Selepas kisahnya memanjat pokok untuk menjawab peperiksaan dalam talian sebelum ini tular, pihak Telekom Malaysia baru-baru ini turun padang untuk berjumpa sendiri dengan Veveonah di kampungnya yang terletak di Sipitang Sabah.

Veveonah yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Sabah sebelum ini terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang baik untuk menjawab peperiksaan dalam talian.

Perkongsian yang dibuat beliau ketika menjawab peperiksaan itu di YouTube menarik perhatian ramai sehingga kisahnya turut mendapat perhatian daripada pihak bertanggungjawab.

Dalam satu perkongsian yang dibuat di Facebook Telekom Negeri Sabah pada semalam, pihak mereka dikatakan telah menjejaki Veveonah untuk meninjau sendiri keadaan beliau dan capaian internet di sana.

“Lokasi lawatan adalah di Kampung Sapatalang, Pitas.

“Rombongan diketuai oleh Pengarah wilayah TM Sabah yang berjiwa rakyat iaitu YH Dato’ Hj. Mohd Sainal Mohd Amin dan beberapa anggota TM sabah,” jelas kiriman tersebut.

Pihak mereka juga menjelaskan sedang berada dalam tempoh penyelidikan dan berusaha untuk meningkatkan kualiti telekomunikasi di kawasan tersebut.

“Kami di pihak TM Sabah masih dalam tempoh penyelidikkan dan berusaha membantu bagi peningkatan kualiti telekomunikasi di kawasan tersebut,” jelas mereka.

Bakal terima capaian lebih optimum

Bagaimanapun, buat anda yang tertanya-tanya apakah Veveonah dan penduduk kawasan sekitar rumahnya bakal menerima penambahbaikan yang sepatutnya jawapannya adalah ya.

Portal SoyaCincau melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan telah menjelaskan kawasan tersebut bakal menerima sambungan yang optimal selepas ini.

Ia susulan daripada perancangan untuk membangunkan menara telekomunikasi yang baru di Kampung Bilangau Kecil yang terletak berhampiran Kampung Sapatalang.

Perancangan tersebut yang merupakan sebahagian daripada National Fiberisation and Connectivity Plan Phase 1 menurut mereka akan siap pada fasa kedua 2021.

Jadi harapnya dengan kisah yang dipaparkan Veveonah ini bukan saja bakal membantu beliau dan perkampungan sekeliling tetapi akan turut memanfaatkan masyarakat pedalaman secara keseluruhan untuk menikmati capaian internet yang lebih baik selepas ini.

Buat anda yang terlepas menonton perkongsian Veveonah menjawab peperiksaan atas pokok sebelum ini, anda boleh menontonnya di sini.

https://youtu.be/-qxTyBWVLIU

Baca kisah Veveonah sebelum ini yang melakukan cabaran 24 jam berada di atas pokok untuk menjawab peperiksaan yang pernah kami kongsikan sebelum ini di pautan di bawah. 

Jawab Peperiksaan Sambil ‘Camping’, Pelajar Ini Kongsi Cabaran 24 Jam Atas Pokok Di YouTube

Bukan RM144,000 Tetapi Ini Pendapatan Sebenar Sugu Pavithra Selepas Meletup Di YouTube

Sumber