Saya inginkan kongsikan sedikit sebanyak mengenai perjalanan hampir 6000km saya selama 23 hari di India pada Dec 2015 -Jan 2016 baru ini.

Ia bermula dari Thirucirappali – Kochi – Goa – Hyderabad – Mumbai – Jaipur – New Delhi – Agra – Varanasi dan berakhir di Kolkata.

bercuti-di-india-1

bercuti-di-india-3

Banyak yang saya belajar dari trip kali ini. Bermula dengan cara membuat visa ke India, tersalah isi detail ketika check in kapal terbang, apa yang patut dan tidak patut di bawa ketika travel jangkamasa panjang, komunikasi dengan penduduk tempatan, budaya masyarakat yang berbeza, booking hotel di India, reserved tiket keretapi, reserved tiket bas dan yang paling penting aku belajar betapa pentingnya mensyukuri nikmat hidup.

Banyak cerita-cerita negatif yang saya dengar pasal India sebelum ke sana. Kes tipu, rompak, rogol, bom, ludah kencing merata, makanan kotor belum lagi dengan sumber air yang kotor.

Kamon guys. Itukan negara mereka, kita kenalah respect budaya mereka. Biarlah mereka nak buang sampah meludah kencing etc tu. Kalau tak suka jangan la ikut.

Sanggup aku pegang sampah atau simpan dalam poket berkilometer sampai la jumpa tong sampah sebab aku cuba jadi diri aku walaupun kalau diikutkan di sini memang susah nak cari tong sampah.

Bab makan dan minum saya memang tak ada masalah, kalau dia uli doh tepung roti nan tu pakai kaki sekali pun saya telan je. Hey, tahukah anda makan di tepi-tepi jalan itu lagi sedap dari makan di restoran mewah.

Alhamdulillah sampai ke sudah saya tiada masalah cirit birit dan sebagainya walaupun saya tiada mengambil suntikan atau ubatan sebelum ke India.

Kalau bab perangai manusia menipu, kurang ajar dan lain-lain tu mana-mana negara pun ada. Malaysia pun tak terkecuali. Lumrah manusia yang dijadikan dengan pelbagai ragam yang berbeza.

Buka mata dan pandang lah dengan mata hati yang tanpa prasangka, InshaAllah kau akan nampak orang baik-baik itu masih ramai juga sebenarnya.

Cubalah selami budaya hidup di India ini. Terlalu banyak perkara boleh dipelajari di sini. Jika tidak masakan orang-orang Eropah kata jika mahu melihat dunia, lihatlah India.

Ada padang pasir, pantai, hutan, taman bunga, gunung, salji, panas matahari, laut. Dari tempat dalam sekotor cerita Slumdog millionaire (Daravi) ke tempat yang secantik dalam cerita Bajrangi Bhaijaan (Sultanpur).

bercuti-di-india-4

bercuti-di-india-16

bercuti-di-india-17

bercuti-di-india-18

bercuti-di-india-19

bercuti-di-india-6

bercuti-di-india-7

bercuti-di-india-2

Di sini saya kongsikan sedikit tips (lebih kepada catatan personal saya) dan gambar dari India di sepanjang perjalanan saya:

Tips booking hotel di India

Kerap kali terjadi dalam trip kali ini di mana hotel yang kami telah booked dari website booking.com tiada dalam sistem hotel.

Setelah beberapa kali terjadi rupanya masalah ini berpunca dari website Oyo. Kebanyakan hotel (tak semua) di India menggunakan platform Oyo sebagai medium untuk mendaftar masuk hotel secara online. Dan Oyo ni akan disambungkan pula dengan website booking.com. Jika kita book hotel menggunakan sambungan dari booking.com ini lah punca masalahnya. Platform booking.com kerap kali gagal bersambung dengan platform Oyo. Solusinya, book terus menggunakan website Oyo atau walkin sahaja.

Tips untuk sewa motor ketika melancong

Mula-mula, Pergi terus ke tempat sewa motor dan deal harga yang kamu rasakan berpatutan.

Kemudian, check kondisi motor betul-betul. Pastikan motor itu selamat dan selesa digunakan. Check brek, lampu isyarat, lampu depan dan belakang berfungsi atau tidak.

Ambil gambar motor yang hendak di sewa dari pelbagai posisi terutama sekali di bahagian-bahagian yang terdapat kerosakan macam calar, kemek atau pecah.

Pastikan yang tuan punya motor tahu yang anda ada mengambil gambar kondisi motor tersebut supaya mereka tidak akan salahkan anda di atas kerosakan yang memang telah sedia ada pada motosikal tersebut.

Kebiasaannya tuan punya motor akan minta bakal penyewa untuk menunjukkan lesen memandu dan pengenalan diri (Kad pengenalan atau passport).

Jangan terkejut jika tuan punya motor minta passport anda untuk simpanan dia sebab bimbang anda bawa lari motosikal dia. Perkara ni memang biasa berlaku di mana-mana negara. Risiko?! Yep memang berisiko apa nak buat kan? Tapi aku pernah je bagi tuan punya motor simpan lesen memandu aku yang dah expired sebab aku lupa bawa passport.

Minyak. Bagi mengelakkan situasi korang kena menolak motor di tepi jalan, sila pastikan minyak motor yang disediakan oleh tuan punya motor mencukupi untuk sampai ke stesen minyak. Biasanya mereka bagi motosikal dengan minyak yang terlalu sedikit.

Lepas semua dah ok. Apa lagi! Enjoy your ride!

Kes aku kat India ni rare sikit. Dia tengok aku macam tak reti bawa motor. Lagi-lagi dengan keadaan trafik di India yang super jem ni. Lesen dah tunjuk. Passport dah bagi pun dia was was lagi. Mujur aku ada album dalam FB yang menunjukkan aku selalu travel keliling Malaysia dan Thailand naik motor. Siap tunjuk video youtube lagi. Baru dia nak percaya.

Tu pun masih banyak kata-kata nasihat yang dia bagi:

“Go slow brader”
“Don’t forget to use signal”
“Use your side mirror”
“If damage happen you pay for it!”

Hajat di hati nak sewa Royal Einfield (ramai mat saleh naik ni), apakan daya kedai tu tak de motor tu. Nak pergi cari kat kedai lain jauh. Huhu.

Baca: Travel Ke India, Jawapan Gadis Ini Mengubah Persepsi Wanita Di Sana Pada Gadis Muslim

bercuti-di-india-8

bercuti-di-india-10

bercuti-di-india-11

bercuti-di-india-12

bercuti-di-india-13

bercuti-di-india-14

bercuti-di-india-15

Tips kenderaan awam di India

Jam-jam terakhir di Delhi

Keretapi ke Agra yang di sepatutnya tiba pada jam 5.30 petang telah dijadualkan semula ke jam 6.50 petang memberikan aku sedikit ruang untuk menulis tentang jenis-jenis pengangkutan awam yang boleh dinaiki di Delhi.

Bandar Delhi ialah ibu negara kepada negara India dan secara automatiknya menjadi bandar nombor satu di India. Bandarnya agak besar kira-kira tiga kali ganda dari Bandar Kuala Lumpur.

Terdapat beberapa medium pengangkutan awam yang boleh digunakan di sini. Pengangkutan awam yang paling utama ialah metro atau keretapi bawah tanah. Anda boleh beli tiket semasa, ertinya bayar ikut jarak dari stesen anda ke destinasi anda sahaja. Atau sebagai pelancong anda boleh menjimatkan duit dan masa (nak beratur beli tiket hari-hari di India penat wei) dengan membeli travel card. Rs 150 untuk sehari atau Rs 300 untuk 3 hari. Ada lebih kuruang 6 jaringan metro di Delhi menandakan liputannya yang meluas.

Selain itu anda juga boleh mencuba naik teksi. Untuk anggaran harga, anda boleh cuba gunakan aplikasi google maps. Dari situ anda boleh tetapkan destinasi anda dan akan keluar anggaran harga bagi perkhidmatan Uber. Memandangkan telefon kami hanya memiliki data plan tanpa panggilan suara, kami tidak dapat menggunakan aplikasi uber sepenuhnya. So kami jadikan harga untuk perkhidmatan uber sebagai penanda aras harga teksi.

Pengangkutan awam yang terbanyak dan mudah untuk di dapati di Delhi semestinya Auto tiga rodanya. Agak kecil dan mudah untuk mencelah ketika trafik sesak. Pilihan utama kami ketika di Delhi. Jika bernasib baik, kita boleh dapatkan auto yang menggunakan meter sebagai penanda aras harganya. Jika tidak kita perlu berunding bersama pemandu mengenai harganya terlebih dahulu. Runding betul-betul, kalau tak silap-silap boleh bertumbuk di kemudian hari. Harganya boleh lah di katakan rendah sedikit atau sama sahaja dengan teksi.

Ada juga auto yang dijadikan macam bas mini. Kenderaan ini akan ambil penumpang lain sekali disepanjang laluannya menjadikannya sedikit rimas untuk di naiki. Harganya mungkin jauh lebih rendah dari auto sebab aku nampak penumpang lain bayar dengan duit syiling sahaja. Tapi memandangkan kami ni orang luar harga minimum yang selalu kami dapat sekitar Rs 100 untuk dua orang kira-kira Rm 3.50 seorang. Murah la kan?

Yang terakhir, kenderaan jenis beca. Biasanya ada terdapat di lorong-lorong yang agak sempit dan banyak kedai. Tapi kami tidak pernah mencuba menaiki kenderaan ini sebab kasihankan pemandunya yang terpaksa mengayuh basikal membawa beban seberat kami berdua. Harganya pasti jauh lebih murah berbanding pengangkutan awam lain. Dengarnya kita boleh naik dengan serendah Rs 10 sahaja iaitu kira-kira 70 sen duit Malaysia.

Kami tidak mencuba langsung perkhidmatan bas awam ketika di Delhi kerana kesukaran untuk mendapatkannya. Mungkin kami yang tidak tahu di mana lokasi perhentian bas yang sebenarnya.

Selamat mencuba

Cara-cara nak cari seat anda dalam keretapi di India

Mula-mula tengok nombor train sama tak dengan tiket
Lepas tu cari gerabak mana yang kau patut naik.
Dah masuk gerabak yang betul baru la cari lokasi seat.

Prepare pengenalan diri siap-siap. Nanti ada orang datang check tiket. Dalam tiket tu ada nama kita. Kalau nama dalam kad pengenalan diri/passport tak sama dengan nama dalam tiket, tiket tu tak valid. So make sure check betul-betul detail dalam tiket masa di kaunter bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

Baca: 5 Tahun Di India, Lelaki Ini Menulis 14 Tip Untuk Anda Yang Mahu Ke Sana

bercuti-di-india-9

bercuti-di-india-20

bercuti-di-india-21

bercuti-di-india-22

bercuti-di-india-23

bercuti-di-india-24

bercuti-di-india-26

bercuti-di-india-28

bercuti-di-india-29

bercuti-di-india-30

Sekarang kami di dalam train menuju ke Kolkata dari Varanasi. Kami mengambil tiket sleeper kelas termurah yang tiga tingkat tanpa penghawa dingin tu. Harganya cuma rs 460 seorang. Ini harga untuk tiket ‘Tatkal’ atau ‘kecemasan’ bila di melayukan.

Tiket Tatkal ialah tiket yang harganya sedikit mahal jika dibandingkan dengan harga asal kerana ia dibeli lewat kira-kira sehari sebelum berlepas.

Menurut pembacaan aku di internet dan blog, tiket keretapi di India agak sukar diperolehi kerana rakyatnya yang terlalu ramai. Alhamdulillah setakat ini kami langsung tiada masalah untuk mendapatkan tiket.

Selaku pelancong, anda boleh dapatkan tiket keretapi anda di kaunter khas untuk pelancong atau lebih dikenali sebagai “Tourist bureau office”. Kebiasaanya stesen keretapi yang besar akan ada kaunter ni. Kadang-kadang memang ada kuota tiket keretapi untuk pelancong sebab itu baik beli dikaunter khas tu terus.

Errr…menurut tiket agent yang kami sempat berkenalan di Agra. Tiket untuk kelas rendah takkan pernah habis. Dia boleh dapatkan tiket dengan sedikit bayaran ‘undertable’. Tak mahu lah kami terlibat dengan benda-benda begini.

Sedikit tips jika mahu membeli belah di India

Sehari sebelum kau nak membeli tu, kau jalan-jalan window shopping dulu. Aim dulu item mana yang hati kau berkenan.

Lepas tu hadam lokasi kedai betul-betul.
Ah, kan zaman teknologi sekarang. Nak senang save location jer terus.

Ok, langkah seterusnya. Prepare duit untuk range harga yang kau sanggup bayar. Pergi la cucuk duit kat ATM or pinjam member dulu.

Langkah terakhir, tidur awal.
Sebab esok kau kena bangun pagi-pagi dan pergi ke kedai yang ada barang yang kau nak tu. Make sure kau kena jadi pelanggan pertama kedai tu.

Mengikut pemerhatian aku, kepercayaan orang sini penentu rezeki mereka untuk hari itu bergantung kepada pelanggan pertama mereka. Kalau pelanggan pertama membeli barang dari mereka, itu petanda good luck untuk mereka. Kalau tak beli, itu bad luck buat mereka.

Nah! Apa lagi?! Bargain la cukup-cukup. Tapi berpada-pada lah. Jangan la sampai harga tak logik sangat, kesian jugak kat orang meniaga ni.

Disclaimer:
1. Aku bukan kaki shopping
2. Kalau tips ni tak jadi jangan marah
3. Kalau bertumbuk dengan peniaga nanti pun aku tak nak bertanggung jawab

bercuti-di-india-31

bercuti-di-india-32

bercuti-di-india-33

Terima kasih kepada rakan kembara kali ini, banyak yang saya belajar dari dia terutamanya cara nak membuat perancangan secara spontan dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.

Terima kasih juga buat keluarga dan rakan-rakan yang walau jauh beribu batu tetap rasa macam dekat sahaja. Sentiasa ada dengan cerita masing-masing tatkala aku kebosanan dalam perjalanan beratus kilometer di dalam keretapi.

Terima kasih semua.

Ps: Hidup mesti diteruskan kerna perjalanan hidup kita masih belum selesai. Mungkin cara aku melihat hidup akan menjadi sedikit berbeza selepas ini.

Pps: Jika diikutkan hati memang terlalu banyak untuk diperkatakan, namun apakan daya, pagi ini perasaan malas itu lebih dominan berbanding perasaan rajin. Lain hari barangkali.

Baca lagi: 10 Alasan Kenapa Backpacker Mesti Travel Ke India

Artikel di atas disumbangkan oleh Noor Zamri Sudin. Boleh ikuti beliau di sini.
0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤