Touch ‘n Go eWallet kini telah memperkenalkan sebuah lagi sokongan baharu yang dinamakan sebagai Scan QR In/Out Parking. Dengan ini, ia membolehkan para pengguna dompet digital Touch ‘n Go eWallet untuk mengimbas kod QR untuk membuat pembayaran di sesebuah tempat parkir kenderaan.

Hal ini sekaligus memberikan alternatif kepada pengguna, dan tidak lagi perlu mengambil tiket dan beratur panjang ketika ingin membayar tiket pada mesin khususnya.

Baca Juga:

Sumber Gambar: TNG eWallet

Untuk menggunakannya, sewaktu memasuki sesuatu lokasi parkir, pengguna perlu perlihatkan kod QR mereka ke pengimbas di parkir berkenaan, dan seterusnya, sekali lagi mengulangi proses pada palang keluar parkir. Pembayaran akan dilakukan menerusi Touch n Go eWallet.

Pihak TNG turut mengatakan tiada sambungan internet diperlukan untuk imbasan kod QR dan pengguna akan dihantar dengan notifikasi bayaran. Sekiranya bateri peranti habis, maka pengguna perlu ke pejabat pengurusan parkir dan memberitahu nombor telefon TNG eWallet anda untuk mereka mengeluarkan tiket parking bagi bayaran manual.

Buat masa ini, Touch n Go eWallet telah memperkenalkan sokongan Scan QR In/Out Parking ini di sekitar 70 lokasi, termasuk di beberapa parkir LRT, Maju Junction Mall, Pertama Complex, Hentian Duta, Campbell Complex, Kompleks Bukit Jambul, Four Points Desaru, dan banyak lagi. Lokasi parkir baharu juga dijangka ditambah dari semasa ke semasa.

Sumber