Kematian tragis George Floyd di Amerika Syarikat semakin bergema di seluruh dunia. Ini dibuktikan dengan banyak kecaman masyarakat terhadap tragedi di sebalik kematian golongan Afrika-Amerika.

Perbezaan kaum, etnik, agama dan sebagainya sering menjadi tembok perisai golongan majoriti untuk terus menekan golongan minoriti. Namun, perbezaan ini bukanlah tiket untuk golongan majoriti membunuh atau menidakkan hak kumpulan kecil.

Seorang dai terkenal dari Indonesia, KH Abdullah Gymnastiar atau lebih dikenali sebagai Aa Gym pada hari Rabu 3 Jun yang lalu telah memuat naik video di mana seorang lelaki bukan Islam menceritakan kekagumannya terhadap cara Nabi Muhammad menangani isu perkauman.

Di dalam satu video yang dimuat naik di laman Instagram @aagym, lelaki bukan islam itu menjelaskan Nabi Muhammad SAW adalah orang pertama dalam sejarah kemanusiaan yang menyatakan dengan tegas bahawa tidak ada kaum yang berada di atas kaum yang lain.

Nabi Muhammad SAW mengajar tentang persamaan kaum dan memperjuangkan keadilan untuk semua. Lelaki itu kemudiannya merujuk salah satu khutbah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW di bukit Arafat pada tahun 632 M, isinya adalah semua manusia berasal dari Adam dan Hawa.

Orang Arab tidak mempunyai kelebihan ke atas orang bukan Arab. Dan orang bukan Arab juga tidak mempunyai kelebihan ke atas orang Arab. Orang kulit putih juga tidak mempunyai kelebihan ke atas orang kulit hitam. Begitu juga, orang kulit hitam tidak mempunyai kelebihan ke atas orang berkulit putih. Semuanya sama kecuali dengan ketakwaan dan perbuatan baik.

“Rasulullah SAW sangat menentang rasisme, di mana pada zamannya dia mempromosikan anti-rasisme, yang tentunya berbeza dengan fahaman non-rasisme. Di mana perbezaannya? Apabila orang yang anti-rasisme tidak menyuarakan pandangannya secara terbuka, ini ditafsirkan bahawa dia tidak berusaha untuk menghilangkan apa sahaja bentuk perkauman yang berada dalam komunitinya, ” kata lelaki itu dalam rakaman video.

Secara tidak langsung, aksi anti-rasisme, katanya, hanya berpegang pada prinsip individu dan itu tidak akan dapat mengubah budaya perkauman yang telah wujud di dalam lingkungan masyarakatnya.

Di dalam kempen anti-rasisme, pada zamannya, Rasulullah sangat aktif menentang dan membongkar semua bentuk perkauman, baik yang dilakukan secara tersembunyi ataupun terbuka. Rasulullah menganggap perkauman adalah sumber kepada kesombongan yang ada dalam diri manusia.

“Dalam keadaan dunia yang semakin beragam dan saling berkaitan, sangat penting bagi kita untuk mengikuti ajaran Nabi Muhammad. Saya sendiri bukan seorang Muslim, tetapi saya sangat terinspirasi oleh idea-idea anti-rasisme Nabi Muhammad kerana dia menunjukkan bahawa seseorang itu dibezakan daripada orang lain bukan berdasarkan bangsa atau etnik, tetapi dari kualiti watak dan tingkah laku seseorang,” kata lelaki itu di akhir video.

Untuk bacaan lanjut mengenai protes anti-perkauman yang berlaku di Amerika Syarikat, klik pautan di bawah.

Ibarat Filem The Purge, Minnesota Kini Tidak Terkawal Dan Bertukar ‘Medan Perang’ Kerana George Floyd

Dakwa Kematian George Floyd Ada Kaitan Dengan Freemason, Ini ‘Bukti’ Yang Dibongkarkan Netizen

Rakyat Malaysia Turun Padang, Bantu Bersihkan Kota Minneapolis Selepas Protes George Floyd