Buat anda yang tidak tahu, Ultraman Ribut adalah Ultraman khas yang dihasilkan melalui kerjasama khas antara Tsuburaya Productions dan Les’ Copaque.

Walaupun tidak mempunyai siri solo seperti Ultraman yang lain, tetapi Ribut merupakan salah satu Ultraman yang dimasukkan dalam siri terbaru New Generation Heroes.

Ia bukan satu perkara yang mudah untuk menghasilkan Ultraman Khas untuk sesuatu siri kartun. Upin & Ipin berjaya membuat kerjasama bersama syarikat Tsuburaya kerana populariti dahsyat kartun ini di serata Asia Tenggara terutamanya Indonesia.

Pengasas Les’ Copaque, Tuan Haji Burhanuddin Md. Radzi di laman Facebook beliau semalam berkongsikan kisah bagaimana kolaborasi natara Les’ Copaque dan Tsuburaya ini boleh tercetus; secara tidak sengaja selepas diperlekehkan oleh rakan kongsi mereka sendiri.

Semuanya bermula apabila rakan kongsi Upin & Ipin di Indonesia menjemput Haji Buhanuddin untuk satu mesyuarat di Tokyo. Pada mulanya, Haji Burhanuddin cuma beranggapan beliau bertemu dengan syarikat investment dari Jepun, Fields Corporation.

Cuma selepas berada dalam mesyuarat tersebut, mereka sebenarnya bertemu wakil dari Tsuburaya, pemegang IP untuk Ultraman. Mesyuarat bermula apabila rakan kongsi dari Indonesia cuba mengangkat syarikatnya yang mampu menghasilkan animasi 3D lebih baik daripada Upin & Ipin.

Haji Burhanuddin terkejut apabila rakan kongsinya itu berkata populariti Upin & Ipin semakin menurun dan program yang dihasilkan syarikat beliau pula semakin popular. Haji Burhanuddin sendiri tahu kemampuan studio rakan kongsinya itu yang tidak dapat menawarkan animasi 3D berkualiti seperti yang diakuinya.

Ketika mesyuarat itu barulah Haji Burhanuddin tahu bahawa pihak Tsuburaya sebenarnya sedang mencari syarikat produksi untuk outsource satu IP baharu dalam bentuk animasi 3D.

Tetapi selepas mesyuarat tersebut, Mr. K, wakil daripada Tsuburaya mengajak Haji Burhanuddin untuk ke pejabatnya keesokan harinya. Pertemuan tersebut berlangsung tanpa kehadiran rakan kongsinya dari Indonesia. Mereka tahu apa yang dicakap oleh rakan kongsi Haji Burhanuddin adalah tidak benar kerana populariti Ultraman yang sebenarnya merudum di Asia Tenggara.

Jadi, pihak Tsuburaya bertanya sama ada Ultraman dapat muncul dalam siri Upin & Ipin atau tidak. Pada mulanya, Haji Burhanuddin meminta sejumlah RM1 juta yang tidak disetujui oleh Tsuburaya.

Tetapi isteri Haji Burhanuddin mengemukakan offer yang lebih menarik; Ultraman dapat muncul dalam siri Upin & Ipin tetapi Ultraman perlu muncul dalam karnival Upin & Ipin. Pihak Tsuburaya bersetuju selepas hampir setahun perbincangan mendalam berlangsung.

Ini merupakan kolaborasi pertama antara Upin & Ipin dengan syarikat ternama dari luar. Isteri Haji Burhanuddin mahu rekaan klasik Ultraman pada Ultraman Ribut dan mereka bersetuju. Selepas mereka menerima rekaan prototype Ultraman Ribut (yang direka oleh pasukan Les’ Copaque), pihak Tsuburaya sangat gembira dengan rekaan 3D Ultraman Ribut. Nama Ribut pula dipilih sendiri oleh Haji Burhanuddin.

Selepas rekaan Ultraman Ribut dipersetujui, tiba pula untuk pembikinan skrip. Namun ‘masalah’ mula timbul ketika mereka mahu menyiapkan episod khas Ultraman Ribut ini. Pasukan Tsuburaya adalah sangat teliti dan setiap perkara perlu menunggu kata putus daripada mereka terlebih dahulu.

Haji Burhanuddin berpendapat situasi itu akan melambatkan proses pembikinan episod tersebut dan Haji Burhanuddin membuat keputusan drastik untuk ‘putuskan komunikasi’ dengan pihak Tsuburaya dan mahu pasukannya menyiapkan episod tersebut tanpa ‘gangguan’ daripada pihak Tsuburaya.

Sejak daripada itu, beliau langsung tidak membalas sebarang pertanyaan atau emel daripada Tsuburaya. Apabila semuanya sudah siap, Haji Burhanuddin terus terbang ke Jepun untuk menayangkan episod khas berkenaan kepada pihak Tsuburaya. Mereka ternyata gembira dan sangat kagum dengan hasil akhir yang dibuat oleh pasukan Les’Copaque.

Mr.K kemudiannya berkata beliau hampir digantung tugas kerana pihak Les’Copaque langsung tidak membalas sebarang emel dan panggilan daripada mereka. Pada tahun 2014, Les’ Copaque mengendalikan Karnival Upin & Ipin yang pertama di PICC dan Ultraman Ribut hadir buat kali yang pertama.

Gerak aksi Ultraman Ribut dipelajari dan diadaptasikan dalam produksi Upin & Ipin. Kerjasama antara kedua-dua syarikat berlangsung hingga 2 tahun dan selepas itu berhenti kerana Upin & Ipin tidak diberi jaminan untuk mendapat slot rancangan di mana-mana televisyen Jepun.

Pihak Tsuburaya sebenarnya sangat berpuas hati dengan hasil kerja Les’ Copaque dan mahu melantik Les’ Copaque sebagai syarikat untuk mengendalikan projek IP baharu mereka. Tetapi menurut Haji Burhanuddin, mereka terpaksa menolak kerana Les’ Copaque tidak mengambil sebarang projek outsource dan hanya memfokuskan pada jenama Upin & Ipin ketika itu.

Namun, Haji Burhanuddin kini masih menantikan ‘lampu hijau’ daripada pihak atasan Tsuburaya untuk projek filem Upin & Ipin x Ultraman Ribut di masa akan datang. Bagaimana pula nasib rakan kongsi Haji Burhanuddin dari Indonesia? Beliau tidak mendapat projek bersama pihak Tsuburaya.

Banyak pengajaran yang boleh diambil dalam perkongsian Haji Burhanuddin termasuklah dalam membuat keputusan crucial di saat penting. Namun jika karya kita hebat, karya tersebut yang akan ‘bercakap’ sendiri bagi pihak kita. Tahniah Les’ Copaque.

Sebelum ini, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal disenaraikan antara 32 animasi untuk anugerah Oscars 2020. Baca lagi pada pautan di bawah.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Antara 32 Animasi Disenaraikan Untuk Oscars 2020

Ultraman Ribut Bersilat Di Dalam ‘Ultra Galaxy Fight: New Generation Heroes’

10 Sebab Kenapa Upin & Ipin Kekal Menjadi Animasi Popular Di Malaysia