Sebut saja Sydney, Australia pasti ramai yang terus terbayang Sydney Opera House, mercu tanda yang mesti di lawati jika berkunjung ke sini.

Namun atas faktor tukaran wang asing yang semakin tinggi di masa kini, mungkin ada di kalangan anda yang terasa sukar untuk berkunjung ke Sydney.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Oleh itu saya ingin kongsikan beberapa tips yang boleh dijadikan rujukan dan persediaan buat anda yang bercadang untuk ke Sydney.  Namun sebelum itu, saya nak kongsikan dulu rangka itinerari selama 5 hari 4 malam ke Sydney, Australia.

Itinerari ini boleh dijadikan rujukan bila anda ke Sydney sama ada secara solo, dengan kawan mahupun travel bersama keluarga.

tip-travel-di-sydney-5

Itinerari 5 hari di Sydney

Hari 1 (Khamis)
Beli Opal Card untuk pengangkutan awam di Sydney AUD20
Terus ke hotel dengan menaiki Sydney’s Airport Train, berehat dan makan tengahari
Petang – ke Royal Botanic Garden

Hari 2 (Jumaat)
Torangga Zoo atau ke Featherdale Wildlife Park
Petang – Shopping dan jalan-jalan sekejap di sekitar CBD. Ambil free tour jam 6 petang

Hari 3 (Sabtu)
Pagi – Farmers Market
Petang – Ikut free tour

Optional – Trip sehari ke Blue Mountains bagi pencinta alam semula jadi.

Hari 4 (Ahad)
Pagi: Bersiar-siar di Bondi Beach.
Petang – Naik feri dari Darling Harbour ke Circular Quay.
Optional: Atau naik feri ke Coocatoo Island dan ke  Luna Theme Park (jika ada masa).

Hari 5 (Isnin)
Pagi – Membeli belah di saat akhir
Bertolak balik ke KL atau terbang ke New Zealand (jika anda transit di Sydney).

Dan seterusnya kita lihat pula lokasi menarik di Sydney. Ada yang free dan ada yang berbayar. Ttapi jika anda bijak merancang, anda boleh masuk ke tempat berbayar dengan bayaran yang lebih murah.

Lokasi menarik di Sydney

toranga-zoo-sydney-1

1. Taronga Zoo

Cara paling mudah untuk melihat secara dekat haiwan unik yang terdapat di Australia. Paling penting boleh selfie dengan kangaroo. Eh. Haha.

Terdapat 4 ribu haiwan di zoo ini yang terdiri daripada 350 spesis. Jimat 20% jika anda buat pembelian tiket online di website Taronga.org.au. Tiket sah dalam masa 6 bulan dari tarikh pembelian. Jadi belilah online untuk lebih jimat.

2. Luna Park

Bagi kaki theme park, Luna Park mungkin menjadi antara destinasi wajib singgah bagi anda. Macam biasa jika nak harga lebih murah boleh beli tiket masuk online di website LunaParkSydney.com. Tiket pada harga lebih murah turut disediakan untuk pakej masuk dengan keluarga.

tip-travel-di-sydney-9

3. Sydney opera house, Harbour Bridge, Sydney Tower

Tak sah ke Sydney jika tak bergambar dengan mercu tanda di sini iaitu Sydney Opera House yang memaparkan senibina bangunannya yang unik.

Begitu juga dengan jambatan yang menjadi kemegahan penduduk Sydney iaitu Sydney Harbor Bridge yang pernah diwartakan sebagai jambatan paling lebar di dunia satu ketika dulu.

Dibuka pada tahun 1931, jambatan ini menjadi salah satu ikon di Sydney. Jika anda ada bajet lebih boleh juga sertai aktiviti memanjat jambatan ini. Terdapat beberapa pakej yang ditawarkan dengan harga berbeza. Untuk info lanjut sila semak di BridgeClimb.com.

Dan semestinya Sydney Tower. Menara tertinggi di Sydney ini juga menjadi salah satu tarikan bagi mereka yang berkunjung ke sini.

Kesemua lokasi ini boleh anda kunjungi sama ada dengan pergi sendiri atau ikut free tour kerana lokasinya yang berdekatan antara satu sama lain.

bondi-beach-sydney

4. Bondi Beach

Ini antara lokasi popular dan menjadi kegemaran di kalangan warga Sydney.

Jika anda mahu ubah itinerari dan berkunjung ke pantai ini di waktu petang juga ok. Boleh layan matahari terbenam dengan pemandangan yang cantik di sini.

aktiviti-menarik-di-sydney-1

5. Ferry Cruise

Feri ni bawa anda lalu depan Sydney Opera House, Sydney Harbour Bridge dan beberapa landmark lain di sepanjang laluannya.

Jika anda ada masa boleh turun ambil gambar di beberapa perhentian di sepanjang laluan feri. Sangat di syorkan untuk naik feri cruise agar anda dapat rasai jenis pengangkutan dan pengalaman berbeza sambil lihat pemandangan menarik di Sydney.

Terdapat beberapa pakej yang disediakan seperti leisure cruise, sunset cruise, dan dinner cruise . Tinggal pilih waktu yang sesuai dan kena dengan itinerari anda.

6. Royal Botanic Garden

Masuk percuma. Di sini anda berpeluang melihat tumbuhan unik yang terdapat di Australia di taman seluas 30 hektar. Antara spesis tumbuhan unik yang boleh anda saksikan adalah pokok Wollemi Pine – the ‘Dinosaur tree’.

tip-travel-di-sydney-4

7. Blue Mountain

Lain orang, lain citarasanya. Jika anda bukan penggemar tarikan di bandar, boleh lah ke Blue Mountain. Untuk ke sini anda boleh ambil keretapi dari pusat bandar Sydney ke stesen Katoomba. Perjalanan adalah selama 2 jam. Kemudian dari Katoomba ke Echo Point anda boleh ambil bas no 686.

Di Blue Mountains anda berpeluang melihat Three Sisters di Echo Point Lookout, menaiki kereta kabel (lantainya kaca) ke Scenic World, melihat landasan keretapi tercuram di dunia (world steepest railway) serta persembahan tarian puak Aborigine di Waradah Aboriginal Centre.

tip-travel-di-sydney-8
Antara view menarik di Coocatoo Island

8. Coocatoo Island

Satu lagi destinasi menarik untuk anda kunjungi sewaktu di Sydney. Diwartakan sebagai Unesco World Heritage, terdapat penjara lama yang boleh dilawati di Coocatoo Island.

Penjara yang beroperasi di zaman kolonial ini beroperasi antara tahun 1839 hingga1869. Kemudiannya pulau ini dijadikan sebagai salah satu daripada limbungan kapal terbesar di Australia.

Selain melawat penjara lama di sini, anda juga boleh berkelah dan berjalan-jalan di sekitar pulau. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke pulau ini. Untuk ke sini anda boleh ambil feri route antara Woolwich – Balmain.

bondi-market-sydney

9. Pasar tani / week end market

Salah satu yang mesti anda lakukan jika ke Sydney. Di sini juga boleh jadi tempat membeli belah yang menarik dengan harga yang berpatutan. Daripada barangan vintage dan rare, buah-buahan dan sayuran organik mahupun barangan unik yang terdapat di Australia boleh anda temui di sini. Antara pasar minggu yang terkenal adalah:

(i) Bondi Farmers Market

Jika anda berada di Sydney pada hari sabtu, jangan lepaskan peluang untuk ke Bondi Farmers Market. Pasar tani yang diadakan sekali seminggu ini menawarkan berbagai produk daripada hasil pertanian, di jual terus oleh para petani di sini.

(ii) Organic Food Market

Satu lagi pasar tani yang dibuka pada hari sabtu terdapat di Kings Cross. Yang ini adalah Oraganic Food Market.

Pasar tani di lokasi lain pun ada, dan dibuka pada hari berbeza. Untuk info lanjut boleh rujuk di LocalMarketGuide.com.au.

(iii) Paddy’s Market

Flea market terbesar di Sydney ini terdapat di 3 lokasi berbeza, dibuka pada hari yang berbeza. Paddy’s Haymarket yang terletak berhampiran China Town dibuka setiap Rabu – Ahad.

Paddy’s Flemington dibuka pada jumaat – ahad. Dan Paddy’s Swap and Sell market dibuka setiap sabtu. Free shuttle bus turut disediakan bagi mereka yang ingin ke pasar ini.  Info lanjut dan cara untuk ke Paddy’s Market boleh di rujuk di PaddysMarket.com.au.

10. Bourke Street

Tempat untuk kaki shopping sebab ada banyak kedai baju dan ada outlet H&M.
Kalau tak nak shopping dan nak jimat duit bolehlah jalan-jalan saja di sekitar kawasan ni. Di sini juga ada  kedai makan halal Indonesia yang terkenal di kalangan rakyat Malaysia iaitu Restoran Blok M Express.

tip-travel-di-sydney-3

Tips Berjimat Di Sydney

Ada di antara tips yang saya berikan ini bukan hanya boleh dijadikan rujukan sewaktu anda ke Sydney tetapi juga sewaktu anda travel ke lokasi lain di Australia seperti Melbourne, Brisbane, Gold Coast, Adelaide dan Perth. Ayuh kita mulakan.

1. Visa

Ye. Benda wajib ada jika nak travel ke Australia adalah visa. Untuk tujuan melancong, anda mesti ada visa ETA sebelum ke Australia. Visa ETA ini boleh di pohon online di website immi.gov.au atau melalui ejen pelancongan. Jika memohon di website imi Australia, bayaran nya adalah AUD20 per visa.

Tapi sebenarnya ada cara untuk anda dapatkan visa ini dengan harga semurah RM25 sahaja, iaitu buat permohonan online dengan beberapa ajensi pelancongan yang menawarkan visa ini.

Cara paling mudah adalah anda buat carian di Google dengan menggunakan keyword ‘visa Australia RM25’. Insya Allah anda akan jumpa yang murah dan sah digunakan.

Oh ya, visa ETA sah digunakan selama setahun,, tiada had atau limit per entry. Jadi jika anda merancang untuk ke Australia lebih dari sekali dalam masa setahun, bolehlah gunakan visa yang sama.

2. Syarat ketat imigresen Australia

Australia terkenal sebagai negara yang mengamalkan udang-undang imigresen yang sangat ketat. Ini antara senarai barang yang dilarang keras dan tidak boleh dibawa masuk ke Australia:

  • Buah-buahan
  • Serunding daging dan ayam
  • Rempah ratus yang berbentuk biji dan belum dikisar seperti bunga cengkih, lada hitam dan kulit kayu manis.
  • Daging, ayam mentah ataupun makanan yang berunsurkan bahan-bahan ini
  • Bahan makanan yang mengandungi telur
  • Hasil tenusu seperti susu, cheese dan mayonis
  • Minuman/makanan yang mengandungi coklat ataupun susu (Milo 3 in 1). Untuk susu bayi anda boleh bawa, tapi sila isytihar.

Namun kita masih perlu bawa makanan dari Malaysia jika mahu berjimat. Ini antara makanan yang boleh dibawa masuk ke Australia:

  • Ikan sardin, tuna dan bilis dalam tin
  • Perencah sambal tumis, kari ayam, kuah kacang seperti jenama Brahims, Aliff, Tesco (kecuali yang ada bunga cengkih)
  • Mee segera seperti Maggi, Mamee, bubur nasi, Indomee tak kisah apa perisa.
  • Beras, bihun, spageti dan lain-lain yang tidak mempunyai unsur-unsur terlarang seperti telur
  • Susu formula untuk bayi dan kanak-kanak
  • Nescafe dan teh 3 in 1 yang menggunakan krimer
  • Ubat-ubatan yang dinasihat/dibenarkan (prescribed by) oleh doktor. Panadol, balm, minyak cap kapak boleh bawa
  • Rempah ratus yang dibungkus dan berlabel. Biasanya ada di Tesco, Giant dan Aeon. Yang ini boleh bawa.
  • Ikan bilis yang dipaketkan di kilang seperti beli kat Tesco atau Giant. Bukan yang beli kat pasar bungkus dalam plastik tanpa label dan jenama.
  • Kiub ayam, tomyam, bilis. Pastikan bawa kotaknya sekali. Kat Australia ada dijual kiub ni di kedai Vietnam, tapi ikut harga sana lah.

Sebelum kapal terbang mendarat, satu borang pengisytiharan (declaration form) perlu diisi. Namanya ‘Arrival Card‘.

Antara soalan yang ditanya di dalam borang ini adalah apakah barang yang anda bawa? Paling senang isytihar dan tandakan saja pada semua terutama bila anda sendiri rasa tak pasti.

Selain daripada itu, sediakan satu senarai lengkap beserta bahan untuk setiap barang makanan yang anda bawa. Nak mudah ambil gambar bahan yang tersenarai di bungkusan, tulis nama makanan dan susun di kertas A4, print.

Bawa sekali senarai ini dan tunjukkan kepada pegawai imigresen yang bertugas di kaunter apabila tiba di Sydney. Senang dan cepat.

Anda boleh semak di laman web Australia.gov.au untuk senarai lengkap barangan yang boleh dan tak boleh dibawa masuk.

tip-travel-di-sydney-10

3. Opal Card

Jika anda ingin bergerak di sekitar bandar Sydney dengan pengangkutan awam Opal Card adalah pilihan terbaik dan menjimatkan. Hanya perlu top up apabila perlu. Sila ambil perhatian juga, kad ini tak boleh dikongsi dengan kawan-kawan anda. Setiap orang perlu ada 1 kad.

Di mana nak dapatkan Opal Card? Di sekitar lapangan terbang, kedai-kedai runcit dan neewstand.

Dan di akhir tempoh travel, anda boleh sama ada bawa balik, pinjamkan kepada kawan yang akan travel ke Sydney, atau pulangkan semula untuk dapatkan baki duit yang ada dalam kad. Hanya perlu isi borang dan pulangkan bersama kad ke Transport for NSW. Untuk info lanjut tentang Opal Card, sila ke website Opal.com.au.

4. Hotel

Seperti biasa, cubalah dapatkan hotel yang termurah dan dekat dengan stesen atau hentian bas dan keretapi. Antara lokasi ideal di Sydney adalah hotel di sekitar China Town.

Jika dapat sewa bilik yang ada dapur untuk memasak lagi bagus. Antara yang sering menjadi rujukan saya semestinya laman carian hotel yang memberikan harga diskaun.

Namun begitu baru-baru ini sewaktu membuat carian untuk trip yang akan datang, saya dapati harga hotel yang ditawarkan AirAsia Go juga tak kalah dari segi murahnya. Jadi jika selama ini anda selalu buat perbandingan di antara penyedia carian hotel lain, jangan lupa untuk masukkan AirAsia Go ke dalam senarai carian anda. Mungkin anda dapat jimat banyak lagi.

5. Laman web dengan harga diskaun

BookMe.com.au – laman web yang menawarkan pakej lawatan dan aktiviti dengan harga diskaun yang lebih murah. Antara pakej menarik bagi aktiviti yang ditawarkan di Sydney adalah:

  • Skydive – diskaun sehingga 33%,
  • Whale Watch tour selama 2 jam 30 minit – diskaun sehingga 67%,
  • Bayaran masuk ke Featherdale Wildlife Park – diskaun sehingga 40%. Biasanya jika ke Australia tak sah jika tak tengok kangaroo kan? Jadi boleh lah cari tiket masuk pada harga diskaun kat sini.

Memang berbaloi-baloi jika anda dapat rebut tawaran diskaun di Bookme ini. Yang penting rancang dengan teliti trip anda dan selalu monitor promosi yang ditawarkan di sini.

tip-travel-di-sydney-12

6. Free walking tour (pay as you think reasonable. Bayar ikut berapa yang anda rasa berpatutan)

Jika anda mahukan sesuatu yang percuma tapi berinformasi (atau bayar ikut kemampuan anda), bolehlah sertai ‘free walking tour’ yang disediakan di laman web ImFree.com.au  yang menyediakan informasi dan jadual free tour di Sydney dan Melbourne.

Daripada update terkini di laman web ini, terdapat 3 free tour yang ditawarkan setiap hari beserta lokasi di mana anda perlu berkumpul.

Tour selama antara sejam setengah ke 3 jam ini meliputi sekitar 26 lokasi di Sydney. Turut dikongsikan di sepanjang tour berlangsung adalah sejarah dan pembangunan Sydney daripada zaman koloni sehingga lah seperti yang anda lihat hari ini.

Bagi saya free tour ini berbaloi untuk anda sertai kerana antara lokasi menarik yang turut dilawati adalah Sydney Opera House, The Harbour Bridge, Parliament House, Hyde Park dan banyak lagi.

Jika rasa tak puas, mungkin selepas tu anda boleh pilih mahu ke mana-mana lokasi yang tersenarai dalam free tour ini sendiri pula.

Lepas dah habis tour, bayar saja ikut berapa yang anda rasakan berbaloi. Kira sedekahlah sikit. Hehe.

7. Free Tours Sydney (naik bas)

Sebenarnya tak free, tapi kena bayar AUD17 seorang untuk tour 3 jam dengan menaiki bas. Tapi masih dikira murah jika anda mahukan keselesaan tanpa perlu sakit kaki. Bayaran yang dikenakan adalah untuk harga minyak dan kos operasi. Sementara tour guide pula adalah percuma. Tour diadakan setiap jam 10.30 pagi. Untuk info lanjut sila ke FreeToursSydney.com.au.

tip-travel-di-sydney-11
Ini antara yang anda dapat lihat jika ke Blue Mountains

8. Aplikasi Sydney Maps and Walks

Satu aplikasi yang boleh anda jadikan rujukan sewaktu travel di Sydney. Menyediakan cara untuk anda pergi ke lokasi menarik di Sydney tanpa tour guide. Antara yang disediakan adalah route dari poin A ke poin B dengan hanya berjalan kaki.

Untuk iPhone, boleh muat turun di sini
Untuk android pula, muat turun di sini

9. Aplikasi Sydney Culture Walks

Sydney Culture Walks merupakan satu lagi aplikasi yang boleh anda muat turun dan jadikan rujukan sewaktu ingin meneroka di sekitar Sydney tanpa tour guide. Secara asasnya, anda boleh pilih mahu gunakan aplikasi ini atau aplikasi Sydney Maps and Walks, mana-mana yang lebih mudah untuk di fahami. Atau gunakan saja kedua-duanya.

10. Restoran dan makanan halal

Adakala kita pasti teringin nak cuba makanan di negara yang dilawati. HalalSquare.com.au dan zabihah.com boleh dijadikan rujukan jika anda ingin mencari restoran halal, sama ada masakan cara barat, Asia mahupun fast food.

11. Cari dan dapatkan promosi penerbangan tambang murah

Tidak dapat disangkalkan, jika kita berjaya dapatkan harga penerbangan KLIA – Sydney pada kadar yang rendah, ia secara langsung memberi impak kepada seluruh kos perbelanjaan sewaktu travel.

Seperti yang kita sedia maklum, AirAsia X merupakan antara syarikat tambang murah yang terbang secara terus dari KLIA ke Sydney, 11 kali seminggu.

Dan baru-baru ini kami dimaklumkan oleh AirAsia X bahawa mereka kini sedang menawarkan promosi tambang murah serendah dari RM449 sehala untuk penerbangan ke Sydney.

Promosi ini telah bermula seminggu lepas dan akan belangsung sehingga 5 Disember 2016 untuk penerbangan dari hari ini sehingga 31 Mach 2017.

Jika Sydney merupakan salah satu destinasi impian anda, inilah masanya untuk anda cuba gandakan penjimatan sebelum travel ke sini. Semakan harga bagi promosi ini boleh dilihat di link AirAsiaX/Sydney.

Dan ini 19 Tip Mengembara Dengan Lebih Murah Di Australia untuk rujukan anda.