Dalam hidup seorang anak, tidak semestinya hanya ada ibu. Ayah juga berperanan penting dalam perkembangan dan tumbesaran anak terutamanya dari segi psikologi.

Ayah, seperti mana ibu kadangkala memerlukan juga panduan untuk didik anak jadi yang terbaik. Didikan ayah boleh bermula sedari anak lahir dan percayalah gabungan didikan ayah dan ibu mampu melahirkan generasi yang memberi kebaikan pada masa depan.

Berikut cheat sheet yang kaum ayah boleh gunakan untuk pastikan ayah sentiasa nombor 1 di mata dan hati anak-anak.

1. Hargai setiap momen dengan anak

Tidak dinafikan, ayah-ayah sibuk dengan kerja dan mencari rezeki. Ta kisahlah walau pun hanya ada sedikit ruang masa, manfaatkan sebaiknya dengan anak-anak.

Luangkan masa sebaik yang boleh dan jadikan sebagai quality time bersama anak. Elakkan beralih tumpuan pada perkara lain semasa bersama anak, kerana anak boleh merasai keberadaan ayahnya di situ.

2. Semuanya akan lebih mudah akhirnya

Hidup ayah akan sedikit tunggang- langgang dan huru-hara pada tahun-tahun awal kelahiran anak sahaja. Memang sukar untuk menangani kerenah anak kecil yang perlukan perhatian.

Namun bila anak sudah mempunyai corak tidur yang tetap atau sudah pandai berdikari, hidup ayah akan jadi lebih teratur dan tenang. Jadi usah risau, perkara ini akan bertambah mudah akhirnya.

3. Tanggungjawab menjaga anak perlu dikongsi bersama isteri

Suami elakkan memandang tanggungjawab menjaga anak sebagai tugasan isteri seorang. Hentikan amalan orang dulu-dulu yang menganggap tanggungjawab ini adalah di atas isteri sahaja. Usahakan untuk libatkan diri dengan setiap urusan anak-anak dan berkongsi beban dan amanah ini dengan isteri.

4. Anak suka buat keputusan sendiri

Ayah perlu didik anak untuk buat keputusan sendiri, supaya bila dewasa nanti mereka mampu berfikir dan lebih gembira dengan keputusan yang mereka buat sendiri.

Anak-anak suka kebebasan namun ayah perlu tetapkan parameter tertentu supaya anak tidak melampaui batas. Beri ruang mereka buat pilihan. Contohnya mahu makan nasi lemak atau bijirin dengan susu untuk sarapan, bagi anak yang masih kecil.

5. Perlu kesabaran tinggi

Menjadi ayah dan ibu sudah pasti menuntut kesabaran yang bukan sedikit. Jika berasa sangat marah, cuba tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan. Atau setidaknya berjalan ke ruang yang lain untuk bertenang.

Ia juga untuk menunjukkan contoh pada anak dalam menangani rasa marah dan memupuk sifat sabar. Bagi ayah ibu muslim, boleh beristighfar atau mengambil wuduk untuk meredakan sedikit kemarahan.

6. Pandai berjenaka

Ayah boleh cuba jadi kreatif dan menyeronokkan bagi anak dengan tujuan menghiburkan mereka. Sesekali mengusik dan bergurau senda, pasti anak akan rasa gembira berdamping dengan si ayah.

7. Kerap bacakan anak buku

Pupuk minat membaca anak dengan membaca bersama-sama. Jadikan salah satu ‘bonding time’ dengan anak-anak melalui buku. Boleh juga dijadikan amalan tradisi. Melalui aktiviti begini, secara tak langsung dapat menambah ilmu ayah dan anak.

8. Elak menjadi absent dad

Jika anak ada perlawanan sukan, konsert, kejohanan olahraga atau apa sahaja yang memberi makna padanya, si ayah cubalah hadirkan diri jika tiada urusan yang penting. Kehadiran ayah dapat membangkitkan semangat dan menggembirakan anak untuk lakukan lebih baik lagi.

9. Biarkan anak bermain

Minda dan fizikal anak berkembang dengan bermain. Biarkan mereka bermain untuk galakkan perkembangan yang baik. Si ayah jadi pemerhati. Tegur hanya bila melebihi batas. Elakkan sering menegur dan beri arahan, anak cepat bosan dan si ayah pening kepala.

10. Kurangkan televisyen

Mengurangkan waktu menonton televisyen dan galakkan anak berimaginasi dengan bantuan buku-buku dan permainan yang ada di sekeliling mereka.

Ayah boleh kawal jumlah masa yang dibenarkan untuk menonton televisyen, dan lakukan aktiviti yang membawa lebih manfaat. Di samping itu, dapat elak anak tidur lewat malam jika amalan menonton televisyen tidak dikawal.

11. Tunjuk contoh yang baik

Anak akan mudah ikut apa yang ayah dan ibu lakukan. Berusahalah memberikan contoh yang terbaik buat anak. Elak mempamerkan sikap malas, cepat marah, menengking atau memaki.

Salah satu cara mendidik anak secara tak langsung adalah dengan mempraktikkan amalan, tabiat dan perlakuan yang baik di hadapan mereka.

Begitulah sedikit sebanyak panduan untuk menjadi ayah ohsem. Semoga bermanfaat dalam menempuhi cabaran alam kebapaan.