Jika anda hendak menikmati suasana ‘kota’ Belanda hujung abad ke-19, silalah berwisata ke Kota Lama Semarang. Di sini masih terdapat puluhan bangunan era kolonial Belanda untuk dijadikan santapan mata.

Salah sebuah bangunan tinggalan Belanda

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kota Lama ini dibina sekitar akhir abad ke-19 dan berbenteng untuk mengelak ancaman luar. Benteng yang dinamakan Vijhoek ini mempunyai 3 buah pintu yang dihubungkan oleh laluan utama, Heeren Straat atau kini lebih dikenali dengan nama Jalan Let Jen Soeprapto.

Apakah yang boleh ditemui di Kota Lama ini? Berikut adalah antara binaan yang menarik di sana.

1. Pabrik Rokok Praoe Lajar

Kalau disebut Gudang Garam dan Sampoerna, tentu sahaja ramai yang tahu tetapi di Kota Lama Semarang ini terdapat sebuah kilang rokok yang sudah terbina sejak zaman pendudukan Belanda lagi.

Praoe Lajar diangkat sebagai jenama ‘indie‘ kerana bukan sahaja perusahaan ini bertahan begitu lama malah kita tidak akan ketemu sebarang bentuk pengiklanan jenama Praoe Lajar ini. Pasaran rokok Praoe Lajar lebih kepada golongan marhaen dan merangkumi kawasan Semarang hinggalah ke Tegal.

2. Stasiun Kereta Api Tawang

Stesen keretapi ini juga dibina di zaman pendudukan Belanda. Ianya dibina oleh Nederlandsche Indische Spoorweg Maatschsrij di antara 10 Jun 1864 dan 18 Februari 1870. Stesen ini masih digunakan dan merupakan stesen kereta api utama Semarang.

3. PT Pelni

Asalnya bangunan ini menempatkan kompeni NV Bouwmaatschapij iaitu sebuah syarikat logistik yang menguruskan perihal muatan kapal. Ianya terletak di tepi sungai kerana waktu itu kapal besar mampu mudik ke hulu sungai dari laut lepas.

4. Gereja Blenduk

Selain Lawang Sewu, Gereja Blenduk adalah mercu tanda atau landmark Bandar Semarang. Gereja yang berusia 200 tahun ini dinamakan Blenduk sempena panggilan Bahasa Jawa untuk kubah.

5. Gedung Perkebunan XV

Bangunan ini dibangunkan oleh NV Cultuur Maatschapipij Der Vorstenlanden yang menjaga hal ehwal pertanian kolonial Belanda. Di bawah jabatan ini, sistem cultuurstelsel atau sistem tanaman paksa yang amat kejam diwajibkan ke atas jajahan VOC.

Gedung Marba

Banyak lagi bangunan bersejarah di Kota Lama seperti Gedung Oudetrap, Jembatan Mberok (De Zuider Por), Susteran Ordo Fransiskan dan lain-lain lagi.

Aku sempat melawat Gedung Oudetrap yang kini dijadikan galeri seni. Setup galeri ini terasa bagaikan mengunjungi galeri ternama di Eropah.

Di tepi Galeri Oudetrap ini ada gerai-gerai yang menjual barang-barang lama yang dinamakan Pasar Seni Padangrani atau nama penuhnya Paguyuban Pedagang Barang Seni . Bukan sahaja pelbagai kraftangan dan hasil seni ‘terpakai’ dijual di sini, pasar ini juga lebih kelihatan bak Pasar Karat di Pekan Lama Ipoh.

Penulis dan pasar karat
Si penjual yang amat handal dalam sejarah militer Indonesia

Aku sempat menyambar sebuah buku lama yang menceritakan tentang perjuangan rakyat Semarang menentang pendudukan Jepun, yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Lima Hari Semarang.

Kepada mereka yang berminat dengan sejarah kolonial Belanda di Indonesia, Kota Lama Semarang adalah destinasi yang wajib dilawati. Sesungguhnya bagiku, Kota Lama Semarang ini setanding dengan Kota Tua Jakarta, malah mungkin lebih lagi!