Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Seorang transgender berusia 42 tahun bernama Mira telah dibakar hidup-hidup pada Sabtu (4 April) lalu di Cilincing, Jakarta Utara oleh sekumpulan samseng yang menuduhnya mencuri.

Menurut kawan mangsa dan aktivis transgender di Yayasan Srikandi Sejat, Yuni Irawan menyatakan bahawa Mira dibunuh selepas seorang pemandu lori menuduh beliau mencuri dompet dan telefon bimbit milik si pemandu lori tersebut. Yuni yang bertanggungjawab menceritakan kronologi kejadian tersebut menambah bahawa pemandu lori tersebut telah mengeledah rumah Mira.

Disebabkan tidak menjumpai apa-apa bukti yang menunjukkan Mira bertanggungjawab, pemandu lori kemudian beransur pergi. Namun selang beberapa jam, datang sekumpulan samseng mendekati Mira. Yuni dalam temubual bersama Kompas menyatakan bahawa dia yakin bahawa sekumpulan samseng tersebut adalah orang suruhan pemandu lori tadi.

“Apabila pemandu lori pulang, beliau mungkin telah memberitahu sekumpulan samseng untuk membawa Mira. Para samseng datang dan mengambil Mira. Lima orang. Kerana Mira tidak mahu ikut. Dia dibawa secara paksa,” kata Yuni seperti yang dilaporkan oleh Kompas.

Melalui kenyataan yang dibuat oleh Orin, kawan kepada Mira yang bersama saat kejadian berlaku, terdapat tujuh orang samseng yang bersama dengan Mira. Mereka memukul Mira dan mendesak beliau agar mengaku, namun Mira tetap menafikan bahawa dia mencuri dompet atau telefon bimbit pemandu lori tersebut.

“Masih [Mira] tidak mahu mengaku setelah dipukul oleh tujuh orang samseng,” tambah Yuni kepada Tribunnews.

Menurut Orin, samseng ini sebenarnya bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak rasmi di kawasan setempat. Setelah pukulan tidak berjaya membuatkan Mira mengaku, mereka mula mengancam untuk membakar Mira.

“[Salah seorang] bertanya kepada Mira, ‘Adakah kau mahu mengaku atau tidak? Sekiranya tidak, aku bakar kau,” kata Orin kepada The Jakarta Post.

Mereka kemudiannya menyiram dua liter diesel dan petrol ke tubuh badan Mira dan menyalakan api. Dalam keadaan terbakar, Mira sempat melarikan diri, dia kemudian dibawa oleh masyarakat setempat ke Hospital Daerah di Jakarta Utara. Mira meninggal dunia pada keesokan harinya, Ahad (5 April) pada jam 12 tengah hari.

Semalam, Detik melaporkan bahawa pihak polis sudah berjaya menangkap beberapa suspek yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut. “Sudah ada suspek yang ditangkap,” kata Kasat Reskrim Jakarta Utara Polis Metro Kompol Wirdhanto Hadicaksono.

Namun pihak polis tidak memberi maklumat terperinci seperti berapa ramai suspek yang telah ditangkap. Melalui kenyataan media Institut Keilmuan dan Institut Hak Asasi Manusia Sandya, dari lima orang yang bertanggungjawab membakar Mira, hanya dua orang sahaja yang ditangkap.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama kejadian ini berlaku di Indonesia. Menurut laporan dari Institusi Arus Pelangi, sejak 2006-2018 terdapat lebih 1,850 kes kekejaman terhadap kumpulan LGBT yang gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Untuk bacaan lanjut mengenai situasi LGBT di Malaysia dan Indonesia, sila klik pautan di bawah.

Kerajaan Indonesia Siasat Cubaan Kembangkan Dakyah LGBT Di Sebuah Vila Terkenal

Sambutan Hari Wanita Sedunia Jadi Medan LGBT ‘Tunjuk Perasaan’?

Lagu Akhir Zaman Bunkface Dikecam Kerana Bantah LGBT

Anda Mungkin Suka