Saya membesar dengan segala jenis genre muzik dari luar dan dalam negara. Saya peminat muzik grunge, metal, reggae, pop, jiwang kapak dan dangdut pun saya boleh layan. Apa yang penting lagu berkenaan sedap didengar dan kalau saya minat betul sesuatu lagu itu, saya akan kaji pula muzik dan liriknya.

Satu kumpulan yang saya dengar sejak saya tingkatan dua adalah kumpulan legend hip hop negara, Too Phat. Tipulah kalau anda yang membesar tahun 2000 tidak minat dengan Too Phat. Saya sendiri dulu siap belajar breakdance tetapi tak ke mana sebab kalau bab menari, memang kayu. ‘Alhamdulillah’ adalah salah satu lagu masterpiece Too Phat yang dinyanyikan secara live di Anugerah Bintang Popular BH 2003.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Duo awesome yang dianggotai Joe Flizzow dan Malique ini rasanya tiada pengganti. Apabila mereka berdua mengumumkan yang Too Phat kini sudah tidak ada lagi, saya adalah antara insan yang paling sedih pada ketika itu. Dalam hati terdetik alamak, kalau mereka ini dah tak bersama, habislah tak ada lagu sedap selepas ini.

Nyata saya salah kerana walaupun mereka kini bergerak secara solo, mereka tetap menghasilkan karya gempak yang memeriahkan lagi industri muzik tempatan. Malique hadir dengan karya hebat beliau seperti Teman Pengganti dan Aku Maafkan Kamu dan Joe Flizzow pula menerusi lagu Havoc dan Apa Khabar. Apa Khabar mencipta milestone buat muzik hip hop tempatan apabila lagu ini menjuarai Anugerah Juara Lagu 29.

Gambar ini bukti yang gua memang peminat tegar Too Phat. Rebirth Into Reality keluar di zaman transisi kaset ke CD dan yang saya ada ini adalah versi kaset. Disebabkan tiada lagi radio di rumah yang boleh memainkan kaset, maka album ini tersimpan di ceruk almari berhabuk begini sebelum saya jumpa semula ketika mengemas. Lain perasaannya bila menyimpan album yang original ini.

Sebelum bersama Vocket, saya bekerja hampir 3 tahun dalam industri muzik. Kalau Joe, sudah biasa jumpa beliau di acara-acara muzik. Tetapi bagi Malique memang susah untuk berjumpa beliau secara berdepan. Mungkin ada sebab beliau yang tersendiri di mana beliau lebih selesa untuk bikin lagu sahaja dan untuk persembahan pentas, beliau berikan tugas berkenaan kepada orang lain. Sebagai contoh, beliau pilih RJ sebagai pengganti beliau untuk menyanyikan lagu ‘Teman Pengganti’ bersama Black di pentas Anugerah Juara Lagu 27 empat tahun lalu.

Awal bulan ini, Qarma Musiq (label milik Malique) membuat teaser yang album terbaru Malique akan keluar di pasaran dan kerana faktor kerja, saya terlepas pandang bila ianya akan dipasarkan. Tiba-tiba ianya available untuk dibeli secara online dan album yang dibeli secara online akan ada signature Malique di depannya! Saya pun excited dan cuba membelinya tetapi apa kan daya, album berkenaan kini sudah SOLD OUT. Pihak Qarma Musiq di laman web rasmi mereka mengeluarkan disclaimer ini;

“Merujuk kepada informasi tidak tepat yang kini sedang berlegar, pihak kami ingin membuat klarifikasi yang album Malique TKO: Pejamkan Mata adalah sebuah album kompilasi lagu-lagu yang terlebih dahulu telah dikeluar-edarkan dan hanya memuatkan (3) lagu baru. Susun atur lagunya adalah seperti di bawah. Album Tko: Pejamkan mata juga bukanlah sebuah album “comeback” malah lebih kepada album “selamat tinggal”, babak terakhir kepada album trilogi bahasa melayu beliau. Album Malique yang berikutnya adalah di dalam bahasa Inggeris dan akan diedarkan pada 2017. Harap maklum.”

Adakah benar perkara ini? Jika ianya benar, ianya satu kehilangan besar kepada industri lagu Melayu. Single terbaru ‘Pejamkan Mata’ featuring Dayang sedang diputarkan di radio dan di Youtube pula masih belum ada yang official. Bijak sungguh Malique cipta rasa ingin dengar peminat beliau terhadap single terbaru dan album ini.

Buat yang terlepas membeli edisi di Qarma Music, kena tunggulah untuk beli album ini yang akan diedarkan di toko muzik serata negara. Jika tahun ini akan keluar album inggeris pula, harap-harap adalah salah satu lagu dalam album itu nanti ada lagu beliau comeback bersama Joe Flizzow. Kami generasi 90an rindu betul nak dengar buah tangan terbaru dari Too Phat. Yang terakhir pun dari album Rebirth Into Reality yang keluar pada tahun 2005. Album Rebirth Into Reality ini memang comeback hebat dari duo pintar ini dengan lagu-lagu kolaborasi hebat bersama artis ternama seperti Siti Nurhaliza dan Inul.

Jadi apabila album TKO berada di pasaran, jangan lepaskan peluang untuk dapatkan album ini di pasaran. Ini bukan promo cuma salah satu cara saya mahukan anda semua sokong industri muzik tempatan. Kesian pada artis tak tidur malam bikin masterpiece dan kita mudah-mudah sahaja download secara haram. Bila mereka dah tidak berupaya untuk buat lagu baru, kita juga rugi sebab tak dapat sudah nak dengar lagu baru dari mereka kan?

Di Bawah adalah track listing untuk album TKO ini. Owh cari juga album ‘Havoc’ Joe Flizzow yang keluar pada tahun 2013. Barulah lengkap koleksi anda. 2017 masih hip hop!

TKO: Pejamkan Mata
1. Warkah Dari Perbatasan (Intro)
2. Salut featuring Ariz
3. Perang Dah Tamat featuring Rabbani
4. 2010 Masih Hip Hop featuring Joe Flizzow
5. Muzik Buatku High
6. Senyum featuring Najwa
7. Cuba Lagi featuring Lah Ahmad
8. Bukan Mudah with Nukilan
9. Aku Maafkan Kamu featuring Jamal Abdillah
10. Teman Pengganti with Black
11. Pejamkan Mata featuring Dayang Nurfaizah

P/S: Buat yang mengkritik kata kenapa ada mata dajjal pada lukisan album cover TKO ini? Anda salah. Itu bukan mata dajjal. Mesejnya lebih kepada anda perlu tutup mata dan lihat dengan ‘mata hati’. Itu interprestasi saya untuk cover album ini. Lihatlah sesuatu dgn mata hati sebelum menilai sesuatu perkara.Peace!