Para pengguna TikTok pasti pernah menonton video rawak yang secara tiba-tibanya popular menerusi For Your Page (FYP). Kita mungkin menyangka ia berlaku secara organik tetapi sebenarnya telah diatur oleh individu di sebalik tabir.

Perkhidmatan media sosial popular TikTok mengesahkan bahawa para pekerjanya di Amerika Syarikat boleh mengawal dan memilih video yang ingin ditularkan. Hal ini bagi meningkatkan pendedahan untuk selebriti dan pencipta kandungan tertentu.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Retail Touchpoints

Menurut sebuah laporan Forbes, TikTok mempunyai sebuah butang pemanas (heating) yang boleh meningkatkan jumlah tontonan untuk sebuah video dan menyiarkannya dengan lebih banyak menerusi halaman FYP di kalangan pengguna.

Dengan langkah ini, ia menepikan algoritma yang sepatutnya menunjukkan kandungan video berdasarkan minat pengguna sahaja.

Dalam sebuah kenyataan rasmi, wakil TikTok berkata mereka akan “memanaskan” sebuah video bagi meningkatkan kepelbagaian genre video yang ditonton dan bukannya untuk mempromosikan seseorang individu atau organisasi tertentu.

Beliau turut mengatakan bahawa jumlah video yang ‘ditularkan’ adalah sedikit sahaja iaitu sekitar 0.02% daripada jumlah video yang dipaparkan melalui FYP. Bagaimanapun, beberapa dokumen dalaman TikTok mendedahkan jumlah video yang ditularkan adalah 1% ke 2% daripada jumlah video yang ditonton.

Video yang telah ditular ini tidak mempunyai sebarang label atau tanda yang menunjukkan ia telah dipilih oleh TikTok, berlainan dengan video-video iklan atau kandungan bertaja (sponsored content) yang selalunya mempunyai label tersendiri.

Ini bermaksud TikTok boleh memberi pendedahan yang lebih tinggi kepada pencipta video yang mempunyai hubungan yang lebih erat dengan syarikat tersebut. Forbes melaporkan kakitangan TikTok pernah “memanaskan” video yang dihasilkan oleh rakan-rakan, ahli keluarga atau dalam akaun mereka sendiri.

Selain itu, ia juga menyukarkan pengguna untuk mengetahui video manakah yang telah “dipanaskan” oleh Tiktok atau pun tidak. Pencipta kandungan pula mungkin akan kecewa jika video mereka tidak boleh viral kerana terdapat video lain yang telah dipilih terlebih dahulu oleh kakitangan TikTok.

Sumber