Mesti semua pelik bagaimana Muaz Aziz yang dikenali di FB dengan post berkenaan hartanah, kewangan, insyirah dan klon selebriti Aqasha (versi kiut) tiba-tiba terus bertukar topi menjadi saudagar durian.

Minggu ketiga Julai yang lepas saya menyertai Business Boot Camp 1.0 (BBC) di bawah anjuran PeKA di Homestay Waqaf di Kampung New Zealend Cameron Highland Pahang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Program 3 hari 2 malam ini benar-benar membuka mata saya tentang dunia bisnes, apatah lagi dunia bisnes di bawah garis panduan Islam dan apa sepatutnya usahawan Muslim perlu lakukan.

Di antara slot BBC ini adalah membuat jualan ‘off line’ di Tanah Rata.

Saya jika online saya boleh goreng goreng, tapi jika offline kadang-kadang boleh goyang lutut woih. Kena pula kalau yang lalu depan macam cik adik Mai Sara, tak terungkap ucapan beb.

Akhirnya pasukan saya berjaya membuat untung membeli stawberi di pasar malam Tanah Rata dan jual semula di masjid dengan keuntungan sekali ganda daripada kos! Soal berapa besar modal tutuplah sebelah mata dahulu. Huhu (sebenarnya tidak sampai 10 kg pun).

Bila pulang dari BBC, kelas pembelajaran kami belum selesai. Guru dalam BBC Tuan Khir Ariffin, Haji Zikri Fuad dan Tuan Enze Azrul Amom masih memberi teknik dan cara berbisnes dan buat duit segera.

Batch 1.0 memilih bisnes trading durian Cameron.

Dan ini 5 perkara yang saya belajar sepanjang pemerhatian saya bergelumang trading durian selama 7 hari.

1. Kepuasan Bisnes Bukan Hanya Pada Wang Ringgit.

Nikmat tidak terkata.
Nikmat tidak terkata.

Ketika kira-kira sebelum memulakan trading durian minggu lepas, sememangnya RM adalah perkara penting dalam industri ini. Setelah ditolak tol, minyak, berapakah keuntungan saya.

Rupanya tidak, ada delivery saya jauh nun ke Nilai hanya untuk menghantar durian kepada ibu yang sedang sarat dan mengidam durian.

Apabila kami sampai di hadapan rumah dengan 8 biji durian bukit di dalam beg plastik, “Yea yea!” laungnya pada suami dan mengucapkan berkali-kali terima kasih. Saya keluar dari ruang pagar rumah mereka dengan perasan cukup puas. Ya, puas membahagiakan ibu itu malam tersebut.

Tuan khir lain pula kisahnya, anak muda dari Scotland menempah durian untuk memberi kejutan kepada orang tua mereka di Lembah Klang.

Dapat tak bayangkan bagaimana pasangan tua ini menerima hadiah kejutan anak jauh di seberang benua, dan kami pula yang diluahkan perasan terima kasih bersungguh hanya kerana beberapa biji durian.

Gembira bukan?

Rupanya. Saya belajar, bisnes yang mampu bertahan lama dan kalis gawat bukanlah bisnes yang hanya mengira kos untung dan rugi.

Tetapi yang mampu menyelesaikan masalah dan memudahkan urusan orang lain. Apatah lagi jika memberi nilai pada kehidupan manusia yang lain.

2. Jika Masuk Industri Yang Sudah Ada ‘Jerung’, Jangan Lawan Tapi Berkawan.

Pernah di salah satu lokasi pickup durian di Tanah Cameron, ketika kami menyusun dan memilih durian untuk di bawa ke kota besi Kuala Lumpur.

Satu lori berkapisiti 3 tan sudah datang, mereka adalah ‘jerung’ bisnes durian di Kuala Lumpur, mana buah yang cantik kami sudah ambil dia mahu sapu sekali, dengan alasan kuasa membelinya tinggi. Mereka boleh beli dan muatkan lori seberat 3 tan itu, kami ketika itu hanya menaiki Hilux dengan kapisiti 800kg sahaja.

Ikut perasaan seperti mahu bertumbuk sahaja di lokasi, tetapi Tuan Khir Ariffin, guru saya dalam trading pandai mengurut ego ‘jerung’. Layankan bercakap, belanja minum dan sepinggan mee goreng. Cuba berkawan-kawan.

“Berapa lagi kau tak cukup ” katanya selepas dijinakan dengan ‘bilis’.

“Lagi 300 kg je bang,” jawab tim kami.

“Hmm, korang penuhkanlah dulu Hilux engkau,” jawabnya ringkas sambil menghirup teh ais sebagai modal berkawan-kawan tadi.

Tim kami senyum turun dari Cameron sampai ke kota besi Kuala Lumpur.

3. Logistik. Jangan Pandang Remeh Pada Setiap Saat, Komunikasi, Rekod, Rekod & Rekod.

“Ok kak, kejap je lagi ni. Dalam jam 9 malam saya sampai.”

Jawab saya pada panggilan seorang pembeli, saya memberi anggaran jam berapa saya bakal tiba dari beberapa check point delivery.

Sangkaan saya meleset, setiap lokasi penghantaran, kami menunggu pembeli dengan anggaran 10 – 20 minit, bayangkan setiap check point kelewatan 10 – 15 minit. Jika ada 6 check point.

60 – 80 minit pembeli terakhir terpaksa menunggu kami. Elok-elok mereka tidak sabar sabar menunggu durian, tapi bila janji jam 9 sampai jam 11. Kami pulak dia lihat macam durian, pandangan macam mahu diterkam kami. Takut woihh.

Selepas 2 hari kami belajar, jangan berjanji. Rekodkan lokasi delivery dan susun routes dan elakan melalui jalan jammed pada lokasi-lokasi awal. Hanya memaklumkan kepada pembeli hanya apabila sudah sah 15 minit ETA ke kawasan penghantaran.

Barulah pembeli menerima durian lebar senyumnya tidak menunggu lama.

Apa-apa bisnes pun, rekod adalah kunci utama, biarpun hanya kertas kosong.

4. Jangan Tamak, Jika Kita ‘Bilis’, Berkerjasamalah Dengan ‘Bilis’ Yang Lain.

Muaz Aziz bersama pelanggan beliau.
Muaz Aziz dengan pelanggan beliau.

Pada trip pertama dan kedua saya sendiri ke Cameron setiap pagi, untuk mengambil bekalan. Kami sangkakan hanya kos tol dan minyak yang tak seberapa. Rupanya kami rugi banyak benda walaupun margin untung lebih besar.

Team kami berpakat, untuk pergi dengan satu kenderaan yang boleh muat sekurang-kurangnya 1.5 tan, kumpul tempahan dan berikan sedikit margin kepada team yang mengambil bekalan dan penghantaran ke lokasi pengagihan.

Marginnya mungkin tidak setebal jika pergi sendiri, tetapi saya lebih banyak masa menguruskan hal lain dan tidak perlu penat-penat naik turun Cameron hari-hari.

Orang kampung saya panggil “outsource” sahaja, atau “delegate” tugasan biar semua dapat merasa dan sama-sama dapat menyinsing lengan mejayakan projek ini.

5. Setiap Industri Ada Peluang Jadi Jutawan.

Dulu bila lihat orang berniaga pasar malam, jual barang basah naik lori, jual beli ikan segar, saya sangkakan kerja mereka hanyalah untuk menyara anak bini. Cukup-cukup makan anak beranak.

Apatah lagi apabila saya mahu bergraduasi pada 2011 yang lepas. Saya mengimpikan kerjaya saya dalam pejabat yang luas, ada jawatan supaya kehidupan saya terjamin.

Apabila saya bergelumang dengan mereka-mereka ini, terutamanya dalam 7 hari ini, setiap lori keluar masuk, setiap tempahan yang mereka keluarkan, dalam kepala saya ligat mengira kos untung dan jualan mereka.

WOW. Tidak mustahil, sebab saya pernah berurusan dengan seorang penjual ayam segar di pasar borong ketika mengambil listing beberapa bulan lepas mempunyai lebih 28 unit rumah. Jawabnya ringkas, “Abang tak ada skim pencen, inilah jadi duit pencen abang nanti.”

Jangan pandang rendah kerjaya orang lain, setiap apa yang kita ceburi pasti ada lubuk emasnya yang tersendiri. Percaya dengan rezeki Allah dan jangan putus memberi!

Untuk minggu ini saya sudah mula aktif kembali dengan tugasan hakiki saya, di samping menyusun SOP yang lebih tersusun untuk trading durian ini.

Saya sebagai perunding hartanah dan kewangan mungkin ada lubuk emas untuk saya, begitu juga dengan rakan-rakan. InsyaAllah.