Aku adalah antara orang yang bertuah mendapat tiket AirAsia yang sangat berpatutan apabila ia membuka route ke Tehran kembali.

Sebagai seorang pengembara yang suka ‘travel on impulse’, paparan iklan AirAsia di Facebook mengerakkan hati aku untuk terus menekan butang beli, tanpa menoleh ke belakang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“There is nothing to loose,” I shrugged .”Ramadhan in another Muslim country sounds interesting.”

Kudos kepada targeted marketing!

Menjelang hari keberangkatan, timbul beberapa perkara seperti:

1. Kesangsian rakan-rakan dan ahli keluarga dengan pemilihan Iran sebagai destinasi : “Iran,why Iran?” (Buat muka tak puas hati seperti aku yang akan membelanjakan duit dia untuk perjalanan ini).
“Tempat Syiah tu habislah kau.”
“Dengan siapa kau nak berjalan ? Lelaki mereka bukan boleh percaya.”

2. Namun yang baiknya, ada rakan yang menyokong rancangan pengembaraan seperti rakan sekerja dari Bangladesh yang menghubungkan aku dengan seorang expatriat Iran.

Dia sedaya upaya memberi panduan pada aku tentang Tehran. Dia juga memberitahu sedikit sebanyak tentang sambutan puasa disana.

3. Oleh kerana tidak banyak website yang memberitahu secara terperinci tentang tour di Iran, aku menghubungi tour guides melalui 2-3 website dalam bahasa Inggeris dan posting pelancong lain di Tripadvisor.

4. Atas faktor embargo dan sekatan ekonomi, sukar untuk pelancong asing menempah tiket bas, kapal terbang atau kereta api secara online. Kad ATM dan kad kredit juga tidak boleh digunakan sewaktu di Iran.

5. Hampir tiada travel insurance meliputi Iran.

Cabaran-cabaran ini membuat aku lagi bersemangat menjejakkan kaki ke sana. Tanggal 23 Jun 2016, sekiranya ada yang ternampak seorang perempuan menggalas bag yang lebih besar dari saiz badannya berlari seperti ribut di terminal KLIA 2, itu adalah aku mengejar kapal terbang yang akan berlepas!

Touchdown di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Kohemini. Memandangkan penerbangan tiba pada tengah malam, urusan visa dan ‘travel insurance’ agak mengelirukan kerana kekurangan pegawai dan juga masalah komunikasi.

Untuk rakyat Malaysia, tiada visa untuk lawatan kurang daripada 14 hari. Travel insurance (15 Euro pada waktu ini) diwajibkan kepada setiap pelancong asing, melainkan jika korang dapat menunjukkan bukti insuran korang laku di bumi Parsi ini.

Ketika beratur di kaunter imigresen, aku dan pengembara-pengembara lain saling bertukar-tukar cerita kos visa masuk ke Iran.

Yang dari Perancis merungut kerana perlu membayar EUR50 untuk visa sekali masuk. Kami yang dari Malaysia hanya senyum simpul sahaja.

Baca: 13 Tip Travel Ke Iran Untuk Rujukan Anda Yang Nak Ke Sana

Anak-anak bebas bermain di perhimpunan bacaan al Quran.
Bersama sukarelawan kompleks Shah Cheragh
Dengan 2 otai pengembara Malaysia di Shiraz.
Ketika menunggu sunset di Gurun Lut.
Pengunjung makam penyair Hafez menghayati bibit syair yang dipasang di makam itu.

Setelah beberapa hari di sana, memang aku dapati bahawa Ramadan di Iran memang berlainan dengan Ramadan di Malaysia (stating the obvious pulak).

1. Sambutan Ramadhan

Semua rakyat beragama Islam diwajibkan berpuasa, premis makanan ditutup sehingga menjelang iftar (aktu berbuka) dan sesiapa yang makan dikhalayak ramai akan ditangkap.

Ada yang ‘nakal’ makan di lapangan terbang dan di sebalik tirai restoran. Yang seronoknya banyak paparan iklan menggalakkan orang ramai membaca al Quran dan menghayati bulan mulia ini di billboard, di dalam LRT dan di televisyen.

2. Iftar

Rupanya jika orang Islam di negara kita selalu menghadiri majlis iftar di masjid, restoran atau hotel, sebaliknya di Iran, iftar merupakan masa untuk mengeratkan silaturrahim sesama keluarga.

Mereka sama ada akan masak iftar di rumah, berkelah di taman jika cuaca tidak panas atau berkunjung ke rumah sahabat handai.

Aku sendiri di jemput untuk berbuka puasa di rumah sahabat baru aku dengan masakan ibunya.

3. Terawih Dan Masjid

Menurut tour guide aku, muslim Syiah tidak mengamalkan solat terawih. Namun saya boleh nampak masyarakat terutamanya diluar bandar akan cuba mengimarahkan masjid, terutamanya masjid Jame’.

Di sini, terdapat banyak moseluem, dimana masjid, makam ulama’, ahli sufi atau imam terkenal mereka, taman bunga dan madrasah dibina dalam satu kawasan.

Ketika aku berkunjung ke Kompleks Shah Cheragh di Shiraz di waktu pagi, seluruh kawasan ibadat dipenuhi golongan tua, muda dan kanak-kanak.

Suasananya tenang dengan alunan bacaan al-Quran, ada yang mengulangkaji pelajaran juga anak-anak kecil bermain sesama mereka tanpa membuat bising.

Pengunjung bukan Islam juga dibenarkan masuk kedalam masjid, asalkan mereka memakai chador atau menutup aurat.

Ada sebilangan masjid untuk mereka bermazhab Sunni di Tehran tetapi ianya ditutup untuk pelawat ketika aku pergi ke sana.

4. Awak Sunni?

Sebelum mengembara ke Iran, aku bertekad untuk tidak menjadi skeptik tentang fahaman Syiah. Niatku ke sini untuk melihat bagaimana golongan muslim lain yang berlainan fahaman, budaya dan yang kurang bernasib baik menghadapi sekatan ekonomi dunia menyambut Ramadan.

Alhamdulillah sepanjang aku di sini, tiada persilihan faham yang berlaku sebab kita menghormati amalan mereka.

Di masjid, memandangkan nampak sangat aku bukan rakyat Iran mereka bertanya adakah aku Sunni? Aku menjawab ya, “saya dari Malaysia”.

It seemsĀ  likeMalaysia is a magic word here. Mereka mula nampak mesra dan mengalu-alukan bila tahu aku seorang rakyat Malaysia.

Ada wanita yang tidak tahu menghulurkan batu Karbala yang menjadi wajib di masjid-masjid Shia, tetapi aku menolak dengan sopan dan senyuman.

Aku juga sempat berbual dengan beberapa wanita tentang Sunni dan Shia serta perbezaan amalan umat Islam di Iran dengan Malaysia.

Mereka juga menggalakkan aku tidak berpuasa kerana ruksah sebagai seorang pengembara dan cuaca musim panas yang menyengat. Takut aku dehydrated dan penat.

Kadang kala aku terharu dengan keprihatinan mereka. Seolah mereka seperti kakak dan ibu aku sendiri. Indahkan persaudaraan sesama manusia?

Baca: Itinerari Gaya Bajet Travel 10 Hari Ke 4 Bandar Di Iran

Salt fields di Gurun Lut antara tempat terpanas di bumi.
Seni bina masjid Iran yang memukau.
Sinaran cahaya pagi di Masjid Nasr-al-Mulk.
Sukarelawan masjid membuat persiapan untuk solat Maghrib di Masjid Jame Kerman.
Tehran Subway yang efisien dengan harga tiket yang sangat murah.

Sebab aku seorang pengembara solo wanita aku rasa elok juga aku senaraikan tips untuk fellow comrades yang berminat ke Iran pada masa akan datang.

1. Sebaiknya travel berdua atau bertiga dan ambil tour guide

Walaupun aku mengembara seorang dan Iran adalah antara negara yang paling selamat aku pernah pergi, aku nasihatkan korang mengembara ke sini berdua atau bertiga.

Dan ambil seorang tour guide yang mendapat review yang bagus dari pelancong asing. Bukan atas faktor keselamatan sangat tetapi faktor kesenangan.

Korang boleh pakai satu kereta untuk berjalan-jalan dari satu bandar ke bandar. Minyak sini sangat lah murah, jadi ambillah kesempatan untuk mengembara dengan kereta.

Kalau seorang kemungkinan kena ambil teksi, dan jika tidak pandai berbahasa Parsi, boleh keliling satu bandar mencari destinasi.

Boleh backup duit tunai sesama sendiri kalau salah seorang dirompak semasa mengembaraan.

2. Perempuan Iran memang elegan

Aku rasa perempuan Iran, sama ada yang berchador hitam labuh ataupun si hipster memakai tudung sutera kecil di kepala adalah antara golongan perempuan yang elegan dalam dunia ini, selain perempuan Perancis.

Jadi bila korang datang, pandai-pandai lah blend-in dengan keadaan sekeliling. Kalau boleh tidak perlu lah pakai baju warna terang berderang, yang sangat menampakkan korang bukan wanita Iran.

Aku sendiri pun pakai tudung dan baju kurung warna yang sederhana terang, memang menarik perhatian semua orang.

Jika datang beramai ramai, tolonglah jangan bergelak ketawa terbahak-bahak dikhalayak ramai, serta sibuk berselfie sambil membuat bising. Jaga nama Malaysia ok?

3. Cuba hayati senbina dan sastera Iran

Hajat aku ke Iran juga untuk melihat kesan legasi penyair penyair Iran yang aku minati seperti Rumi, Hafez Dan Shams al Tabriz. Alhamdulillah aku dapat berkunjung ke makam peringatan Hafez di Shiraz.

Rupanya hampir setiap bandar besar di Iran mempunyai paling tidak seorang penyair yang mereka banggakan.

Jadi sekiranya korang hendak berkunjung ke sini, cubalah untuk menghayati seni kesusasteraan Parsi yang indah.

Boleh dijadikan ‘conversation piece’ dengan penduduk tempatan. Bait-bait sajak penyair agung mereka terukir indah di siling dan mozaik.

4. Bawa Salon Pas

Bukan apa, jamin korang akan sakit tengkuk akibat selalu mendongak menikmati keindahan seni pembinaan Parsi.

5. Negara 4 musim

Iran ini negara 4 musim, jadi korang boleh merancang perjalanan ke banjaran gunung, lembah yang kehijauan, persisiran laut Caspian, gurun yang kering kontang serta bukit-bukit batu yang menarik dalam satu negara.

Saranan aku, jangan takut untuk ke Iran dan gunakan peluang sebaiknya untuk belajar cara hidup orang lain yang berlainan budaya, mazhab dan pemikiran. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan pengajaran.

Akhir kata, Moafagh Basheed untuk bakal tetamu bumi Iran.

Baca lagi: Travel Solo 14 Hari Di Iran, Ini 9 Perkara Yang Ingin Saya Kongsikan