Melihat saya berjalan sambil mengesat mata, cik petugas bertanya apa sudah berlaku.

“Sayang sungguh, orang tidak tengok.”
“Kenapa? Cantik ceritanya?”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Masih mengesat mata namun saya tersenyum lebar dan terus melangkah keluar dari panggung. Melihat pada reaksi orang di luar, jelas ada yang terpinga-pinga, ada juga yang tersenyum sinis melihat keadaan saya.

Abaikan…

Pertama, filem ini dibikin dengan hampir sepanjang cerita berdasarkan naratif daripada watak utamanya. Jikalau ia dipindah dalam bentuk penulisan, boleh jadi ceritanya seperti dari catatan diari ataupun yang lebih terkini melalui himpunan status di Facebook.

Begitulah lebih kurang. (Ah, bukankah itu yang perlu difahami dahulu sebelum menganggap naratifnya sebagai gangguan?)

Kedua, ini kisah benar seorang guru bernama Cheryl Ann Fernando, seorang guru khas yang ditugaskan di SMK Pinang Tunggal di Kedah. Beliau mesra dengan panggilan “teacher”, mengajar Bahasa Inggeris di sekolah yang mana ia adalah sekolah kampung.

Kalau sudah begitu keadaannya, sudah tentu beliau tidak berada dalam keadaan senang-lenang. Cabaran buatnya, berhadapan dengan tugas iaitu mendidik pelajar dalam Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya untuk memahami bahasa itu. Yang terbaik sudah tentulah apabila para pelajar dapat menguasainya.

Akan tetapi, kalau sudah namanya sekolah terpencil, dengan muridnya yang berbeza perangai, kurang terdedah, kurang yakin, punya tanggapan sinis terhadap orang luar, tidak bermotivasi di samping masalah keluarga masing-masing (ya, bukan semuanya senang!), sudah tentulah dugaannya berganda-ganda mencabar.

Maka daripada situasi itulah Teacher Fernando berikrar akan berjuang dan berusaha demi kebaikan pelajarnya walau dalam apa cara, biarpun kaedahnya mungkin tidak sesuai dengan sistem pendidikan sedia ada.

Selanjutnya, cabaran bertambah bilamana Teacher Fernando diberi tugas melatih sekumpulan pelajar yang mewakili sekolah dalam pertandingan choral speaking.

Acara yang tidak pernah sebarang kemenangan berpihak kepada sekolah mereka namun ia tetap disahut. Macam-macam perkara yang berlaku menjadi cerita sepanjang usaha mereka membentuk pasukan itu.

Bermula dengan kisah mengumpan murid supaya menyertai, komitmen yang tidak sepenuh hati, persaingan sesama individu yang hampir merosakkan semangat berpasukan, ahli keluar masuk sehingga ke saat akhir dan yang paling penting, pemahaman mereka terhadap skrip yang dilontarkan serta seribu satu ragam lagi yang perlu dihadapi. Inilah yang menjadi tunggak utama penceritaan.

Dalam hal Fernando sebagai guru, menangani masalah pelajarnya juga menjadi tanggungjawab. Sungguh, bukan semua pelajarnya orang senang. Setiap seorang punya masalah sendiri.

Ada yang tertekan kerana tinggal bersama pesakit mental, ada yang daif, ada yang terpaksa bekerja. Ada satu babak yang selain menghadirkan sebak, ia juga sangat ironi dari segi visual.

Seorang murid bermasalah bertanya kepada Teacher Fernando, pernahkah beliau kelaparan tidak makan lebih dari tiga hari. Pertanyaan itu berlaku dengan himpunan biskut sedap melatari perbualan mereka. Aduh, cukuplah.

Melihat kepada keseluruhan filem ini, ia jelas menjadi ‘teguran’ halus kepada pihak yang berkenaan. Jurang antara pelajar di bandar ataupun yang menjadi keutamaan berbanding mereka yang jauh di sudut dunia masih terlalu lebar jaraknya.

Yang tertinggal, yang hidup susah tanpa pembelaan, yang terpaksa melupakan sekolah demi mencari penghasilan, keadaan itu masih berlaku di mana-mana.

Kisah ini sepatutnya menjadi pembuka mata. Sesuai judulnya yang mengambil perkataan adiwira, apa yang ditunjukkan oleh para pelajar ini ialah, mereka tetap punya semangat mahu menjadi yang terbaik, masih ada kemahuan untuk menyumbang sesuatu dan tetap punya potensi untuk terampil andai diberi tunjuk ajar yang sepatutnya.

Dari segi persembahan, filem ini sederhana tetapi dalam masa yang sama ia sesuai begitu tanpa perlu berlebihan. Teacher Fernando terbukti berkesan pembawaannya.

Saya terpikat dengan semangat para pelajar yang membawa watak mereka sendiri tanpa kelihatan seperti dipaksa-paksa berlakon. Adalah juga yang kelihatan janggal di sana sini tetapi tidaklah sehingga merosakkan cerita. Babak perpisahan itu pula memang meruntun hati.

Apapun, ini filem tempatan yang kedua berjaya membuatkan empangan air mata saya pecah selepas filem Redha.

Semoga filem ini mendapat sambutan dan sokongan yang baik di Semenanjung Malaysia, semoga mereka yang telah berjaya membuat trailer filem ini menjadi tular di media sosial juga menjadi antara mereka yang menontonnya di pawagam.

Bila lagi hendak sokong filem tempatan yang baik ini memandangkan saingan kuat daripada filem popular antarabangsa.

Dan saya, sehingga ke akhir cerita masih mengesat mata. Antara puncanya, sedikit kecewa kerana hanya saya seorang menjadi penonton di dalam panggung bertuah di Kota Kinabalu. Mujurlah encik tiket masih membenarkan saya menonton.

Tahniah dan terima kasih kepada ‘Adiwiraku’, kerana telah berdiri sebagai filem pencetus inspirasi dengan sangat baik. Kalian berjaya memberikan sesuatu.