Seorang pengguna TikTok yang berasal dari Pakistan, Humaira Asghar kini berhadapan dengan tindakan mahkamah selepas dituduh sengaja menyalakan api sehingga menyebabkan kebakaran hutan hanya untuk satu video yang mahu dimuat naik di laman TikTok. Idea ‘gila’ ini sedang marak di Pakistan dengan kebanyakan pemuda di sana sanggup untuk melakukan apa sahaja demi sebuah kandungan media sosial, lapor Free Press Journal.

Dalam video 11 saat, kelihatan Asghar berjalan menuruni Margalla Hills di Pakistan sambil dibelakangnya api bergerak perlahan dengan lagu pop sebagai muzik latar video pendek. Manakala di bahagian kapsyen pula, Asghar menulis bahawa api sedang marak di mana sahaja dia berada – satu kapsyen berani mati yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Asghar bukan satu-satunya TikToker Pakistan yang telah dituduh membakar hutan hanya untuk kandungan media sosial. Pihak berkuasa Pakistan berkata, membakar hutan adalah budaya baharu yang muncul di negara yang kini sedang berjuang dengan situasi cuaca panas yang tidak menentu. Anak muda ini wajar di tangkap kerana kebodohan mereka yang gilakan populariti dan jumlah tanda suka, kata Lembaga Pengurusan Hidupan Liar Islamabad Rina S Khan Satti di laman Twitter miliknya.

Menurut laporan Indian Express pula, seorang lelaki di bandar Abbottabad turut ditahan kerana sengaja membakar hutan untuk dijadikan sebagai latar bagi kandungan videonya. Dalam satu lagi video yang dikeluarkan baru-baru ini, dua lelaki dilihat melakukan hal yang sama dengan menyalakan api di sebuah hutan kemudian melarikan diri sambil muzik dimainkan sebagai latar video pendek tersebut.

Suhu dunia semakin meningkat dan Pakistan pula sedang berjuang dalam kenaikan gelombang panas yang paling tinggi pernah direkodkan. Kebakaran hutan yang dilakukan oleh pemuda-pemuda ini akan memburukkan lagi keadaan negara yang sudah terkesan dengan cuaca panas. Tambahan pula, ia akan memberi kesan kepada 600 spesies tumbuhan, 250 jenis burung, 38 mamalia dan 13 spesies reptilia yang sudah lama menghuni kawasan hutan tersebut.

Aduan polis yang difailkan terhadap Asghar di bawah undang-undang perlindungan alam sekitar negara itu menyatakan bahawa, “kawasan [yang difilemkan] adalah sebahagian daripada Taman Negara Margalla Hills yang telah melaporkan beberapa insiden kebakaran hutan sehingga telah merosakkan ekosistem.”

Asghar telah menafikan tuduhan bahawa dia telah membakar hutan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pembantunya, dia juga berkata bahawa “tidak ada salahnya untuk membuat video.”

Trend TikTok anak muda ‘Salam Dari Binjai’ ranapkan kebun pisang milik orang kampung. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Trend TikTok Anak Muda ‘Salam Dari Binjai’ Ranapkan Kebun Pisang Milik Orang Kampung

Trend ‘Unboxing Pengantin’ Jadi Ikutan Di TikTok, Ini Teguran Pedas PU Syed Buat Pengantin Baharu