Saya tertarik untuk medapatkan kisah wanita ini selepas melihat gambar-gambar yang telah dimuat naik oleh beliau ke Facebook sewaktu travel di Peru. Tanpa buang masa mari berkenalan dengan Cik Al Arifah Hassan atau lebih mesra dipanggil Arie.

Arie yang bekerja dalam bidang IT kini sedang dalam fasa career break ini berasal dari Kelatan dan telah 20 tahun menetap di Kuala Lumpur.

Berapa lama di Peru?

Saya berada hampir 20 hari di Peru, termasuk perjalanan pergi dan pulang. Destinasi terakhir saya adalah bandar Cusco yang berada di Banjaran Andes. Saya membuat laluan Kuala Lumpur – Dubai – Sao Paolo (Brazil) – Lima – Cusco yang memakan masa hampir 2 hari penerbangan. Sewaktu balik juga saya buat laluan dan transit yang sama. Saya travel secara solo.

travel-solo-di-peru-1

travel-solo-di-peru-25

travel-solo-di-peru-24

Kenapa Peru? Apa yang menarik hingga Arie sanggup travel solo ke sana?

Saya memang sukakan benua Amerika Selatan. Pada awal 2015 saya sudah travel ke Argentina dan Chile (sambil mendaki gunung Aconcagua, gunung tertinggi di benua Amerika Selatan) dan saya sukakan kelainan pengembaraan di benua ini.

Lagipun di sana ada banjaran Andes, sebuah banjaran gunung sepanjang 7000 km yang merentasi 7 negara Amerika Selatan. Banjaran Andes adalah banjaran gunung terpanjang di dunia.

Selalunya bila travel ke benua Amerika Selatan, traveller akan membuat pengembaraan ke beberapa negara lain lagi seperti Bolivia, Brazil, dll. Tapi kali ini saya hanya ke Peru sahaja memandangkan saya hanya mempunyai masa kurang daripada 3 minggu.

Antara sebab saya menumpukan pengembaraan di Peru sahaja, kerana saya ingin melihat sejarah dan tamadun empayar Inka semasa era pre-Columbian di Amerika Selatan (sebelum kurun ke 15), iaitu sebelum kedatangan dan penjajahan Sepanyol di benua Amerika (Spanish Conquest).

Selain itu saya sudah lama menyimpan hasrat untuk hiking di Classic Inka Trail (Camino Inca), iaitu hiking trail sepanjang 42 km yang bermula di laluan keretapi Km 82 dan berakhir di lokasi ikonik popular dunia, Machu Picchu.

Mahu merasai pengalaman di dalam hutan hujan Amazon juga adalah satu lagi sebab kenapa saya ke Peru. Hutan hujan Amazon di Peru adalah bahagian Amazon yang ke-2 terbesar selepas hutan hujan Amazon di Brazil.

Lain-lain yang menarik di Peru, terdapat banyak tempat-tempat arkeologi, kebudayaan dan sejarah dari empayar Inca dan era-era terdahulu. Sebahagian daripada penduduk kaum asal dan asli di sana (seperti kaum asli Quechua, Aymara, dll) masih mengekalkan kebudayaan, pakaian serta bahasa pertuturan mereka di era moden ini.

Oleh kerana Peru berada di banjaran Andes, lanskap dan pemandangan di perjalanan ke satu-satu tempat juga sangat cantik.

Apakah persediaan yang dibuat oleh Arie sebelum ke Peru. Mungkin dari segi info, bahasa dan keselamatan, scam dll?

Sebagai independent traveller/pengembara bebas, semua perancangan harus dilakukan sendiri. Salah satu persediaan yang harus dilakukan oleh pengembara bebas adalah mencari informasi sebanyak mungkin sebelum ke sesuatu tempat.

Oleh kerana salah satu daripada aktiviti yang ingin saya lakukan di sana adalah hiking di Classic Inca Trail, saya telah mencari informasi dan membuat tempahan slot mendaki/permit mendaki beberapa bulan terlebih awal.

Ini kerana permit untuk hiking di situ sangat terhad jika datang di musim puncak dan segala urusan booking harus dilakukan dengan operator yang berdaftar di sana.

Selain dari itu, lain-lain booking tidak saya lakukan dari Malaysia kerana saya seorang pengembara yang sukakan fleksibiliti bila mengembara.

Saya lebih menumpukan persediaan mencari informasi seperti keadaan cuaca di sana semasa kedatangan saya, kadar tukaran matawang serta anggaran bajet perjalanan saya, jenis-jenis pengangkutan awam yang boleh saya gunakan dan tempat tinggal yang memenuhi bajet saya, pakaian serta peralatan yang bersesuaian yang perlu di bawa, maklumat keselamatan dan scam, serta informasi asas yang lain seperti makanan, bahasa yang di gunakan, agama dll.

Lebih jimat dan murah jika kita berurusan bila berada di sana dari membuat tempahan online dari sini untuk sesetengah urusan. Semua maklumat itu harus di cari dari bacaan dan review di travel forum, blog-blog pengembara bebas, serta testimoni di internet.

Apa perasaan Arie bila pertama kali sampai di Peru?

Perasaan bila pertama kali menjejakkan kaki di Peru agak gementar juga. Walaupun Peru adalah negara yang selamat untuk pengembara, tetapi ada sesetengah negara di benua Amerika Selatan terkenal dengan masalah-masalaj keselamatan serta kadar jenayah yang tinggi.

Tambahan pula, bahasa juga adalah satu masalah kerana tidak ramai yang boleh bercakap dan memahami bahasa Inggeris kecuali orang-orang yang terlibat dalam industri pelancongan. Bahasa utama mereka adalah Spanyol, bahasa asli Quechua, Portugis, serta bahasa lain seperti German. English tidak popular di sini.

travel-solo-di-peru-26

travel-solo-di-peru-27

travel-solo-di-peru-29

travel-solo-di-peru-30

travel-solo-di-peru-31

travel-solo-di-peru-32

travel-solo-di-peru-33

travel-solo-di-peru-8

travel-solo-di-peru-9

travel-solo-di-peru-10

Apa aktiviti Arie sepanjang di Peru. Jika boleh kongsikan sikit.

Antara aktiviti saya di sana adalah hiking di Inca Trail ke Machu Picchu selama 4 hari. Trail yang dikenali juga sebagai Classic Inka Trail (Camino Inca) ini adalah hiking trail sepanjang 42km yang bermula di laluan keretapi Km-82 dan berakhir di iconic popular dunia, Machu Picchu.

Trail ini berada hampir 82 km dari bandar Cusco. Ia berada di banjaran Andes dan dikelilingi hutan-hutan tebal, hutan awan (cloud forest), dan hutan alpine tundra dengan permandangan yang cantik.

Sepanjang laluan ini juga terdapat beberapa peninggalan (ruins) dan terowong semulajadi dari empayar Inca. Semasa empayar Inca, mereka membina rangkaian pengangkutan untuk menghubungkan ke seluruh empayar mereka.

Mereka menggunakan ‘chasqui’ (runners) untuk menghantar pesanan ke seluruh empayar. Sementara llamas and alpacas pula digunakan untuk mengangkut barangan.

Trail Inca ini berakhir di Machu Picchu di mana saya berpeluang melihat Machu Picchu dari atas di Sun Gate di gunung Machu Piccu serta melawat keseluruhan kawasan Machu Picchu.

Selain dari itu saya juga ada melawat tempat-tempat arkeologi di Cusco, juga pengalaman memasuki basin Amazon & ‘cloud forest’ serta berada di hutan hujan Amazon selama beberapa hari, hiking dan melihat kepelbagaian spesis pokok, flora, fauna, serangga yang berbeza dari hutan di Malaysia dan Asia Tenggara yang lain.

Saya juga melakukan aktiviti hiking ke Rainbow Mountain yang berketinggian 5000 meter. Rainbow Mountain yang dikenali dengan nama tempatan Vinicunca dianggap sebagai tempat suci bagi orang asli Quechua di sini.

Gunungnya yang berbelang-belang seakan pelangi terbentuk dari proses geology luluhawa dan mineralogi. Sepanjang perjalanan ke pintu masuk gunung ini saya dihidangkan dengan permandangan yang sangat indah, merentasi bukit bukau dan melalui kawasan perkampungan asli serta kawasan padang ragut bagi alpaca.

Ada juga hari saya tidak melakukan apa-apa aktiviti. Cuma berjalan-jalan, melihat dan memerhatikan aktiviti dan kehidupan seharian penduduk tempatan.

Saya juga tidak tinggal di hotel atau hostel, saya tinggal bersama local host di sana. Dengan cara ini juga lebih banyak informasi dan maklumat yang saya dapat berbanding dengan tinggal di hostel kerana mereka lebih ikhlas memberikan informasi dan bercerita, serta sangat mengalukan tetamu yang berminat untuk mengetahui perihal negara mereka.

Apa pengalaman yang paling menarik bagi Arie sepanjang di sana

Sepanjang berada di sana semua pengalaman adalah menarik tapi yang paling saya suka bila dapat hiking di Inca Trail Machu Picchu.

Daripada pemerhatian saya kebanyakan rakyat Malaysia yang ke sana mungkin akan lebih tertumpu untuk melawat Machu Picchu sahaja kerana ia salah satu keajaiban dunia dan UNESCO Heritage Site.

Tapi saya lebih berminat untuk membuat laluan klasik 42km di trail Inca tersebut kerana dapat menjiwai dan cuba menggambarkan kehidupan lampau semasa empayar Inca menguasai Amerika Selatan.

Lebih menyeronokkan bila ditambah pula dengan penerangan dan cerita dari hiking guide saya mengenai sejarah Inca bila kami melalui penempatan dan ‘ruins’ sepanjang laluan tersebut, termasuk juga cerita dan sejarah mengenai Machu Picchu.

travel-solo-di-peru-4

travel-solo-di-peru-23

travel-solo-di-peru-22

travel-solo-di-peru-21

travel-solo-di-peru-16

travel-solo-di-peru-15

Ada info lain lagi yang Arie nak kongsikan?

Peru bukanlah semahal yang kita sangka. Jika kita mengembara secara backpack, pengangkutan awamnya seperti bas, Combi (minibas / van kongsi untuk ke tempat yang lebih jauh) agak murah dan berpatutan (walaupun harga minyak mereka lebih 2 kali ganda dari harga minyak petrol kita).

Makanan juga tiada masalah. Bagi orang Islam, nasi dan ikan agak mudah didapati. Mungkin yang paling mahal kos untuk melawat ke Machu Picchu atau hiking di trailnya. Juga tambang penerbangan kerana jaraknya yang hampir 18700-km dari negara kita.

Satu pengalaman lain yang tidak dapat dilupakan bila kena bag & body check dengan polis di airport Brazil semasa ingin menyambung penerbangan ke Dubai untuk pulang kerana disyaki membawa dadah.

Negara-negara Amerika Selatan memang terkenal dengan pengeluaran dadah seperti kokain. Di Peru, daun koka yang diguna untuk memproses kokain ditanam dan digunakan secara meluas oleh penduduk tempatan kerana ia mempunyai nilai kesihatan, terutama di kawasan beraltitud tinggi.

Salah satu khasiat kesihatan adalah untuk mengelakkan ‘altitude sickness’, migrane, sakit kepala, loya, perut bergelora, cirit birit dll. Daun koka yang tiak diproses boleh di bawa dan diguna secara sah tidak melebihi 2kg.

Tambahan pula ia memerlukan jumlah daun koka yang sangat banyak untuk memproses menjadi dadah.

Tetapi lain halnya jika di Brazil. Membawa dan menyimpan daun koka yang tidak diproses walaupun dalam jumlah yang kecil adalah tidak sah dan melanggar peraturan negara tersebut.

Saya terlepas pandang hal ini kerana sudah menjadi amalan semasa berada di Peru untuk membawa daun koka sebagai minuman (seperti daun teh). Jadi, sila elakkan membawa barang-barang yang berisiko jika mengembara kerana undang-undang sesebuah negara itu mungkin berbeza.

travel-solo-di-peru-20

travel-solo-di-peru-19

travel-solo-di-peru-18

travel-solo-di-peru-17

travel-solo-di-peru-3

travel-solo-di-peru-2

travel-solo-di-peru-6

travel-solo-di-peru-5

Pesanan kepada pembaca Vocket

Bila mengembara jangan lah terburu-buru untuk mengejar berapa banyak tempat atau negara yang kita pergi, tapi nikmati dan hayati setiap penjalanan kita dan bukan hanya sekadar menuju destinasi.

Ambil tau mengenai sejarah atau keunikan tempat tersebut, hayati budaya setempat, enjoy & travel secara santai itu lebih menyeronokkan.

Jika kita terburu-buru mungkin kita akan terlepas banyak perkara menarik dan tidak berpeluang untuk datang lagi ke tempat sama buat kali ke dua.

Pilih destinasi atau buat aktiviti mengikut kemampuan (fizikal, masa, kewangan) serta minat kita, bukan kerana populariti tempat tersebut atau terikut-ikut dengan pengembaraan orang lain.

Di Peru dan juga bandar-bandar lain di Amerika Selatan, banyak bandar dan penempatannya yang berada pada ketinggian 3000-meter ke atas. Jika travel ke tempat-tempat yang beraltitud tinggi sebegini, beri masa yang cukup untuk badan menyesuaikan diri dengan ketinggian.

Pastikan anda mendapat rehat yang cukup dan jangan terlalu tergesa-gesa melakukan perjalanan ke tempat lain yang lebih tinggi jika ia melibatkan aktitivi seperti hiking, dll. Ini salah satu cara untuk mengelakkan dari ‘altitude sickness’ di tempat-tempat seumpama ini.

Baca lagi: Peru Hanya Untuk Yang ‘Fit’ Dan 6 Tip Travel Ke Negara Unik Ini