah wajar?

Sekali imbas kita pasti akan bersetuju dengan logik sebegini. Tetapi, punca kepada masalah ini bukanlah siapa yang mengsubsidi siapa.

Punca asasnya adalah mengapa KLIA2 dibina sehebat KLIA jika lapangan terbang tersebut hanyalah untuk syarikat tambang murah yang diketahui amat sensitif dengan harga.

Ya, perbezaan RM1 memberikan impak yang besar kepada prestasi mereka.

Sebagai contoh, apabila caj PSC antarabangsa diturunkan dari RM35 kepada RM25 pada 2006, jumlah penumpang AirAsia meningkat sebanyak 50.2% iaitu pertambahan 4.68 juta penumpang. Sebelumnya, pertumbuhan penumpang AirAsia sekitar 20%-40% setahun.

Jadi, persoalan yang lebih tepat adalah- adakah wajar KLIA2 dibina sebegitu canggih yang kemudiannya menelan kos yang tinggi untuk beroperasi sekaligus penumpang KLIA2 terpaksa membayarnya?

Tidakkah jika kerajaan bersetuju membinanya pada skala yang lebih besar, maka kerajaan jugalah sepatutnya mengsubsidi ‘lebihan’ kos tersebut?

Penumpang tambang murah sememangnya mahu tambang murah. Itu sahaja. Tidak ada itu ini.

Sudah pastilah peningkatan caj PSC sebanyak 128% memberikan impak yang besar, baik kepada syarikat tambang murah mahupun kepada penumpang.

Rasional kedua – caj baru PSC masih kekal antara terendah di dunia. Oleh yang demikian, apa salahnya jika dinaikkan caj ini, betul?

Salah. Hanya kerana caj PSC Malaysia terendah di dunia tidak bermaksud caj tersebut boleh diselaraskan menjadi mahal.

Lebih-lebih lagi selepas penyelarasan, caj PSC bagi beberapa lapangan terbang di negara maju dan negara jiran lebih murah daripada Malaysia.

Misalnya, lapangan terbang Osaka T2, Narita T3, Jakarta, Manila, Bali, Yogyakarta dan Brunei.

Di samping itu, caj PSC KLIA2 akan setaraf dengan Suwarnabhumi, Changi, Hong Kong, Delhi, Incheon dan Haneda di mana kesemua lapangan terbang ini adalah pesaing kepada KLIA2 dalam mendapatkan penumpang tambang murah.

Jika selama ini KLIA2 (atau dahulunya LCC) boleh memanfaatkan caj PSC yang terendah di dunia untuk membina hub tambang murah di Kuala Lumpur, sekarang keadaan menjadi lebih mencabar- terima kasih di atas penyelarasan caj oleh MAVCOM.

Yang hairannya, dalam keadaan Malaysia meningkatkan kos KLIA2, lapangan terbang Changi telah mengumumkan pakej mengurangkan kos kepada syarikat penerbangan dan penumpang kerana menyedari perkara tersebut amat penting dalam menjadikan Changi lebih kompetitif.

Peruntukan ‘subsidi’ sebanyak 180 juta dollar digunakan bagi memotong caj PSC sebanyak 33%, rebat 50% bagi caj pendaratan dan parkir serta diskaun 15% kegunaan aerobridge.

Mengapakah Changi berbuat demikian? Bukankah lebih baik untuk mereka tidak menjadi lapangan terbang yang murah cajnya seperti Malaysia sebelum ini?

Sudah pasti ada kaitan di antara caj PSC dan caj lapangan terbang kepada peningkatan penumpang khususnya bagi industri tambang murah.

Hakikat bahawa Jakarta (T1, T2, T3), London (Heathrow, Gatwick, Stansted), dan Tokyo (Narita, Haenda) mempunyai kadar caj PSC berbeza-beza bagi setiap lapangan terbang mereka menunjukkan ada pemisahan segmen yang jelas dan setiap segmen mempunyai strategi tersendiri.

Di Malaysia? Kita percaya kepada konsep ‘satu saiz muat semua’.

Rasional ketiga – MAVCOM berpendapat penyelarasan ini tetap memberikan peningkatan penumpang. Kononnya trafik pada 7 bulan pertama 2017 meningkat sebanyak 10.4% berbanding 7 bulan pertama 2016.

Walaubagaimanapun data ini meliputi trafik KLIA dan KLIA2 di mana trafik syarikat penerbangan premium dan tambang murah disekalikan.

Jika kita melihat trafik penumpang antarabangsa di KLIA2 (memandangkan kenaikan caj PSC paling tinggi bagi kategori ini) pada tempoh yang sama, penurunan telah berlaku dari 12.7% kepada 8.9%.

Apa yang berlaku? Jawapannya, tambang menjadi mahal.

Ke mana penumpang ini telah pergi? Jawapannya, sama ada mereka memilih tidak terbang ke Malaysia atau memilih syarikat penerbangan premium memandangkan harga tiket tidak jauh beza.

Sememangnya ini yang berlaku di mana penyelarasan caj PSC dan caj lain-lain memberikan kelebihan kepada syarikat penerbangan premium.

Struktur kos mereka tidak terkesan kerana lapangan terbang yang mereka gunakan (iaitu KLIA) telah pun dikenakan caj premium.

Dalam hal ini, penyelarasan yang diharapkan mewujudkan padang yang sama rata telah mengakibatkan syarikat penerbangan premium kekal sama tetapi syarikat tambang murah menjadi semakin mahal.

Jika perkara ini tidak diperbetulkan dan syarikat tambang murah sudah tidak lagi berupaya menyediakan tambang murah, kita boleh lupakan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai Dubai untuk hub tambang murah.

Industri yang selama ini menyumbang RM 5.1 billion kepada ekonomi negara akan terjejas.

Syarikat penerbangan yang berjaya menambahkan pendapatan sebanyak 2.5% pada 2016 di sebalik penurunan harga tiket sebanyak 3.4% sejak 7 tahun lepas juga akan terjejas.

Golongan B40 dan M40 di Malaysia terpaksa membayar pada harga yang mahal jika ingin terbang ke destinasi.

Kita kembali ke era lama di mana monopoli oleh syarikat penerbangan premium. Inikah yang kita mahukan?

#TiketMurahCukaiMahal