Meminjam wang kepada ah long adalah antara ikhtiar terakhir yang sering dilakukan oleh rakyat Malaysia sehingga akhirnya ia menjerat diri dan memberi kesan buruk kepada keluarga. Mungkin itu yang difikirkan oleh lelaki ini yang menentang tindakan ah long atau peminjam wang tanpa lesen mengiklankan perkhidmatan mereka di kawasan tempat tinggalnya.

Insiden yang kini tular di media sosial ini dikatakan berlaku selepas seorang penduduk difahamkan bertindak membakar edaran risalah atau flyer yang diletakkan di motosikal penduduk di kawasan parkir perumahan flat tersebut. Di dalam video tersebut, kedengaran perdebatan di antara wanita yang dipercayai bertindak sebagai pekerja ah long dengan seorang lelaki iaitu penduduk di kawasan terbabit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam rakaman yang berdurasi selama 2 minit itu menyaksikan wanita itu tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki tersebut yang membakar risalah iklan yang telah diedarkan olehnya. Kata wanita terbabit, lelaki tersebut perlu memaklumkan kepadanya jika dia tidak bersetuju dengan edaran risalan terbabit dan bukannya bertindak membakar flyers tersebut.

“Saya nak tanya encik, adakah betul tindakan encik ini untuk kutip tanpa beritahu kami dan bakar?” soalnya. Bagaimanapun, lelaki itu membalas dengan mengatakan dia tidak perlu dibuat kerana iklan perkhidmatan sedemikian menyalahi undang-undang. “Memang saya bakar, awat (kenapa) hampa (kamu) ingat kami takde duit ke. Hampa dok buat pinjaman ah long esok-esok menyusahkan orang,” ujar lelaki tersebut dalam video berdurasi dua minit 18 saat itu yang tular pada Selasa.

Pertelingkahan terbabit akhirnya terlerai selepas wanita terbabit mengalah dan beredar dari kawasan tersebut. Bagaimanapun, sehingga kini netizen masih tertanya-tanya dimanakah kejadian tersebut berlaku kerana tidak dinyatakan lokasi atau tempat. Namun melalui loghat kedua-dua mereka, ia boleh dikatakan bahawa insiden terbabit berlaku di utara tanah air.