Alhamdulillah saya dikurniakan rezeki menunaikan haji di usia 23 tahun (2013). Pada ketika itu saya di tahun pertama pengajian ijazah sarjana muda. Bagi membolehkan saya mengerjakan ibadah haji, saya nekad tangguh satu semester.

Sebelum berangkat ke Arafah
Sebelum berangkat ke Arafah

Saya ke sana bersama abang saya, Nik Ahmad Farhan Nik Muhammad. Dia kini lebih dikenali sebagai Dai Farhan selepas menjuarai program Da’i Pendakwah Millenia Musim Ke-2 (2014), anjuran TV3.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

52 hari kami di sana cukup mengajar kami bahawa haji ini perlu dilakukan di usia muda, pada saat fizikal masih kuat.

Tip ini adalah berdasarkan apa yang telah saya lalui bersama abang saya. Buat pengetahuan anda, ibu bapa kami telah mendaftarkan haji untuk kami ketika saya dan abang masih kecil.

Jadi tibalah giliran kami melakukan Rukun Islam ke-5 di saat usia kami mencecah angka 23 dan 24 tahun. Saya kongsikan tip-tip ini kerana sedar ramai yang tidak berpeluang menunaikan haji ketika usia mahasiswa.

Berikut adalah 6 tip ringkas yang membolehkan anda menunaikan haji di usia muda.

1. Daftar Haji

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuka akaun Tabung Haji dan mendaftar haji dengan mendepositkan ke dalam akaun tersebut sekurang-kurangnya RM1300.

Pendaftaran Haji sangat penting supaya nama anda sudah berada dalam senarai menunggu jemaah haji Malaysia. Setelah itu, anda hanya cuma menunggu panggilan sahaja.

Pada masa sekarang kita harus sedar jarak mendaftar dan tahun haji sangat jauh. Kebanyakannya waktu menunggu mencecah sehingga puluhan tahun.

Jadi ada baiknya mendaftar awal di Tabung Haji. Ia juga satu good advantage jika turut mendaftarkan anak-anak yang masih kecil. Selamat mendaftar!

2. Bijak Urus Kewangan

Anda hendaklah bijak menguruskan kewangan untuk masa depan anda, terutamanya buat ibadah haji anda. Untuk remaja dan belia, anda mesti bijak menguruskan duit dan mengamalkan menabung. Apa sahaja sumber wang yang anda dapat, usahakan menyimpannya untuk tujuan haji.

Dan bagi yang telah berumahtangga, dan bekerja, anda juga perlu bijak untuk mengatur kewangan keluarga anda, supaya duit lebihan dari gaji bulanan, dapat di ‘reserve’ kan, dan disimpan di dalam akaun Tabung Haji.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, anda boleh sasarkan dalam 1 tahun daftarkan seorang ahli keluarga. Lakukannya sampai semua ahli keluarga ada dalam senarai menunggu ibadah haji.

3. Kesedaran Individu Dan Keluarga

Bersama ibu angkat, jiran dan mutawwif
Bersama ibu angkat, jiran dan mutawwif

Kesedaran individu dan keluarga adalah sangat penting. Kita sedar akan wajibnya memenuhi Rukun Islam (bagi yang berkemampuan) sebelum kita pergi menghadap Allah. Bermula dari kesedaran, akan lahirlah usaha.

Keluarga memainkan peranan penting untuk saling mengingati dan mendorong ahli keluarga yang lain untuk menunaikan haji.

Sebagai contoh apa yang telah berlaku kepada saya. Saya dan abang dapat menunaikan haji di usia muda sedikit sebanyak kerana kesedaran kedua ibu bapa kami yang telah mendaftarkan awal anak-anaknya di Tabung Haji.

Kesedaran sangat penting, kerana ia merupakan pintu kepada segala usaha!

Tip tambahan:

4. Baca Dan Tuntut Ilmu Haji

Saya dan Abang Di Hadapan Menara Jam
Saya dan Abang Di Hadapan Menara Jam

Haji ialah ibadah yang praktikal. Tetapi sebelum praktikal, adanya teori yang menjadi tulang belakang praktikal satu-satu ibadah. Tanpa ilmu, jemaah haji tidak mampu untuk mencapai mabrur. Segalanya bermula dari ilmu.

Anda hendaklah memperbanyakkan bacaan buku-buku ilmiah mengenai haji, mengetahui fiqh tentang ibadah haji, membaca kisah-kisah atau pengalaman haji dari mereka-mereka yang pernah menunaikan haji. Ini banyak membantu.

Saya banyak membaca buku-buku berkaitan haji sebelum pergi menunaikan haji menyebabkan saya tidak kekok untuk terus melakukan praktikal ibadah di sana.

5. Niat, Tekad Dan Banyakkan Berdoa

Selesai Melontar 11 Zulhijjah
Selesai Melontar 11 Zulhijjah

Niat dan tekad yang tinggi untuk menyempurnakan rukun kelima dengan sempurna di awal usia. Kemudian, banyakkan berdoa supaya Allah menjemput kita untuk menjadi tetamu-Nya di usia muda.

Haji diusia muda banyak kelebihannya. Berdoalah supaya Allah menghantar surat kiriman dari-Nya ketika kita masih kuat fizikal, mental dan rohani. Fikir nikah muda, tetapi jangan lupa fikir haji muda.

6. Bersiap Sedia, Mental, Fizikal Dan Emosi

Di hadapan Masjid Nabawi bersama abang saya
Di hadapan Masjid Nabawi bersama abang saya

Bagi jemaah haji yang akan berangkat menunaikan haji, anda hendaklah bersiap sedia dengan persediaan mental, fizikal dan emosi.

Haji tidak pernah sesekali sama dengan kembara kita ke Eropah atau ke tempat melancong yang lain. Ibadah haji adalah ibadah yang luar biasa yang memerlukan kekuatan emosi, fizikal dan mental. Bersiap siagalah!

Saya sempat mencoretkan satu puisi ketika di Muzdalifah
Saya sempat mencoretkan satu puisi ketika di Muzdalifah

Sebelum mengundurkan diri buat masa ini, inshaAllah saya akan kongsikan di Vocket tentang rahsia dan travelog bagaimana perjalanan haji kami di usia muda memandangkan tidak ramai berpeluang menunaikan haji ketika usia mahasiswa.

Moga artikel ini dapat memberi impak positif kepada anda terutama yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Daftar haji awal, dapat haji di usia muda. InshaAllah.