Perbezaan bahasa yang ketara, teknologi di sana yang amat jauh ke hadapan dan kos sara hidup yang tinggi kadangkala membuat kita berfikir tiga-empat kali untuk melawat negara matahari terbit ini.  Tapi rugi jika tak pergi. Kuncinya adalah persediaan.

Setelah dua kali berpengalaman ke Jepun, di sini saya selitkan beberapa cadangan yang praktikal sebelum anda terbang ke sana.

1. Sewa wireless router

Ke mana sahaja perjalanan anda, saya pasti ini adalah perkara utama yang anda mahukan. Kerana dengan wireless router ini sahaja anda mampu untuk berhubung dengan keluarga dan kenalan anda di dalam dan luar negara. Jadi, adalah lebih baik jika anda menyewa wireless router atau pocket wifi yang boleh dibawa ke mana sahaja.

Dengan menggunakan alat ini, beberapa jenis alat komunikasi seperti smartphone, laptop dan tablet dapat dihubungkan secara serentak dengan data yang tiada had. Anda bebas menggunakan alat ini di mana sahaja.

Anda boleh menyewa pocket wifi ini di mana-mana lapangan terbang, dan memulangkan semula di lapangan terbang berkenaan. Kebiasaannya, harga sewaan bergantung pada bilangan hari anda sewa. Untuk mendapat harga yang lebih murah, anda boleh menyewa lebih awal secara online sebelum memulakan perjalanan.

2. Beli Pasmo Kad

Seperti yang kita tahu, orang Jepun lebih banyak menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri. Oleh itu,kemudahan pengangkutan awam seperti keretapi dan bas sangat meluas.

Untuk perjalanan yang banyak saya cadangkan anda menggunakan keretapi jarak dekat (termasuk subway dan metro area JR trains), anda perlu dapatkan kad Pasmo yang mana penggunaan kad ini seperti touch-and-go di Malaysia.

Kad ini membantu menjimatkan masa perjalanan kerana anda tidak perlu beratur panjang membeli tiket bagi setiap trip perjalanan. Mudah kan? Anda hanya perlu menjaga kad ini dengan cermat sepanjang perjalanan anda.

Kad Pasmo boleh dibeli di mesin vending di semua stesen keretapi, stesen bas dan stesen subway. Pilihan untuk top-up kad Pasmo adalah antara 1,000 hingga 10,000 Yen dengan harga permulaan sebanyak 500 Yen.

Kad ini juga boleh digunakan untuk membeli barang di kebanyakan kedai dan mesin vending.

3. Sila cetak alamat hotel anda dalam Bahasa Jepun

Tips ini sangat membantu anda di sana kerana rata-rata rakyat Jepun tidak mahir membaca dalam tulisan biasa, apatah lagi bercakap dan menulis.

Sekiranya terjadi perkara yang tak dijangka seperti telefon anda kehabisan bateri, anda hanya perlu tunjukkan alamat kepada penduduk tempatan dan minta tunjukkan arah jalan.

tip-kembara-jepun-2

4. Muat turun aplikasi Hyperdia

Pengangkutan seperti teksi adalah terlalu mahal di Jepun. Harga teksi akan meningkat pada waktu malam, bermula 10 malam sehingga 5 pagi. Ini kerana penggunaan pengangkutan awam seperti keretapi dihentikan pada waktu tersebut.

Jadi, adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai penunjuk arah yang betul.
Aplikasi ini adalah percuma untuk 30 hari pertama anda di sana. Setibanya anda di stesen ketibaan, aplikasi ini akan memaparkan masa, jarak, tambang perjalanan dan stesen pertukaran. Kesemuanya ditunjukkan dalam Bahasa Inggeris termasuk landasan keretapi yang akan anda turun nanti.

Penggunaan aplikasi ini  juga untuk perjalanan jauh yang menggunakan Shinkansen.
Jadual perjalanan adalah sangat tepat pada masanya, dan tidak akan menunggu anda walau seminit pun. Jadi, sila belajar tepati masa ya.

Baca: Pening Cari Penginapan Bajet Di Jepun? Ini 33 Senarai Hotel Untuk Rujukan Anda

5. Tahu di mana tempat mendapatkan wang tunai

Di Jepun, sangat sukar untuk anda menggunakan mesin ATM yang dapat menerima kad asing walaupun anda di bandar besar seperti Tokyo.

Mesin ATM yang kebiasaannya menerima kad asing adalah di 7-Eleven, pejabat pos dan Citibank ATM. Anda perlu memastikan kad bank anda telah diaktifkan penggunaannya di luar negara oleh pihak bank. Atau anda boleh mengaktifkan kad bank anda sendiri melalui internet banking anda. Segalanya di hujung jari. Hehe.

6. Convenience Stores are actually convenient

Di Jepun, anda boleh dapatkan hampir semua yang anda perlukan di kedai serbanika seperti, 7-Eleven, Lawson dan FamilyMart. Dan menariknya, anda juga boleh beli tiket masuk ke DisneyLand di sana.

Kedai serbanika terdapat di mana-mana dan kebanyakannya menyediakan wifi percuma. Ada di antara makanan seperti roti dan pau yang dijual disana halal dan boleh dimakan.

Nagoya castle autumn leaves

7. Muat turun aplikasi Learn Japanese

Perbezaan bahasa merupakan satu kekangan untuk berkomunikasi dengan rakyat Jepun dengan baik. Tambahan lagi, rata-rata mereka tidak tahu atau kurang mahir berbahasa Inggeris.

Untuk memudahkan kita sebagai pelancong, adalah digalakkan untuk anda belajar terlebih dahulu asas bahasa Jepun seperti sumimasen (excuse me), arigatou gozaimasu (terima kasih) dan ucapan yang biasa akan kita guna di negara orang.

Banyak kemudahan di internet yang boleh kita gunakan untuk belajar asas bahasa mereka. Salah satunya adalah aplikasi Learn Japanese. Aplikasi ini menyediakan ucapan –ucapan yang biasa digunakan dalam komunikasi. Menariknya, anda boleh mendengar cara menyebut setiap perkataan dengan betul.

Adalah menjadi satu kelebihan sekiranya anda dapat berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa ibunda mereka kerana mudah untuk anda bertanya tentang arah jalan dan sebagainya. Mereka juga sangat suka sekiranya dapat berbahasa Jepun dengan anda.

Orang Jepun sangat suka membantu, lebih-lebih lagi bila berjumpa dengan orang asing di negara mereka.

8. Eskalator : Berdiri di sebelah kiri di Tokyo, belah kanan di Osaka

Ketika anda menggunakan eskalator di sana, dinasihatkan supaya anda berdiri di bahagian kiri (di Tokyo) jika anda bukan dalam keadaan tergesa-gesa dan nak cepat. Orang Jepun sangat pantas dan sentiasa ingin cepat lebih-lebih lagi pada waktu puncak. Oleh itu, laluan kanan eskalator biasanya dikosongkan untuk mereka yang ingin cepat.

Saya pernah ditegur oleh orang Jepun kerana menghalang laluan mereka sewaktu pertama kali di sana.

Tapi jika di Osaka, etika berdiri di eskalator adalah berlawanan. Jika tak nak cepat, kena berdiri di sebelah kanan dan beri laluan kepada orang yang sedang bergegas berjalan turun (atau naik) di atas eskalator di sebelah kiri.

9. Air selamat diminum

Salah satu kelebihan anda dapat di sana adalah dapat berjimat daripada membeli air mineral. Caranya mudah, sewaktu anda mendapat air mineral di dalam kapal terbang, sila simpan botolnya dan setibanya anda di lapangan terbang, pergi ke mana-mana paip air dan boleh isi semula air. Air di Jepun dijamin kebersihannya dan selamat diminum.

Baca lagi: 6 Tip Cari ‘Souvenir’ Murah Dan Percuma Masa Travel Di Jepun