Kami berkesempatan untuk menemubual Tuan Mohd Faiz, seorang usahawan import tentang cerita travel beliau ke 7 buah negara. Beliau bercuti bersama 2 orang sahabat. Negara-negara yang mereka lawati termasuklah Qatar, Turki, Bulgaria, Albania, Macedonia, Montenegro dan Bosnia.

Tidak ramai umat Islam suka bercuti ketika bulan puasa. Dalam lubuk hati tertanya, mungkin ada misi 3 anak muda ini mahu penuhi sehingga sanggup penat lelah ber-bagpacking ketika perut lapar dan tekak dahaga.

Ternyata telahan saya benar. Apabila ditanya tentang misi bercuti, ini 3 jawapan yang diberikan.

1. Menyantuni umat Islam di negara-negara Balkan.

2. Mengkaji dan melihat sendiri sejarah dan negara-negara yang pernah bernaung di bawah sejarah kerajaan Turki Uthmaniah.

3. Merasa puasa pada musim panas di negara asing, dalam jangkamasa 18 hingga 19 jam sehari.

Mengikut Mohd Faiz lagi, disebabkan malam yang pendek, lebih mudah untuk mendapat malam Lailatul Qadr. Selepas berbuka puasa hanya ada beberapa jam sebelum siang semula, dan cuma pada ketika itu sahaja ada masa untuk berehat sebentar. Selepas terawih, terus sahur. Dan hanya selepas subuh, baru mereka dapat melelapkan mata untuk tidur.

Mohd Faiz juga berkongsiĀ 10 tip kembara jimat gaya beliau:

1. Baca dan ambil tahu

Sebelum mengembara ke mana-mana negara WAJIBkan diri anda untuk mencari maklumat tentang sesuatu negara yang anda bakal lawati itu. Boleh guna Google, membaca daripada blog, bertanya kawan yang suka travel atau beli peta sendiri. Jika pergi dengan ILMU, insyaAllah kembara anda akan jadi lebih bermakna. Ilmu sudah ada, hanya tinggal mahu selarikan ia dengan pengalaman sebenar sahaja. Rancang roadmap yang akan anda lalui dahulu.

2. Lagi Seronok Dan Jimat

Beli tiket penerbangan seawal 3 ke 6 bulan. Pilih penerbangan yang transitnya lama. Anda boleh jalan-jalan dulu. Contoh: Naik penerbangan Emirates, transit di Dubai, tempoh transit 15 jam. Maka setibanya di Dubai dan sebelum anda menunggu penerbangan seterusnya, gunakan peluang ini untuk berjalan di sekitar Dubai dahulu. Jimat penginapan, jimat masa. Periksa masa juga, untuk mengelakkan sampai pada waktu malam.

Nota: Tiket penerbangan saya ke Istanbul berharga RM2300. Kena selalu periksa, boleh dapat lebih murah daripada harga ini. Biasanya Turkish Airlines murah.

3. Kebiasaannya

Apabila melawati negara yang nilai matawangnya lebih tinggi, kita akan lebih banyak berjalan daripada membeli-belah.

4. Duit kecil

Ketika menukar duit di pengurup wang, mintak juga duit kecil atau duit syiling. Ianya sangat membantu untuk kegunaan kecil seperti membeli makanan dan air.

Di lapangan terbang Istanbul, anda memerlukan wang syiling 1TL (turki lira) atau syiling Euro untuk anda gunakan troli di lapangan terbang.

5. Penginapan

Jangan menyewa hotel, mahal. Anda boleh tempah hostel atau guest house. Buat kajian terlebih dahulu sebelum tempah. Aplikasi Booking.com, Couch Surfing dan Airbnb sangat membantu.

Tip: Cari yang 10 Euro ke bawah untuk semalam.

6. Perjalanan

Gunakan waktu malam untuk merentas negara lain. Tidur sahaja dalam bas, jimat masa, duit sewa hostel dan guest house. Secara purata tempoh perjalanan menggunakan bas adalah 8 hingga 13 jam untuk meredah sesuatu negara. Kalau tidak tahan lama seperti pening dan sebagainya, makan ubat tahan muntah.

Nota: Bas-bas di Eropah bagus – ada wifi, tempat makan dan tandas. Sangat selesa untuk travel jauh.

7. Makan

Kembara kami amat beruntung kerana travel pada bulan puasa. Makan hanya 1 kali sehari. Separuh daripada iftar kami, kami makan di masjid di negara-negara yang kami lawati. Bukan sekadar untuk makan tetapi tujuan kami adalah untuk mengenal komuniti Muslim dengan lebih dekat. Jika anda datang pada bulan biasa pun tidak mengapa, cari dan rasalah makanan rasmi tempatan. Bawa serunding dan sambal, jangan bawa botol kicap pula!

Nota: Belajar, baca dan kena tahu juga senarai bahan yang halal dan yang haram dimakan (bagi Muslim).

8. Beri tugasan

Dalam setiap musafir itu jika pergi berdua dan lebih maka lantiklah seorang ketua. Konflik, perbincangan dan pertikaian kecil CONFIRM ada. Beri tugasan kepada setiap ahli tim, bendahari, AJK makanan dan lain-lain.

Saya lebih suka jalan bertiga atau berempat. Mudah & Mobile.

9. Pakaian

Bawa pakaian yang ringan, mudah kering dan tidak leceh. Pakaian baju berkain jersey atau micro fibre sangat digalakkan. Macam sekarang, pakai baju outdoor boleh mandi sungai, sampai stesen bas sudah kering. Bawa 3 ke 4 helai sudah mencukupi. 3 t-shirt dan 1 pakaian “rasmi” .

Tuala pun ada yang cepat kering dan ringan, boleh cari di kedai travellers (dalam RM50).

Nota: Pakaian rasmi ini mungkin untuk digunakan semasa jumpa orang atau sebagainya.

10. Kasut sukan

Jangan nak diva sangat semasa bagpacking. Pakai kasut berlari. Biar mahal sedikit sebab kaki anda akan bekerja luar biasa. Baju murah tidak mengapa tetapi untuk kasut, beli yang ORIGINAL.

Kalau kasut tidak sesuai, kaki boleh rosak untuk tampung berat badan dan berat beg yang digalas.

Dan beliau juga kongsikan nota mendapatkan lebih banyak negara:

1. Travel ke beberapa destinasi dengan 1 pembelian, cari yang ada transit.

Contoh:

Destinasi utama: Perancis
Destinasi transit diingini: Turki

2. Cari penerbangan yang negara asalnya merupakan negara transit yang anda ingini.

Contoh: Kerana anda mahu transit di Turki, cari penerbangan yang berasal dari Turki, iaitu Turkish Airline.

Contoh 2: Mahu transit di Dubai, ambil Emirates Airlines.

Contoh 3: Mahu berhenti di Jordan, ambil Royal Jordanian.

Kami mengucapkan terima kasih kepada Tuan Mohd Faiz atas kesudian ditemubual dan juga di atas nota travel yang berguna.

BACA: Pelajar Malaysia Kongsi Pengalaman Berpuasa 20 Jam Sehari Di Perantauan

BACA Lagi: Pengalaman Di Kiev Sewaktu Tragedi MH17 Mendorong Lelaki Ini Travel Via Trans-Siberian

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram