Ditulis Oleh:
Raja Ummi Nadrah
Beliau seorang Pembantu Khidmat Pelanggan yang suka aktiviti kembara
April 20, 2017 3:32 PM

Waktu umur belasan tahun dulu saya bukan main berani lagi naik roller coaster di taman tema. Space shot di Genting yang setinggi 185 kaki tu pun saya selamba je naik berkali-kali.

Kawan-kawan yang takut memang akan jadi mangsa untuk saya gelakkan puas-puas. Tapi tak tahulah kenapa, dari setahun ke setahun, saya jadi semakin takut dengan tempat tinggi.

Bukan setakat naik tempat tinggi, pergi snorkeling pun saya gayat kerana nampak dasar laut yang jauh jaraknya dari saya. Mungkin faktor usia, walaupun selang masanya tak adalah banyak mana pun. Atau mungkin padah gelakkan orang.

Masalahnya, saya suka travel dan saya teringin nak pergi hiking. Cemburu tengok gambar-gambar Instagram orang lain yang berdiri megah di puncak gunung yang berlatar belakangkan awan.

Saya bertekad, walau apa cara sekalipun, saya mesti belajar melawan perasaan takut saya.

Fobia pada tempat tinggi (atau nama lainnya acrophobia) ialah sejenis fobia yang biasa dialami oleh ramai orang. Jadi, ingat! Anda tak berseorangan. Seramai satu daripada 20 orang juga mengalami masalah yang sama.

Kalau anda seperti saya, nak pergi hiking tapi takut gayat, berikut adalah antara langkah-langkah yang boleh anda ambil:

1. Buat Persediaan Awal

Kaji tentang tempat yang anda ingin lawati, dan kenal pasti ciri-ciri keselamatan yang ada. Yakinkan diri anda bahawa ciri-ciri keselamatan tersebut akan mengelakkan anda daripada terjatuh.

Ubah perspektif anda supaya lebih realistik, dan bukan pesimistik, iaitu asyik memikirkan perkara yang buruk-buruk. Perasaan takut adalah permainan minda yang biasanya tak berasas.

Kalau anda trauma kerana pernah terjatuh dari tempat tinggi, cuba tinggalkan kisah silam itu di belakang. Fokus pada realiti sekarang.

2. Mulakan Sedikit Demi Sedikit

Pergi ke mana-mana bangunan bertingkat. Naik ke aras satu dan cuba pandang ke bawah. Bila dah OK, naik ke tingkat dua dan seterusnya.

Kemudian cuba panjat bukit-bukit yang rendah pula, contohnya Bukit Broga di Semenyih atau Bukit Batu Putih di Tanjung Tuan. Pemandangannya pun cantik.

Masalah utama saya kalau pergi hiking ialah ketika nak turun. Masa naik, tak ada masalah, sebab biasanya aktiviti hiking dijalankan pada awal pagi untuk menyaksikan matahari terbit di puncak bukit.

Jadi, semasa naik, hari masih gelap. Tak nampak sekeliling. Lagipun, semasa memanjat, kita fokus memandang ke atas. Tapi bila sampai waktu nak turun, hari sudah cerah, dan kita terpaksa memandang ke bawah.

Pada tika itu mulalah tapak kaki rasa geli-geli dan tanah tempat berpijak rasa macam bergerak. Tiba-tiba perut meragam, rasa nak ke tandas.

Untuk mengatasi masalah ini, tumpukan sepenuh perhatian terhadap setiap langkah anda. Jangan pandang ke tempat lain atau terlalu berfikir tentang paras ketinggian anda sekarang.

3. Kawal Pernafasan

Biasanya kalau kita takut atau gementar, nafas dan degupan jantung kita akan menjadi laju. Ataupun mungkin kita terus terlupa nak bernafas.

Kalau anda sedar hal ini berlaku, berhenti sekejap. Duduk dan tarik nafas dalam-dalam. Kawal pernafasan anda (kira 3 hingga 4 saat ketika tarik nafas, dan 3 hingga 4 saat ketika hembus nafas).

Anda akan dapati degupan jantung anda juga akan stabil dan anda akan berasa lebih tenang.

4. Elakkan Kafein

Kafein boleh menyebabkan rasa takut dan gementar jadi lebih teruk. Elakkan makanan yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, coklat, minuman tenaga atau makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi, bagi mengelakkan sugar high.

5. Dapatkan Sokongan Rakan

Pergi bersama teman yang faham dengan masalah anda dan mampu bersabar serta memberi sokongan dari segi mental dan fizikal. Andainya anda tak dapat mengawal perasaan takut di atas sana, sekurang-kurangnya ada seseorang yang boleh memberikan kata-kata semangat atau memimpin anda turun.

Syukur, berkat usaha yang berterusan, saya telah berjaya menawan beberapa puncak bukit dan gunung di sekitar Asia. Antara yang paling saya banggakan ialah Gunung Kinabalu.

Semoga anda juga dapat mencapai impian anda untuk menyaksikan sendiri keindahan alam dari ketinggian ribuan meter dari aras laut.

Artikel di atas disumbangkan oleh Raja Ummi Nadrah. Beliau seorang Pembantu Khidmat Pelanggan yang suka aktiviti kembara. Boleh ikuti beliau di sini.