Yug-yeom bakal meninggalkan JYP Entertainment dan menandatangani kontrak eksklusif bersama AOMG Entertainment bulan ini.

Berdasarkan laporan dari SPOTV, ahli dari kumpulan GOT7 tersebut dikatakan bakal menandatangani kontrak eksklusif bersama AOMG Entertainment setelah kontraknya bersama JYP Entertainment tamat pada Januari 2021.

Difahamkan, bintang K-Pop tersebut sudah lama mencari agensi yang lain bagi meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi sebelum memutuskan untuk menyertai agensi di bawah naungan Jay Park itu.

https://www.instagram.com/p/CEd7L-5DPqD/

Kontrak kumpulan GOT7 bersama JYP Entertainment difahamkan bakal tamat pada bulan ini dan Yug-yeom merupakan ahli kedua yang dilaporkan bakal meninggalkan agensi tersebut.

Sebelum ini, sempat kecoh apabila Jin-young yang juga merupakan ahli dari kumpulan tersebut difahamkan bakal menandatangani kontrak bersama agensi BH Entertainment sebagai pelakon. Akan tetapi, masih belum ada perkembangan tentang kesahihan berita tersebut.

Respon dari JYP Entertainment

Berita tentang peninggalan Yug-yeom menimbulkan tanda tanya kepada ramai pihak, terutama sekali buat para peminat yang kini gusar tentang nasib yang bakal menimpa kumpulan kesayangan mereka.

Jika semua ahli kumpulan tersebut memilih untuk tidak meneruskan kontrak, apa yang bakal terjadi kepada kumpulan tersebut? Adakah ini menandakan titik pengakhiran buat kumpulan itu?

got7-2
SUMBER: HELLOKPOP

Difahamkan, ahli kumpulan tersebut masih lagi berada dalam proses perbincangan tentang kemungkinan mereka untuk terus kekal sebagai sebuah kumpulan meskipun berlainan agensi.

Setakat ini JYP Entertainment telah mengadakan sebuah mesyuarat secara individu dengan ketujuh-tujuh ahli kumpulan tersebut. Berdasarkan laporan media, agensi tersebut dilaporkan bakal mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, para peminat masih lagi berharap agar GOT7 tetap akan kekal sebagai sebuah kumpulan meskipun mereka memilih untuk meninggalkan JYP Entertainment.

Sementara menunggu perkembangan tentang nasib kumpulan GOT7 ini, baca kisah IU, bintang K-Pop terkenal yang pernah ditipu agensi. Klik pada pautan di bawah untuk membaca!

Pernah Ditipu Agensi Sebelum Jadi Bintang K-Pop Terkenal, Kisah IU Ini Pasti Buat Anda Sebak

Sumber