Bercakap mengenai New Zealand, rata-rata akan memilih South Island, New Zealand sebagai destinasi perlancongan. Mungkin kerana faktor gunung-ganang yang cantik diliputi salji menjadi dorongan mereka untuk memilih South Island.

Apatah lagi, South Island juga dikenali sebagai ‘The Jewel of New Zealand’.
Walaubagaimanapun, saya dan rakan-rakan telah memilih North Island, New Zealand sebagai destinasi pertama kami di New Zealand.

pexels-photo
HYPE
3 Cara Pengguna unifi Boleh Dapatkan Penggunaan Wi-Fi Yang Lebih Baik
Baca lagi →

Kekurangan info tentang North Island dari rakan-rakan yang pernah melancong di New Zealand menjadi dorongan kami untuk pergi ke sana atas dasar ‘curiousity’ untuk melihat apa yang ada di North Island.

Berikut adalah beberapa perkara, info dan pengalaman yang ingin saya kongsikan mengenai North Island.

Kesemua info, pendapat dan pengalaman adalah dari diri saya sendiri dan mungkin berlainan daripada pendapat atau info umum mengenai North Island dan New Zealand.

Sebelum saya kongsikan tip-tip berkaitan dengan travel di NorthIsland, saya ingin bawa anda untuk menonton video pendek ringkasan perjalanan kami di North Island ini dulu.

 

Baiklah, berikut adalah tip-tip yang ingin saya kongsikan:

1. Cuaca
North Island mengalami cuaca 4 musim. Kami pergi pada hujung bulan 8 sehingga ke awal bulan 9 di mana musim sejuk hampir berakhir dan akan masuk ke musim luruh.

Walaupun musim sejuk telah sampai ke penghujungnya, suhu pada siang hari adalah di antara 13 hingga 15 darjah Celsius. Dan pada malam (terutama tengah malam) suhu boleh jatuh ke antara 10 ke 12 darjah Celsius.

tip-trave-ke-new-zealand-10

Salah satu aktivity di North Island, memancing ikan di sungai ketika musim sejuk.

2. Tempat Tinggal

Kami menggunakan perkhidmatan AirBnB sepanjang tinggal di North Island. Harga yang di tawarkan adalah lebih murah daripada tinggal di motel backpacker.

Kelebihan menggunakan AirBnB adalah anda akan tinggal bersama tuan rumah dan ini amat membantu untuk anda mengemaskini maklumat bagi destinasi seterusnya atau untuk mendapat cadangan tentang tempat-tempat menarik yang boleh dilawati.

Kebanyakan tempat tinggal menyediakan sarapan pagi dan sekiranya anda bertuah, tuan rumah mungkin membenarkan anda menggunakan segala bahan masakan yang ada di rumah mereka untuk memasak pada bila-bila masa sahaja.

Bukan itu sahaja, segelintir daripada mereka menyewakan bilik hanya untuk “for fun” dan bukan untuk keuntungan. Persinggahan kami di Waimarama hanya mengenakan cas sebanyak RM130 untuk 2 malam (dan untuk 4 orang!).

Dengan kedudukan atas bukit, berdepan dengan laut, angin yang sejuk, katil dan pemanas yang selesa, RM130 atau RM17 untuk seorang semalam adalah harga yang mungkin sukar untuk didapati di tempat lain.

tip-trave-ke-new-zealand-7

Pemandangan dari luar rumah penginapan kami di Waimarama, North Island. Saya terpaksa memakai jaket sejuk kerana suhu yang agak rendah dan ditambah dengan angin yang bertiup kuat dan sejuk dari arah laut.

tip-trave-ke-new-zealand-18

Pemandangan dari dalam rumah penginapan kami di Waimarama North Island.

3. Pengangkutan, Waktu Perjalanan dan Peraturan Memandu

Kami memilih untuk menyewa kenderaan di sana sebagai mod pengangkutan kami.

Pemandangan sepanjang jalan yang indah, didorong dengan keinginan untuk berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar membuatkan penerbangan domestik atau keretapi bukan pilihan utama kami.

Secara purata setiap perjalanan dari satu bandar atau pekan ke bandar dan pekan yang lain mengambil masa di antara 2 – 4 jam. Mungkin kerana kami kerap berhenti di tepi jalan untuk mengambil gambar menjadikan perjalanan lebih lama.

Saya menyarankan untuk menggunakan Google Maps untuk membantu perjalanan anda. Google Map bukan sahaja boleh membantu arah anda, ia juga boleh memberitahu keadaan trafik semasa dan mencadangkan jalan yang lebih efektif.

Bagi pilihan kenderaan, kami menyewa sebuah kereta hatchback Nissan walaupun pada mulanya perancangan asal adalah untuk menyewa camper van.

Camper van lebih menyeronokkan kerana ia betul-betul memberi ‘feeling’ kepada percutian anda. Tetapi anda kena ingat, anda hanya boleh parkir camper van anda di tempat yang telah disediakan sahaja.

Malahan, anda perlu membayar untuk parkir di tempat-tempat tersebut. Bukan itu sahaja, bagi camper van yang memiliki tandas / bilik mandi, anda sendiri kena membersihkan ‘hasil’ daripada tandas tersebut.

Anda boleh menggunakan lesen Malaysia untuk memandu di New Zealand. Mereka hanya menerima lesen terbaru berbentuk kad (seperti MyKad). Rakan saya cuba untuk mendapatkan kebenaran dengan menggunakan lesen lama (laminated) tetapi telah ditolak bulat-bulat oleh syarikat sewa kereta.

tip-trave-ke-new-zealand-23

Bersama kenderaan kami sepanjang kami di sana.

Peraturan lalu-lintas di sana sama sahaja seperti di Malaysia. Kerusi pemandu berada di sebelah kanan, sama seperti kereta-kereta di Malaysia.

Sesetengah lampu isyarat di sana sedikit mengelirukan seperti contoh, ada laluan yang perlu menunggu lampu hijau untuk belok ke kiri, dan pada masa yang sama tidak perlu menunggu lampu hijau untuk belok ke kiri (anda kena fokus, terutama sekali di kawasan bandar).

Apa yang pasti, sepanjang kami memandu di sana, kesemua kereta bersedia untuk berhenti ketika lampu isyarat berwarna kuning, tidak seperti sesetengah tempat di Malaysia di mana masih ada kereta yang masih berjalan ketika lampu isyarat bertukar ke warna kuning.

Sila pastikan anda memahami peraturan-peraturan jalan raya (syarikat sewa kereta akan membekalkan anda dengan buku ringkasan peraturan) kerana polis-polis peronda agak kerap membuat pemantauan terutama di kawasan bandar.

Satu perkara yang saya ingin berkongsi adalah berkenaan ‘snow chain’. Ramai yang pergi ke New Zealand pada musim sejuk akan menyewa snow chain, demi memudahkan perjalanan di atas salji.

Sepanjang kami berada di North Island, kami tidak berjumpa dengan jalan yang bersalji, kecuali di tepi-tepi jalan. Kondisi jalan-jalan di sana agak baik, tidak banyak jalan berlubang dan selalunya akan cepat dibaiki oleh kontraktor jalan raya.

Tetapi sesetengah jalan pada waktu tertentu akan berais dan basah. Sekiranya anda membawa pada had kelajuan yang dibenarkan, tidak sesuka hati memotong kenderaan yang lain, Insyaallah anda akan selamat. Dan pada masa yang sama tidak memerlukan Snow Chain.

tip-trave-ke-new-zealand-19

Bersama motor tuan rumah di Waimarama. Dia membenarkan kami mencuba untuk memandu motor beliau di kawasan pergunungan di sana!

4. Saiz Badan Penduduk New Zealand

Saiz badan kebanyakan penduduk di sana adalah lebih besar daripada saiz badan penduduk di Malaysia, terutama saiz badan orang Maori yang merupakan kaum asli New Zealand.

Segelintir daripada mereka memandu dengan keadaan kepala mereka hampir menyentuh bumbung dalam kereta!

Saya masih ingat salah seorang rakan saya pernah berkata secara berseloroh ketika kami di sana, “Alep, with their size as compared to us, if we accidentally getting in any trouble with any one of them, just say sorry even though it might be their fault, LOL”.

5. Makanan

Makanan merupakan salah satu perkara yang amat penting untuk dipertimbangkan setiap kali anda pergi melancong.

Sekiranya anda pergi dengan geng-geng yang rajin memasak, anda mungkin akan dapat berjimat dengan banyak di sana. Untuk kes kami, kami berempat hanya rajin untuk memasak di waktu pagi dan selebihnya kami makan di kedai.

Kebanyakan tempat di North Island memiliki kedai-kedai makanan Arab. Anda boleh menikmati hidangan seperti nasi Arab, nasi Tunisia atau pilihan saya (kerana ia paling murah), kebab.

Satu set makanan di sana adalah dalam anggaran RM18 – RM45. Kadar matawang New Zealand adalah dalam kira-kira 3 kali ganda berbanding matawang Malaysia. Kedai-kedai makanan Malaysia juga terdapat di North Island, terutama di Auckland.

tip-trave-ke-new-zealand-21

Salah satu “Clock Tower” yang cantik di Queen Street, Auckland.

6. Kemesraan dan Rasa Jati Diri

Kebanyakan orang-orang di New Zealand sangat mesra kepada pelancong, terutama yang menetap di luar bandar. Mereka sangat berminat untuk mengetahui tentang negara asal pelancong.

Ketika saya berada di Rotorua, penduduk di sana sangat berminat untuk mengetahui tentang Malaysia kerana mereka tidak tahu di mana Malaysia. Walaubagaimanapun, mereka tahu dimana Indonesia dan Singapura, ouch!

Orang di New Zealand sangat berbangga dengan jati diri mereka, terutama mereka yang berketurunan Maori. Mereka memanggil diri mereka New Zealanders, Kiwi atau Maori People.

Pernah ketika saya bersembang dengan salah seorang daripada mereka, mereka memberitahu untuk tidak menyamakan atau memanggil mereka dengan panggilan ‘White People’, walaupun sesetengah daripada mereka berkulit putih.

Mereka lebih suka dipanggil sebagai New Zealanders, Kiwi ataupun Maori People.
Apabila bercakap tentang sukan, mereka akan bercakap tentang ragbi. Pasukan ragbi mereka dikenali sebagai All Blacks.

Ketika saya berada di kedai makan, TV sedang menunjukkan jadual perlawanan ragbi. Kesemua pasukan akan menggunakan nama negara sebagai nama pasukan (seperti Australia, menggunakan nama pasukan ‘Australia’) dan untuk New Zealand, seperti anda jangkakan, mereka menggunakan nama ‘All Blacks’.

Baca: 12 Tip Travel Dengan Karavan Di New Zealand

7. Kepelbagaian Tempat Lawatan

Satu perkara menarik yang kami dapati di North Island adalah kepelbagaian tempat lawatan. Dari bandar, kampung budaya, tempat bersalji, gunung ganang yang hijau sehingga ke pulau yang memiliki gunung berapi yang aktif!

Berikut adalah aktivit dan lokasi yang telah saya kunjungi sewaktu di North Island.

(a) Meneroka bandar Auckland

Di North Island, anda boleh bermula untuk memanaskan badan dengan meneroka bandar Auckland. Sky City, Harbour dan Mount Eden adalah antara tempat menarik untuk dilawati.

(b) Mount Eden

Di puncak Mount Eden, anda boleh menikmati pemandangan seluruh bandar Auckland yang sangat cantik. Tapi berhati-hati, angin yang kencang di atas sana mampu membuatkan tripod Manfrotto saya hampir-hampir tumbang!

(c) Lawatan ke muzium

Bukan itu sahaja, Auckland juga memiliki beberapa muzium yang menarik untuk dipertimbangkan. Kami memilih Museum of Transport and Technology (MOTAT) dan pada waktu kami melawat muzium tersebut, sedang berlangsung pameran ciptaan Leonardo da Vinci.

tip-trave-ke-new-zealand-8

Ketika berada di puncak Mount Eden. Menara yang tinggi itu dikenali sebagai Sky City

tip-trave-ke-new-zealand-12

Ketika berada di Habor Auckland.

tip-trave-ke-new-zealand-13

Didalam MOTAT ketika pameran ciptaan Leonardo da Vinci.

tip-trave-ke-new-zealand-14

Kami memilih pakej trilogi ‘Middle Earth meliputi lawatan ke Hobbiton, Te Puia dan Waitomo Cave.

tip-trave-ke-new-zealand-15

Di salah sebuah ‘Hobbit Holes’.

(d) Hobbiton Movie Set

Hobbiton adalah bekas lokasi penggambaran The Lord of The Rings dan The Hobbit. Di sini anda boleh melawat rumah-rumah yang didiami oleh kaum Hobbit.

Dianggarkan kira-kira 44 rumah Hobbit (dipanggil Hobbit Holes) ada di sana. Walaubagaimanapun, hanya satu sahaja rumah yang dibenarkan untuk masuk.

(e) Perkampungan Maori di Te Puai

Kami berpeluang merasai budaya kaum asli New Zealand ketika berada di Te Puai. Kaum asli di New Zealand dikenali sebagai kaum Maori. Populasi kaum ini adalah dalam sekitar 700 ribu orang daripada 4 juta penduduk New Zealand.

Daripada 700 ribu orang, hanya dalam 4 peratus yang masih memilik darah asli Maori. Kebanyakannya telah bercampur hasil dari perkahwinan di antara orang Maori dan orang luar seperti orang Eropah atau Australia.

Te Puai adalah antara kawasan yang masih memiliki pancuran air panas (geyser) yang masih aktif. Pada waktu siang, pengunjung boleh melawat dan melihat pancuran air panas. Pancutan air panas tertinggi pada kebiasaannya berlaku pada waktu lebih kurang pukul 5 petang.

Pada malam hari pula, berlangsung persembahan kebudayaan kaum Maori, daripada upacara penerimaan pengunjung sehingga kepada persembahan ‘live’ tarian Haka.

Melihat dengan mata sendiri kaum Maori mempersembahkan tarian Haka membuatkan kami lebih faham kenapa tarian ini sangat terkenal dan sering kali dilakukan oleh pemain-pemain ragbi di negara kita.

Kalau di Malaysia, selalunya kita hanya nampak pemain-pemain ragbi lelaki melakukan tarian Haka, tapi di sini tarian ini dilakukan oleh kedua-dua lelaki dan perempuan!

tip-trave-ke-new-zealand-2

Pancutan air panas pada waktu puncak

tip-trave-ke-new-zealand-16

Kaum Maori sedang mempersembahkan tarian Haka!

(f) Waitomo glowing cave

Kami juga berpeluang melawat gua ketika berada di Waitomo. Saya tidak akan bercerita banyak tentang gua di sana. Walaupun cantik, tetapi saya lebih terpukau dengan pengalaman saya ketika melawat Gua Tempurung di Perak dan Gua Mulu di Sarawak.

(g) Melawat White Island dengan helikopter

Saya dan rakan-rakan bukanlah peminat extreme sport. Kebanyakan rakan-rakan yang pernah melawat New Zealand menyarankan kami untuk mencuba bungee jumping, sky diving atau para gliding di sana. Walaupun kedengaran seperti amat menyeronokkan, kami telah memilih untuk melawat White Island dengan menaiki helikopter.

White Island adalah sebuah pulau gunung berapi yang masih aktif. Pengunjung boleh memilih sama ada untuk menaiki helikopter ataupun bot untuk pergi ke pulau ini.

Kami memilih untuk menaiki helikopter bagi merasai pengalaman meninjau pulau ini dari udara. Perjalanan ke pulau ini mengambil masa selama 30 minit.

Sementara tempoh untuk meneroka pulau pula adalah selama 1 jam setengah. Tidak seperti gunung berapi lain, pulau ini penuh dengan aktiviti gas sulfur, dan juga memiliki tasik yang berasid.

tip-trave-ke-new-zealand-17

Bersama pemandu helikopter, Mr Mark Law. Mr Mark juga adalah pemilik syarikat helikopter tersebut, Frontier Helicopters. Beliau pernah bertugas sebagai askar dan pernah dihantar bertugas di Malaysia.

tip-trave-ke-new-zealand-11

Pemandangan White Island dari helikopter. Asap putih yang tebal itu adalah gas sulfur!

tip-trave-ke-new-zealand-4

Pemandangan White Island dari pulau tersebut. Di beberapa tempat di dalam pulau ini memerlukan pelawat memakai topeng bagi mengelakkan terhidu lebihan gas sulfur.

tip-trave-ke-new-zealand-6

Tidak banyak gambar dapat diambil sewaktu di Mounth Ruapehu kerana hujan turun dengan lebat 15 minit selepas kami tiba di puncak gunung.

(h) Mount Ruapehu

Tidak seperti South Island, North Island tidak memiliki banyak tempat yang bersalji. Walaubagaimanapun, Mount Ruapehu adalah sebuah gunung yang bersalji sepanjang tahun.

Salji di gunung ini hanya berada di puncak gunung. Walaubagaimanapun, jangan risau kerana ada jalan yang boleh dilalui oleh kereta sehingga ke puncak gunung. Pengalaman memandu dari kaki gunung yang kering sehingga ke puncak gunung yang bersalji adalah sukar untuk digambarkan!

(i) Te Mata Peak

Te Mata Peak adalah antara tempat wajib untuk dilawati di North Island. Seperti Mount Ruapehu, kami terpaksa memandu kereta sehingga ke puncak untuk menikmati pemandangan.

Jalannya yang curam juga agak mendebarkan. Anda boleh memilih untuk mendaki dari kaki gunung sekiranya anda tidak yakin untuk memandu sehingga ke puncak.

Dari puncak Te Mata Peak, anda akan menikmati pemandangan gunung ganang yang sangat indah. Seperti kata rakan saya, melihat gunung ganang dari atas sana seperti melihat lipatan-lipatan karpet.

tip-trave-ke-new-zealand-1

Pemandangan dari puncak Te Mata Peak.

8. Starry Night

Starry night ataupun malam penuh dengan bintang adalah salah satu impian bagi kebanyakan fotografer. Untuk mendapatkan starry night shoot, anda perlu berada di tempat dan pada masa yang tepat.

Antara faktor utama membantu seseorang photographer untuk mendapatkan starry night shoot yang cantik adalah di lokasi langit gelap (tanpa cahaya bulan) dan tiada unsur-unsur pencemaran cahaya.

Di North Island, kebanyakan tempat walau di bandar sekalipun adalah agak senang untuk melihat starry night. Saya amat bertuah kerana ketika berada di Waimarama, bukan sahaja dapat melihat starry night, tetapi juga dapat melihat Milky Way!

tip-trave-ke-new-zealand-9

Percubaan pertama untuk merakam imej Miky Way di Waimarama, North Island.

9. Penggunaan Kad Debit / Kad Kredit

Anda pasti sedar yang Malaysia kini sedang dalam proses menaik taraf kad debit dan kredit di mana kita boleh membayar dengan hanya perlu ‘wave’ kan kad kepada terminal bayaran. Tidak seperti sebelum ini dimana kad perlu di ‘swipe’ dan resit akan diproses dan perlu ditandatangani.

Di New Zealand, kebanyakan kedai-kedai telah memiliki terminal kad debit / kredit. Anda boleh memilih untuk ‘wave’ kan kad ataupun bagi kad yang tidak memilik fungsi ‘wave’, anda boleh masukkan kad ke dalam terminal dan hanya perlu memasukkan nombor pin.

Bayangkan kedai yang berada di ceruk kawasan yang agak terpinggir, tetapi masih memilik terminal bayaran. Ketika kami di McDonald, kami hanya perlu pergi ke kiosk mudah alih, pilih hidangan dan terus ‘wave’ kad kepada terminal bayaran tanpa perlu beratur di kaunter.

Kiosk akan terus memproses resit dan kami hanya perlu pergi ke kaunter untuk mengambil hidangan yang telah siap.

10. Kebersihan Tandas yang Sangat Luar Biasa

Kesemua tandas yang kami guna di New Zealand, daripada bilik yang kami sewa, tandas di tepi jalan, di kedai-kedai makan atau serbaguna yang berada di bandar mahupun di kawasan pinggir bandar, tandas mereka sangatlah bersih!

Bukan itu sahaja, tandas-tandas tersebut sentiasa memiliki tisu dan juga penyegar udara. Mungkin ini adalah sesuatu yang kita boleh belajar dari penduduk New Zealand.

Kesimpulannya, North Island, New Zealand adalah salah satu tempat yang sangat menarik untuk dilawati. Untuk saya dan rakan-rakan, pengalaman berada di sana adalah salah satu pengalaman melancong yang sangat menyeronokkan dan sukar untuk dilupai.

Bak kata orang ‘it is worth every single penny you spent there‘. Anda boleh melihat pemandangan yang indah, merasai cabaran berada di tempat yang sangat mencabar seperti di pulau gunung berapi White Island, menikmati persembahan kebudayaan yang sangat unik, dan lain-lain lagi.

Baca: Itinerari Ke New Zealand Selama 13 Hari Dengan Bajet RM3500

tip-trave-ke-new-zealand-5

Salah satu daripada pemandangan di puncak Te Mata Peak.

Tips-tips Tambahan Ketika di North Island

11. Saiz hidangan yang besar

Sebelum ini saya ada memberitahu tentang harga purata makanan di sana. Saya juga ada memberitahu tentang saiz badan penduduk di sana.

Sekiranya anda gabungkan 2 info ini, maka anda boleh mengagak bahawa makanan di sana adalah sangat banyak. Satu set makanan di sana sebenarnya boleh dimakan oleh 2 orang Malaysia (pada pandangan saya).

Sekiranya anda malas memasak, anda boleh berkongsi makanan dengan rakan anda.

12. Berhati-hati sewaktu tempah makanan di restoran di musim sejuk

Anda kena berhati-hati sekiranya anda makan di kedai-kedai biasa pada musim sejuk. Walaupun anda memilih hidangan laut seperti Fish n Chips, anda kena pastikan masakan tersebut dimasak dengan menggunakan minyak.

Sesetengah hidangan di sana pada musim sejuk dimasak dengan Wine untuk memanaskan badan.

13. Pilih lokasi jauh dari bandar

Sekiranya anda merancang untuk menggunakan AirBnB, luaskan lingkungan pencarian anda untuk mendapat harga yang lebih murah dan lokasi yang lebih menarik untuk tempat penginapan anda.

Jangan terlalu risau dengan jarak antara tempat penginapan ke tempat yang ingin anda lawati sekiranya anda menyewa kenderaan di sana.

14. Be humble

Jangan sombong untuk bertegur dengan tuan rumah (bagi pengguna AirBnB). Kita tidak tahu apa yang tuan rumah boleh tawarkan kita sekiranya mereka gembira dengan kita.

Ketika kami di Rotorua, tuan rumah mengajak kami menikmati ‘mud spa di kawasan terbuka secara percuma sambil menikmati keindahan bintang-bintang di langit.

Disebabkan konflik jadual, kami terpaksa menolak tawaran tersebut. Kemudian barulah kami tahu pakej ‘mud spa’ tersebut sebenarnya berharga RM300 bagi setiap seorang! Terasa rugi pula kerana menolak tawaran beliau. Haha.

15. Jarakkan masa lebih lama dari lapangan terbang ke tempat kereta sewa

Sekiranya anda merancang untuk menyewa kereta, dan anda ingin mengambil kereta di lapangan terbang, pastikan jarak masa antara anda tiba di lapangan terbang dan mengambil kereta cukup.

Kesilapan kami adalah dengan memperuntukkan selama sejam dengan andaian waktu untuk melepasi imegresen, menunggu beg dan pergi mengambil kereta.

Kami sebenarnya terpaksa menunggu selama 3 jam sebelum selesai melalui proses imegresen! Nasib baik syarikat sewa kereta kami buka sehingga tengah malam.

16. Harga petrol berubah setiap hari

New Zealand menggunakan sistem apungan harga minyak di mana harga minyak berubah setiap hari. Anda boleh Google untuk mendapatkan purata harga minyak di sana supaya anda tahu waktu yang sesuai untuk mengisi minyak kereta anda.

17. Cara menjimatkan minyak

Sekiranya anda memandu ketika musim sejuk, anda boleh menggunakan sistem pengaliran udara dari luar dan tutup aircond untuk menjimatkan minyak. Ingat, kadar matawang di sana adalah tiga kali ganda dari sini.

18. Sentiasa perhatikan kadar pertukaran matawang

Sekiranya matawang mereka jatuh, itu adalah waktu terbaik untuk anda membuat tempahan pakej lawatan, tempat tinggal atau sewa kenderaan sebelum tarikh percutian anda bermula.

19. Rajin-rajinkan diri untuk Google pakej-pakej lawatan yang disediakan dan pilih pakej yang anda boleh mengoptimakan masa anda di sana

Sebagai contoh, pakej Middle Earth Trilogy yang kami pilih meliputi 3 kawasan besar di sana. Dari pakej ini, kami merancang tempat tinggal dan masa untuk memastikan waktu kami terisi dengan penuh.

Bukan itu sahaja, dengan mengambil pakej-pakej sebegini, anda akan mendapat potongan harga yang banyak jika dibandingkan dengan mengambil pakej secara berasingan.

tip-trave-ke-new-zealand-3

tip-trave-ke-new-zealand-20

Bersama Mr. Walter. Rumah beliau merupakan tempat penginapan kami yang paling cantik dan termurah ketika berada di North Island. Mr. Walter juga meminta kami menanam sebatang pokok sebagai simbolik yang kami pernah menginapi rumah beliau.

Saya pada mulanya langsung tidak merancang untuk menulis artikel ini. Tetapi disebabkan terlalu seronok dengan pengalaman kali ini, saya telah berjanji dengan tuan rumah tempat penginapan kami di Waimarama, Mr. Walter untuk mempromosikan North Island kepada rakan-rakan di Malaysia.

Sekiranya anda masih belum memutuskan untuk memilih destinasi perlancongan anda, why not North Island, New Zealand?

Baca lagi: Inilah 20 Tip Cara Saya Berjimat Sewaktu Travel Di New Zealand

Artikel di atas disumbangkan oleh Aliff Omar. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka