India kini semakin menjadi antara destinasi popular bagi golongan muda yang gemar mengembara. Terkini saya berpeluang mendapatkan perkongsian dari Idham Malik yang telah ke India selama 10 hari bersama rakan beliau Uzair Kamal.

Disebabkan India terkenal dengan penipuan ‘scam’, Idham banyak habiskan masa membaca kisah-kisah backpackers lain yang telah ke sana untuk mendapatkan gambaran tentang keadaan dan situasi di sana.

Tiket penerbangan ke India dibeli 3 bulan sebelum trip bermula, manakala persiapan sebelum travel dilakukan sebulan sebelum tarikh berangkat.

Perjalanan Idham meliputi lokasi berikut:

Hari 1 – Delhi
Hari 2 – Delhi
Hari 3 – Agra
Hari 4 – Jaipur
Hari 5 – Delhi
Hari 6 – Srinagar
Hari 7 – Pahalgam
Hari 8 – Gulmarg
Hari 9 – Sonamarg
Hari 10 – Srinagar

Jumlah kos bagi seluruh pengembaraan ini adalah kira-kira RM2000 seorang tidak termasuk kos memohon visa. Ikuti catatan pengalaman bergambar oleh  jurugambar bebas dari Pulau Pinang ini di bawah.

Pengalaman-kembara-di-india-1

Hari pertama di India. Pesawat kami tiba di New Delhi sebelah malam. Selesai beli simkad kami terus ke Paharganj menaiki Airport Express Line. Sistem pengangkutan di Delhi sangat teratur. Kalau di Kuala Lumpur ada KLIA Express dan LRT/Monorail, di Delhi ada Airport Express Line dan Metro.Sistemnya sama sahaja. Tempat-tempat utama terhubung melalui sistem rangkaian rail. Mudah. Nak kemana-mana hanya perlu naik Metro.

Di Delhi kami menginap di salah sebuah hostel di Paharganj. Paharganj ialah kawasan ‘backpacker’ terkenal kerana tempatnya yang strategik yang terletak berhampiran dengan New Delhi Railway Station dan New Delhi Metro Station di samping banyak menawarkan hotel dan hostel dengan harga yang murah.

Keesokan harinya(hari kedua) baru berkesempatan untuk melihat suasana sebenar Delhi. Kami ke Red Fort, Chandni Chowk, Jama Masjid, dan India Gate.

Pengalaman-kembara-di-india-2

Hari ini (hari ketiga) kami keluar awal pagi untuk kejar train ke Agra. Sampai di Agra kira-kira pukul 9 pagi kami ke hotel untuk simpan barang-barang dan terus ke Taj Mahal. Waktu terbaik untuk melawat Taj Mahal ialah di sebelah pagi kerana masih tidak terlalu ramai orang pada waktu ini.

Kebiasaannya, sebaik sampai di luar kawasan Taj Mahal anda akan dihampiri oleh beberapa orang warga India yang mengaku sebagai ‘tour guide’. Mereka ini datang dengan bermacam-macam alasan supaya anda mendapatkan khidmat mereka. Tak salah sekiranya anda hendak mendapatkan khidmat mereka. Boleh belajar tentang sejarah dan asal-usul Taj Mahal. Kami tak ambil sebarang tour guide untuk masuk ke Taj Mahal sebab kekurangan bajet.

Pengalaman-kembara-di-india-3

Taj Mahal terletak di dalam Taj Complex. Gambaran kawasan sekeliling Taj Complex buat mereka yang belum pernah ke sini ialah sebuah taman yang menempatkan beberapa buah monumen lain dan ditengah-tengahnya terletak Taj Mahal. Antara monumen-monumen yang boleh anda temui di dalam kawasan Taj Complex ini ialah:

a. Jilaukhana (forecourt)
b. Mehman Khana (guesthouse)
c. Masjid
d. Taj Mahal

Disebabkan kami tidak ambil tour guide, kami banyak habiskan masa di Mehman Khana dan bersiar-siar di sekitar taman di dalam Taj Complex ini.

Pengalaman-kembara-di-india-4

Gambar klise dari dalam Taj Mahal.

Kalau saya nak kongsikan pengalaman manis ketika di India memang banyak sekali. Dapat lihat Taj Mahal di Agra, main ski di Gulmarg, naik overnight train (Sleeper Class) dari Jaipur ke New Delhi, berkongsi cerita dengan backpacker dari Malaysia yang lain, berbual dengan penduduk lokal, tidur di New Delhi airport, dan macam-macam lagi.

Yang paling penting, saya beruntung sebab ada seseorang untuk berkongsi pengalaman-pengalaman tersebut.

Pengalaman-kembara-di-india-5

Kubah hadapan Taj Mahal.

Pengalaman-kembara-di-india-6

Anak jalanan di Agra.

Pengalaman-kembara-di-india-7

Pagi ini (hari keempat)

Nasib kami tidak berapa baik. Train kami yang sepatutnya berlepas ke Jaipur lewat lebih 5 jam. Terpaksa habiskan masa menunggu di stesen keretapi. Penat menunggu di dalam, saya keluar untuk mengambil gambar sebelum ditegur oleh seorang anggota polis (gambar) yang pada mulanya tertarik dengan kamera yang saya bawa.

Kami berbual panjang sebelum saya masuk semula ke dalam disebabkan keadaan di luar terlalu sejuk. Ramah sebenarnya orang-orang di India ini. Macam-macam yang kami bualkan. Saya mudah terhibur melalui perbualan kami dengan penduduk-penduduk di sini.

Kebiasaannya mereka ini gemar mengajukan soalan-soalan random untuk mengisi perbualan. “Are you married?”, “How much is your flight ticket to India?”, “Is your country hot?”, “Do you know how to speak Hindi? Let me teach you how to speak Hindi”, dan macam-macam lagi. Terubat sedikit kebosanan kami sementara menunggu train di Agra.

Pengalaman-kembara-di-india-8

Barangkali, salah satu cara terbaik untuk menikmati suasana sebenar India ialah dengan menaiki keretapi. Tak lengkap rasanya kunjungan ke India tanpa merasai pengalaman menaiki train di sini.

Tiket boleh dibeli secara online atau terus ke kaunter. Di Delhi kami beli tiket keretapi di International Tourist Bureau yang terletak di tingkat satu di New Delhi Railway Station. Boleh beli siap-siap tiket keretapi untuk perjalanan seterusnya.

Pengalaman-kembara-di-india-9

Hawa Mahal, Jaipur

Kami sampai di Jaipur lewat petang. Sebelum menaiki train seterusnya pada sebelah malam kami memutuskan untuk membuang masa sambil berjalan-jalan sahaja di sekitar kawasan City Palace.

Kami meluangkan masa lebih satu jam berbual dengan beberapa penjaja di hadapan Hawa Mahal (gambar) sebelum meneruskan perjalanan.

Pengalaman-kembara-di-india-10

Red Fort sesudah subuh.

Keretapi kami dari Jaipur tiba di Delhi kira-kira jam 5 pagi. Disebabkan kedua-dua kami masih tidur dan tiada pengumuman dibuat di dalam train, kami terlepas hentian kami. Nasib baiklah di Delhi kebanyakan stesen keretapi dibina berdekatan dengan metro station.

Kalau terlepas train anda boleh berjalan sahaja atau naik tuk-tuk untuk ke metro station berdekatan dan merancang perjalanan anda seterusnya. Dari Delhi Shahdara railway station kami berjalan ke Delhi Shahdara metro station sebelum meneruskan perjalanan ke Old Delhi.

Pengalaman-kembara-di-india-11

Banyak betul karakter yang kami jumpa di Old Delhi.

Pengalaman-kembara-di-india-12

Jama Masjid, Old Delhi

Shah Jahan semasa zaman pemerintahannya banyak membina monumen-monumen dengan seni bina yang luar biasa dan yang paling terkenal ialah Taj Mahal di Agra.

Selesai membina Taj Mahal, Shah Jahan berpindah ke Delhi dan membina berberapa lagi monumen diantaranya Red Fort dan Jama Masjid (gambar) di Old Delhi.

Pengalaman-kembara-di-india-13

Suasana sekitar Old Delhi sebelah pagi. Orang ramai mandi secara tebuka merupakan hal yang biasa di sini.

Pengalaman-kembara-di-india-15

Menurut sebahagian orang, pengalaman berada di India ibarat menjejakkan kaki ke masa lalu.

Pengalaman pertama kali ke India ini dapat saya sifatkan sebagai overwhelming dan memenatkan. Ambil masa juga untuk biasakan diri dengan tempat dan budaya masyarakat di sana. Salah satu perkara utama ialah buat persediaan mental yang secukupnya. Juga, banyakkan belajar dari pengalaman-pengalaman backpackers lain yang telah ke sana.

Pengalaman-kembara-di-india-16

Salah satu monumen di dalam Lodhi Garden.

Pengalaman-kembara-di-india-17

Hari terakhir di Delhi.

Kepadatan penduduk di India sangat tinggi. Bayangkan sahaja di New Delhi terdapat 46 juta orang penduduk. Kunjungan ke tempat-tempat tumpuan seperti Chandni Chowk atau Paharganj di New Delhi pasti membuatkan traveler yang pertama kali ke sana berasa sesak atau claustrophobic.

Ruang peribadi ibarat kemewahan yang tidak mampu dibeli oleh rakyat India.

Pengalaman-kembara-di-india-14

“Chai, chai, chai, garam chai!”

Selain isu kepadatan penduduk, isu kebersihan di India juga sangat kritikal. Hampir kesemua tempat yang saya kunjungi pasti terdapat longgokan sampah, bau air kencing memenuhi lorong-lorong dan di sesetengah tempat penduduk tempatan membuang air besar secara terbuka.

Sikap sebahagian besar penduduk tempatan yang gemar meludah memburukkan lagi keadaan. India secara amnya bukanlah tempat untuk sesiapa yang faint hearted.

Pengalaman-kembara-di-india-18

Penerbangan kami dari New Delhi berlepas awal pagi dan tiba di Srinagar kira-kira jam 10 pagi. Dari New Delhi ke Srinagar anda boleh memilih untuk menaiki keretapi atau kapal terbang.

Bagi saya, perjalanan menaiki keretapi lama dan memenatkan sementara menaiki kapal terbang dapat menjimatkan masa dan lebih selesa. Kami memilih IndiGo Airline dengan kos penerbangan pergi balik New Delhi-Srinagar kira-kira RM350 seorang.

Sebelum berangkat ke India, saya sempat berurusan dengan pemilik houseboat kami di Dal Lake, Mr Hashim Goona untuk menguruskan pengangkutan kami dari lapangan terbang ke Dal Lake. Sampai sahaja di Srinagar kami disambut oleh pemandu kami dan terus dibawa ke Dal Lake.

Di Kashmir kami menginap di satu tempat sahaja selama 5 hari iaitu di Dal Lake, Srinagar.

Pengalaman-kembara-di-india-19

Baisaran atau ‘Mini Swiss’.

Hari kedua di Kashmir kami ke Pahalgam. Di Kashmir kami banyak menaiki kereta siap dengan pemandu. Kos kereta dan pemandu di Kashmir kira-kira 2000 Rupee sehari.

Pengalaman-kembara-di-india-20

Kashmir merupakan negeri paling utara di India. Kashmir sebenarnya dimiliki oleh tiga buah negara iaitu Pakistan, India, dan China. Setiap negara mempunyai bahagian masing-masing dan bahagian paling besar iaitu hampir separuh dari Kashmir dimiliki oleh India.

Pernah tengok Bajrangi Bhaijaan? Kisah mengenai seorang pemuda (Salman Khan) bersusah payah menyeberangi sempadan India-Pakistan untuk menyatukan seorang kanak-kanak perempuan (Harshaali Malhotra) dengan ibunya yang terpisah dalam perjalanan pulang dari Delhi ke Lahore.

Walaupun sebahagian filem ini mengambil tempat di Pakistan, keseluruhan filem ini sebenarnya dirakamkan di India dengan kebanyakan lokasi pengambaran mengambil tempat di Delhi, Rajasthan, dan beberapa kawasan di Kashmir. Di Kashmir lokasi pengambaran filem ini dilakukan di Pahalgam (gambar), Gulmarg, dan Sonamarg.

Pengalaman-kembara-di-india-21

Pony friends. Kami ada pengalaman pahit sewaktu di India.

Antara pengalaman pahit ketika di India pula ialah sewaktu kami kena saman di New Delhi Railway Station sebab masuk ke dalam platform tanpa sebarang tiket. Di Jaipur, kami dihalau oleh pemandu tuk-tuk disebabkan salah faham yang berlaku.

Pengalaman-kembara-di-india-22

Money changer di Srinagar. Dan pengalaman rare

Dan pengalaman yang paling rare tentulah sewaktu kami terlibat dalam rusuhan ketika menaiki sumo (teksi berkongsi) di Kashmir. Sumo yang kami naiki berhenti secara mengejut kira-kira 100m dari kawasan rusuhan ketika dalam perjalanan ke Tangmarg.

Rusuhan tersebut melibatkan kira-kira 30-40 orang penduduk Kashmir yang memenuhi jalan sambil membaling batu. Kelam kabut juga sebab saya dan kawan saya sahaja orang Malaysia di dalam sumo ketika itu.

Kami langsung tak faham apa yang dibualkan oleh penumpang lain ketika kejadian berlaku. Pemandu sumo yang kami naiki membuat pusingan secara mendadak sebelum meneruskan perjalanan menggunakan laluan lain.

Pengalaman-kembara-di-india-23

Salah seorang penjaja di hadapan kedai beliau di Dal Lake.

Kawasan sekitar Dal Lake terdapat banyak kedai-kedai runcit, restoran, farmasi, money changer, dll. Pendek kata, segala keperluan asas boleh anda dapatkan di sini. Tak perlu ambil tuk-tuk, boleh berjalan kaki sahaja sambil menikmati pemandangan sekitar.

Pengalaman-kembara-di-india-24

Hari kelapan kami ke Gulmarg (gambar).

Ini kali pertama kami mencuba Sumo (share taxi) untuk ke Gulmarg. Hari-hari lain kami menyewa sebuah kereta siap dengan pemandu. Sumo ialah jeep yang digunakan oleh penduduk Kashmir sebagai pengangkutan harian mereka.

Kami ambil tuk-tuk dari Dal Lake ke Batamaloo dan terus menaiki Sumo melalui beberapa hentian sebelum sampai di Gulmarg. Ini laluan dari Batamaloo ke Gulmarg dengan menaiki Sumo:

Batamaloo – Tangmarg – Gulmarg

Perjalanan balik sama sahaja. Kami ambil Sumo dari Gulmarg dan turun di Tangmarg, kemudian ambil Sumo lagi ke Batamaloo. Perjalanan dari Dal Lake ke Gulmarg menaiki Sumo ambil masa kira-kira 2 jam setengah. Anda perlu keluar dari Gulmarg sebelum jam 3 petang untuk sampai di Dal Lake sebelum hari gelap.

Pengalaman-kembara-di-india-25

Tips untuk main ski di Gulmarg.

1. Beli tiket Gondola di Gondola Station.
2. Turun di mana-mana hentian yang anda pilih.
3. Sewa peralatan ski di hentian tersebut.
4. Enjoy!

Pengalaman-kembara-di-india-26

Suasana sekitar Dal Lake dari dalam Shikara.

Pengalaman berada di India sama sekali mengubah persepsi saya terhadap negara tersebut. India sebuah negara yang luas, unik, istimewa, penuh warna-warni, kaya dengan pelbagai lapisan budaya, tradisi,dan agama.

India bagi saya adalah tempat yang perlu anda kunjungi sekali dalam seumur hidup. Yang saya suka mengenai India ialah cabaran-cabaran berlainan yang tersaji setiap hari  dan tidak dapat dijangka justeru menjadikan anda lebih matang dan berani untuk menempuhi segala masalah yang datang.

Kalau ke India, pasti anda akan pulang dengan cerita-cerita menarik yang tak dapat anda lupakan.

Pengalaman-kembara-di-india-27

Pemandangan sekitar Dal Lake.

Terus terang, saya tidak punya harapan apa pun sebelum berangkat ke India selain menimba pengalaman sebanyak mungkin dan mempelajari sejarah dan budaya masyarakat di sana.

Saya lebih tertarik untuk ke India disebabkan India bukanlah lokasi travel yang tipikal. Sebelum ke sana, India menurut saya sebuah negara yang penuh dengan misteri. Hairan, rata-rata backpackers yang pernah ke sana pasti akan recommend India sebagai destinasi travel padahal India negara yang padat, kotor, dan bising.

Pengalaman-kembara-di-india-28

Kami menginap di Houseboat Switzerland, houseboat milik Mr Hashim Goona di Dal Lake. Tempahan saya buat melalui Booking.com dan banyak berurusan dengan Mr Hashim Goona melalui whatsapp. Sesiapa yang hendak menginap di sini saya amat sarankan. Pemiliknya sangat ramah dan baik hati. Urusan pengangkutan di Kashmir serahkan sahaja pada beliau.

Hashim Goona
Houseboat Switzerland
+919419005681

Pengalaman-kembara-di-india-29

Waktu terbaik untuk menaiki Shikara ialah lewat petang. Anda boleh menikmati matahari terbenam dari dalam Shikara pada waktu ini.

Pengalaman-kembara-di-india-30

Sonamarg

Merupakan tempat paling sejuk yang kami kunjungi. Suhu waktu pagi boleh mencecah sehingga minus 15. Kalau ke sini saya sarankan bawa skarf untuk tutup muka sebab angin di sini sangat kuat. Sampai kebas muka!

Pengalaman-kembara-di-india-31

Sajian Wazwan

Sehari sebelum pulang ke Malaysia kami sempat mencuba Wazwan, sajian istimewa penduduk Kashmir. Wazwan ialah sajian pelbagai hidangan dan merupakan sebahagian daripada tradisi penduduk Kashmir.

Kebanyakan hidangan Wazwan menggunakan daging kambing dan dimasak dengan minyak sapi, rempah ratus dari Kashmir(saffron, buah pelaga, dll), yogurt, dll. Kami sempat mencuba tiga jenis hidangan iaitu Rogan Josh(gambar), Mirchi Korma, dan Seekh Kebab. Menurut saya, Wazwan adalah sajian terbaik yang anda perlu cuba sekiranya berpeluang mengunjungi Kashmir.

Hari terakhir kami berangkat dari Srinagar ke New Delhi sebelah petang. Kami menghabiskan masa di lapangan terbang New Delhi sebelum berangkat ke Kuala Lumpur pada sebelah malam pula. Kira-kira jam 7 pagi kami tiba di KLIA.

Pulang dengan perspektif berbeza

Setelah ke India, saya pulang ke Malaysia dengan pandangan yang sangat berbeza tentang dunia di sekeliling saya. India banyak mengubah perspektif saya terhadap hal-hal yang selama ini saya rasakan tidak memberikan impak yang besar seperti pendidikan percuma, penjagaan kesihatan percuma, serta isu persamaan gender. Saya rasa bertuah dengan kehidupan yang saya jalani di Malaysia.

1

Kalau saya perlu simpulkan, perkara terpenting ketika travel di India ialah attitude atau sikap seseorang itu. Sentiasa berfikiran terbuka terhadap kemungkinan-kemungkinan tetapi pada masa yang sama berwaspada. Skeptik tetapi pada masa yang sama percaya.

Kadang-kadang saya rasakan lebih baik untuk bersikap tegas daripada terlalu sopan ketika di sana kerana orang akan mengambil kesempatan ke atas anda. Selalu bersabar kalau apa yang anda rancangkan itu tidak berjalan seperti yang diharapkan. Dan yang paling penting ialah untuk menikmati masa anda di India.

Jika anda merancang ke India tak lama lagi,  Ini Cara Mudah Bagaimana Mohon ‘eTourist Visa’ India Di Internet dan kenali 30 Cabaran Yang Bakal Anda Lalui Apabila Travel Di India