“Dapat RM 30-50 sehari pada tahun 1984 tu dah banyak dah dik,” cerita lelaki yang duduk duduk semeja denganku sambil kami membedal mi sup dan mi kari di Gerai Ah Kow.

Aku congak. Waktu aku kecil dalam tahun 1989 harga nasi lemak masih 50 sen sebungkus. Kuih masih 20 sen seketul. Roti canai masih 50 sen sekeping.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Buat Razak Junet, memilih untuk bersara awal sebagai Sub-Inspektor di Cawangan Trafik PDRM dilakukan dengan persediaan rapi sejak dari zaman muda lagi.

“Saya sampai KL tahun 1984. Gaji RM 304 sebulan. Tinggal di Gombak, saya ikut orang tua di situ masuk hutan. Kami cari daun pisang, jantung pisang, rebung – semua itu jadi duit,” ceritanya.

Dari situlah beliau dapat duit tambahan kira-kira RM 30 setiap kali keluar hutan. Pembeli dah sedia tunggu dan nak serah duit sahaja.

Polis, tetapi pernah ditahan polis

Namun itu bukan satu-satunya sumber pendapatan tambahan yang beliau buat.

“Saya orang kampung. Ada kemahiran buat jala. Di situ buat duit lagi. Orang tempah jala, saya jual. Jala sendiri, saya buat tangkap ikan di sungai-sungai.”

Tambah beliau, ikan talapia banyak pada waktu itu. Sungai-sungai di KL bukan macam sekarang. Airnya masih elok, sungainya juga masih cetek.

“Saya ni polis, tapi sebab dok tangkap ikan pukul 3-4 pagi, saya sendiri pernah kena tahan dengan polis. Yelah memang sesuailah jadi suspek – duduk tengah sungai tengah-tengah malam,” ujarnya sambil tertawa.

haji-junet-02

Aku tanya dia kenapa pilih untuk bersara awal, katanya persiapan dah dibuat. Beliau ada perniagaan katering untuk diuruskan di Melaka.

Anak-anak berniaga

Bila cerita tentang anak-anak, aku suka betul cerita beliau.

“Anak saya yang pertama, belajar kemahiran membaiki kenderaan, motor. Kerja teruk, minta naik gaji sikit pun kena herdik. Bos dia kata tak ada siapa akan bagi naik gaji, kerjalah di mana pun.”

“Saya cakap pada anak, berhenti kerja. Balik Melaka duduk dengan ayah, buka niaga bengkel di sini. Rezeki tu datang dari Tuhan, bukan tangan manusia. Dia berhenti kerja, balik Melaka. Sampai sekarang bengkel dia masih jalan. Elok aja…”

Ikut cerita En. Razak, anak-anak dia pakat kerja dengan dia belaka. Anak perempuan dia buat bisnes pelamin dan andaman pengantin, ada juga yang support katering.. gitulah.

Tentang mengambil pekerja

Bercakap tentang menggaji pekerja, En. Razak kata, kita jangan dengar sangat apa orang kata tentang orang lain.

“Seorang pekerja saya, memang masa sebelum diambil bekerja nampak macam kurang harapan aja, menganggur. Saya ajak kerja, saya kata buatlah apa yang boleh untuk tolong saya sikit-sikit. Sekarang, kalau dia tak ada, boleh patah bahu saya ni,” kata beliau sambil aku terus ternganga kagum dengan kisah ini.

Entahlah, aku macam tak percaya orang depan aku ini umur dah nak 55. Datang ke KL pun naik motor sahaja dari Melaka, ada urusan LHDN katanya.

Aku tanyalah, pasal apa tak naik kereta aja, kan lebih selesa?

“Saya jadi polis trafik dah lama. Saya sendiri tak tahan dengan keadaan trafik sesak di KL ni. Baik saya naik motor, tak pening kepala.”

Nasihat untuk orang muda

Sambil aku minta izin ambil gambarnya, sambil tu aku minta dia beri nasihat untuk orang muda yang sepertinya tak cukup duit dengan gaji kerja hari ini.

“Gunakan kemahiran. Kalau tak ada, cari. Belajar. Kemahiran itulah yang kita gunakan untuk buat duit tepi. Bukan nak kejar banyak tapi percayalah bila dah mula ada, ia akan terus ada dan bertambah kalau selagi kita usahakannya.”

“Sekarang ada internet. Orang berniaga tak macam dulu. Belajar cara niaga di internet, boleh buat duit.”

Apa pun, ayat akhir dia yang aku paling suka.

“Saya buat duit begini, saya guna hari cuti sebaiknya cari duit lebih. Saya tak pernah ambil duit kopi. Saya tak perlukannya sebab saya tahu cara nak cari duit lain daripada gaji saya.”

Encik Razak, seperti yang saya cakap minggu lepas, hari ini saya kongsi cerita ini, moga tersebar luas, moga jadi contoh untuk orang lain ikut.